SN556 – Islam Sebagai Asas Perjuangan Bangsa Melayu
Bil: SN556 – 16 Zulkaedah 1440 / 19 Julai 2019
Semenjak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan, muncul persepsi bahawa kedudukan politik dan hak istimewa orang Melayu semakin terhakis. Persepsi sebegini mula berkembang di kalangan sebahagian orang Melayu setelah mereka menyaksikan beberapa isu dan insiden yang dilihat menggugat status quo kedudukan Melayu dan Islam. Sentimen ini turut dimainkan oleh pihak pembangkang bagi meraih sokongan orang Melayu yang membentuk majoriti di negara ini. Pelbagai strategi dan usaha dilakukan bagi menyemarakkan lagi persepsi bahawa kerajaan PH tunduk kepada tekanan pihak-pihak yang memusuhi Islam. Persepsi ini diperkukuhkan apabila beberapa keputusan kerajaan semenjak kebelakangan ini dilihat meminggirkan hak Melayu dan tidak memihak kepada kedudukan agama Islam.
Di sebalik perkembangan ini, muncul pula seruan perpaduan di bawah slogan Melayu-Islam demi membela hak keistimewaan orang Melayu yang dilihat semakin terancam dalam era Malaysia Baru. Seruan ini menjadi semakin lantang dengan terjalinnya kerjasama politik yang melibatkan dua buah parti politik utama yang mewakili orang Melayu-Islam di negara ini iaitu UMNO dan PAS. Kerjasama erat ini dilihat membuahkan hasil seperti yang dapat diperhatikan melalui beberapa siri pilihanraya kecil (PRK) yang diadakan selepas Pilihanraya Umum ke-14 lalu. Dalam pada itu, usaha penyatuan dan perpaduan Melayu-Islam ini turut mendapat sokongan pelbagai pertubuhan dan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang gigih memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam mengikut lunas-lunas yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang terbatas dan terdedah kepada pelbagai interpretasi. Dari satu sudut, perkembangan ini dilihat sebagai suatu yang positif oleh segelintir pihak demi memastikan hak keistimewaan dan kepentingan orang Melayu terbela serta kemuliaan Islam terpelihara. Mereka melihat bahawa pemerkasaan orang Melayu secara tidak langsung akan mengukuhkan kedudukan Islam.
Meskipun slogan penyatuan Melayu-Islam ini secara zahirnya kelihatan murni, namun sebagai orang yang beriman, terdapat beberapa persoalan yang perlu diperhalusi. Antara persoalan pokok adalah apakah hala tuju penyatuan dan perjuangan ini sebenarnya? Adakah slogan mengatas namakan Melayu-Islam ini benar-benar bertujuan untuk membela nasib orang-orang Melayu tanpa menafikan hak-hak kaum lain yang terdapat di negara ini? Benarkah perjuangan berasaskan bangsa ini selari dengan tuntutan Islam yang merupakan pegangan hidup bagi umat sejagat tanpa membezakan kemuliaan berasaskan warna kulit dan DNA? Apakah jaminan bahawa kedudukan Islam benar-benar terpelihara dan diterapkan secara menyeluruh melalui usaha penyatuan di bawah slogan Melayu-Islam ini? Atau semua ini tidak lebih daripada sekadar “talian hayat” untuk pihak-pihak yang berkepentingan? Dari sudut yang lain pula, perkembangan sebegini berpotensi untuk menggugat kesepaduan sosial dan mengheret negara ini ke kancah polarisasi kaum. Perkembangan sebegini juga membuka ruang kepada meningkatnya sentimen perkauman yang disadurkan nilai agama dan boleh menyuburkan politik perkauman.
Penyatuan yang di zahirkan ini hakikatnya diasaskan kepada ikatan nasionalisme (raabitah al-qaumiyyah) yang muncul apabila naluri mempertahankan diri (gharizah al-baqa’) bertambah kuat dalam diri manusia. Rentetan dari kemunculan naluri ini menghidupkan pula kecintaan terhadap dominasi/ketuanan (hubbul siyadah) dalam dirinya. Apabila tahap kesedarannya melebar dan pemikirannya meluas, maka keinginan terhadap wilayah dominasi bertambah luas, sehingga timbul keinginan untuk melihat keluarganya mendominasi. Keinginan tersebut terus melebar sesuai dengan perkembangan pemikirannya, hingga sampai suatu tahap timbul pula keinginan melihat kaum atau bangsanya berkuasa di negara tersebut. Apabila mereka berjaya mendapatkan ketuanan tersebut, muncul pula keinginan pada bangsanya untuk menguasai bangsa yang lain. Keadaan seperti ini menimbulkan rasa fanatisme kelompok (ta’asub) pada diri para anggota dalam ikatan ini. Mereka dikuasai oleh nafsu dalam usahanya untuk membela kelompoknya melawan kelompok yang lain. Apabila penyatuan berdasarkan naluri ini dijunjung sebagai asas ikatan, maka yang akan muncul hanyalah konflik dan ketidakstabilan. Oleh yang demikian, ikatan sebegini tidak sesuai dengan martabat manusia kerana sentiasa menimbulkan pelbagai persengketaan dalaman, sekiranya tidak disibukkan dengan perselisihan dengan pihak luar. Inilah yang terjadi bukan sahaja di negara ini, bahkan di seluruh dunia Islam yang telah dipisah-pisahkan mengikut sempadan negara bangsa.
Sesungguhnya ikatan nasionalisme ini merupakan ikatan yang rosak kerana tiga faktor, iaitu: (1) Ia berlandaskan kabilah/keturunan, sehingga tidak boleh dijadikan pengikat antara seorang manusia dengan yang lainnya menuju kebangkitan dan kemajuan. (2) Ikatannya bersifat emosional, yang muncul secara spontan daripada naluri mempertahankan diri, yang menyebabkan terdapat keinginan dan cita-cita untuk berkuasa atau mendominasi. (3) Ikatannya tidak manusiawi, sebab menimbulkan konflik antara sesama manusia dalam merebut kekuasaan. Oleh kerana itu, ikatan ini tidak layak menjadi asas pengikat antara sesama manusia [Taqiyuddin An-Nabhani, Sistem Islam].
Dalam pada itu, perjuangan atas nama bangsa tidak akan dapat dibaiki kerosakannya meskipun cuba disucikan dengan nama agama. Hal ini kerana Islam diturunkan sebagai rahmat ke sekelian alam dan tidak dihadkan kepada bangsa tertentu, serta tidak meletakkan kemuliaan ke atas mana-mana bangsa semata-mata atas perbezaan warna kulit. Rasulullah SAW bersabda dalam khutbah terakhir (Haji Wida), “Wahai manusia! Ingatlah bahawa Tuhan kamu adalah satu dan bapa kamu adalah satu, ingatlah tidak ada kelebihan orang Arab ke atas orang Ajam dan tidak ada kelebihan orang Ajam ke atas orang Arab dan tidak ada kelebihan orang berkulit hitam ke atas orang berkulit merah kecuali orang yang bertaqwa”.
Mencampur-adukkan slogan Islam dengan sentimen perkauman bukan sahaja bercanggahan dengan nilai Islam, bahkan boleh mewujudkan persepsi negatif yang menjadi penghalang bangsa lain dari mendekati Islam. Perjuangan berasaskan bangsa ini juga mempunyai kecenderungan untuk menafikan hak kaum lain, sedangkan dalam sebuah negara Islam, hak setiap warganegara wajib dipenuhi mengikut apa yang telah digariskan oleh syarak, bukannya berdasarkan hak keistimewaan sesuatu kaum. Sekiranya ada golongan terpinggir dan memerlukan bantuan, maka negara wajib memastikan hak mereka dipenuhi tanpa mengira latarbelakang kaum dan agama.
Di samping itu, sejarah negara ini juga menunjukkan bahawa kerajaan terdahulu, yang telah memerintah selama lebih enam dekad itu, dikuasai oleh majoriti ahli parlimen Muslim, diterajui oleh Perdana Menteri Melayu-Islam, manakala parti-parti komponen yang membentuk kerajaan juga didominasi oleh parti Melayu-Muslim (UMNO); namun apakah Islam diletakkan pada tempatnya dan hukum-hakamnya diterapkan secara menyeluruh oleh kerajaan terdahulu? Oleh itu, hujah bahawa pemerkasaan dan penyatuan orang Melayu-Islam atas dasar nasionalisme akan mengukuhkan dan memartabatkan Islam adalah pincang. Tidak ada bezanya jika kerajaan hari ini yang tidak menerapkan Islam secara kaffah diganti dengan kerajaan dan para pemimpin terdahulu yang juga telah terbukti gagal memartabatkan Islam ketika mereka berkuasa sekiranya sistem yang diamalkan masih tidak berubah. Syariat Islam tidak akan dapat diterapkan secara kaffah dalam sistem yang ada hari ini, bahkan perlaksanaan Islam itu sendiri ditundukkan mengikut ketetapan lunas-lunas perlembagaan negara ini. Tanpa disedari, hakikatnya sebahagian umat Islam itu sendiri yang membenarkan kedudukan Islam terancam, sekali gus membuka ruang untuk umat Islam terus diperkotak-katikkan kerana mereka memilih untuk kekal dalam sistem demokrasi ini dan terus menyuburkannya.
Di samping ikatan nasionalisme yang sering menimbulkan persengketaan dan kebencian, politik demokrasi pula memupuk semangat kepartian yang menjadikan survival politik dan kekuasaan sebagai agenda utama dalam perjuangan. Dengan kata lain, perjuangan berasaskan kaum bertujuan untuk memartabatkan Islam dalam kerangka politik demokrasi ini tidak akan pernah membawa kepada kebangkitan hakiki. Perjuangan sebegini telah mengalihkan fokus umat Islam berbangsa Melayu daripada menuju kebangkitan yang benar. Kebangkitan sebenar yang sepatutnya diperjuangkan adalah melalui perubahan secara mendasar dengan menjadikan Islam sebagai landasan pemikiran.
Islam merupakan sebuah mabda’ (ideologi) sejagat yang diturunkan kepada seluruh umat manusia, manakala umat Melayu-Muslim di negara ini pula merupakan sebahagian daripada keluarga besar umat Islam sedunia. Islam juga bersifat universal, serta selari dengan fitrah manusia. Islam tidak menyekat amalan tradisi yang tidak bercanggah dengan syariatnya. Umat Melayu-Islam di negara ini tidak seharusnya menyempitkan perjuangan politik berasaskan bangsa dan sempadan palsu yang dicorakkan oleh kuasa kolonialis dahulu. Sebaliknya kita harus mengkaji dan memahami bahawa hanya perjuangan dengan mabda’ Islam mampu membentuk penyatuan pemikiran dan perasaan di kalangan orang Melayu dan bukannya berlandaskan kepada perkauman. Oleh itu, kami dari Hizbut Tahrir menyeru semua pihak yang ikhlas ingin menuju kepada kebangkitan yang hakiki agar berjuang ke arah penyatuan umat Islam di seluruh dunia di bawah naungan Khilafah Rasyidah yang akan benar-benar menyemai rahmat ke sekelian alam.
KOLUM TSAQAFAH
BERSEGERA DALAM KETAATAN SEBELUM TERLAMBAT
Di antara pelbagai nikmat Allah SWT kepada umat manusia, ada dua nikmat yang kerap diabaikan oleh manusia, iaitu kesihatan dan waktu lapang. Nabi SAW bersabda: “Ada dua macam nikmat yang di dalamnya banyak manusia tertipu: kesihatan dan waktu lapang” [HR Muslim].
Terkait hadis ini, imam Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari menjelaskan, “Siapa saja yang memiliki waktu lapang dan kesihatan hendaklah tidak terpedaya dengan meninggalkan syukur kepada Allah yang telah melimpahkan kenikmatan kepada dirinya. Di antara bentuk syukur adalah mengikuti perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Siapa saja yang lengah dalam ketaatan, ia telah terpedaya…”.
Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya, Al-Waqtu fi Hayat al-Muslim, menulis: al-Quran telah menerangkan bahawa kelak manusia akan sangat menyesali sikapnya yang mengabaikan waktu; membuang kesempatan untuk beriman, bertaubat dan beramal soleh. Menurut beliau ada dua episod penyesalan manusia kelak: Pertama, saat sakaratul maut. Al-Quran mengkhabarkan kita bahawa ramai orang yang ketika akan dijemput ajalnya, meratap dan menyesali umurnya yang dihabiskan secara sia-sia [Lihat: TMQ al-Munafiqun (63): 9-10]. Rasulullah SAW bersabda,
“Tidaklah seseorang mati melainkan ia akan menyesal.” Orang-orang bertanya, “Ya Rasulullah, apa penyesalannya?” Beliau menjawab, “Jika ia orang baik, ia menyesal mengapa tidak bertambah (kebaikannya). Jika ia orang jahat, ia menyesal mengapa tidak meninggalkan (kejahatannya)”[HR at-Tirmidzi].
Kedua, penyesalan saat dibangkitkan pada Hari Kebangkitan. Beberapa ayat al-Quran mengkhabarkan penyesalan orang-orang yang telah disiapkan untuk mereka neraka jahanam karena kekufuran atau kefasikan mereka semasa hidup. Mereka tidak dapat mengelak atau membantah bahawa janji Allah adalah benar [Lihat: TMQ Fathir (35): 36-37].
Seharusnya, seorang Muslim tidak akan pernah merasa tenang sebelum menyempurnakan perintah Allah SWT.
Allah SWT telah mengingatkan bahawa tidak akan sama darjat orang-orang yang telah berjuang mengerahkan daya upaya menegakkan agama Allah SWT dengan orang yang hanya berdiam diri: “Tidaklah sama Mukmin yang duduk-duduk saja (tidak ikut berperang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwa mereka satu derajat atas orang-orang yang duduk-duduk saja…” [TMQ an-Nisa’ (4): 95].
Oleh itu bersegeralah mengerjakan amal soleh dan ketaatan kepada Allah SWT. Berusaha melaksanakan perintah Allah di muka bumi. Itulah amalan orang-orang cerdik yang meyakini adanya kehidupan di akhirat setelah kematian di dunia. Mereka mengharapkan ganjaran terbaik di sisi Allah SWT dengan menjadikan takwa sebagai bekal untuk mendapatkannya.