Sorotan Mingguan (9 – 15 September 2019)

  • Keinginan remaja bunuh diri meningkat
  • Cuepacs bantah pemansuhan skim pencen kakitangan awam – Zainal
  • Kerjasama politik Pas-UMNO akan diperincikan – Ahmad Zahid

Keinginan remaja bunuh diri meningkat

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (KKMK) 2017 melaporkan tren peningkatan tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja di Malaysia berbanding 2012. Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham menyeru sokongan semua pihak bagi membantu mencegahnya memandangkan faktor menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri di luar jangkauan kesihatan [Sumber: Harian Metro].

Langkah pencegahan tingkah laku bunuh diri tidak sewajarnya difokuskan kepada saringan pada skala individu dan aktiviti pencegahan berkelompok semata-mata. Sebaliknya kita juga perlu menelusuri akar permasalahan yang menyumbang kepada peningkatan tren tersebut. Faktor sosio-ekonomi turut mempengaruhi kesihatan seseorang, termasuklah kesihatan mentalnya. Dalam kesempitan hidup dan tekanan akibat penerapan sistem kapitalisme yang menyuburkan budaya materialistik serta individualistik, tidak mustahil ia menatijahkan peningkatan masalah kesihatan mental dan tingkah laku bunuh diri.

Anak-anak ditanamkan dengan dorongan mengejar kejayaan yang diukur berdasarkan nilai materialistik sejak dari kecil, kemudian dihimpit desakan memenuhi keperluan hidup setelah meningkat dewasa. Justeru, kita wajib mengambil langkah penyelesaian sistemik dengan mengubah sistem kapitalisme yang diterapkan kepada sistem Islam yang selari dengan fitrah manusiawi, di samping langkah-langkah pencegahan yang bersifat ‘piecemeal’ oleh KKM dan agensi-agensi berkaitan.


Cuepacs bantah pemansuhan skim pencen kakitangan awam – Zainal

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah pemansuhan skim pencen kakitangan awam selepas mereka bersara kerana ia merupakan hak mutlak dan sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Timbalan Presidennya, Zainal Ismail melihatnya sebagai sumbangan ikhlas kerajaan atas jasa sepanjang mereka berkhidmat dan diperlukan bagi ‘membantu perbelanjaan kakitangan sebaik mereka bersara termasuk perbelanjaan persekolahan anak-anak yang belum selesai selain menyelesaikan hutang piutang yang ada’ [Sumber Astro Awani].

Dalam Islam, akad memainkan peranan penting dalam sebarang urusan muamalah, termasuklah dalam urusan pekerjaan (ijarah). Sabda Rasulullah SAW, “Kaum Muslim itu wajib terikat atas syarat-syarat mereka kecuali syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram” [HR at-Tirmidzi]. Justeru, sekiranya dalam perjanjian telah termaktub bahawa pekerja akan diberikan pencen sesudah bersara, maka ia menjadi hak bagi pekerja tersebut.

Namun perlu diperhatikan bahawa kebimbangan yang muncul sekiranya skim pencen dimansuhkan berpunca kerana sistem kapitalisme tidak mempunyai mekanisme terbaik dalam memastikan keperluan pesara atau warga emas dipenuhi. Sudah menjadi kewajipan negara bagi memenuhi keperluan warganya meskipun berhadapan dengan kekangan dari segi kewangan. Sekiranya jaminan keperluan asas seperti perumahan, pendidikan, kesihatan, dan keselamatan dipenuhi, maka tidak menjadi isu sekiranya kerajaan ingin memansuhkan skim pencen. Di samping itu, amalan hutang ribawi dalam sistem rosak ini turut menyebabkan peminjam terjerat dalam hutang berpanjangan dan hidup dalam keadaan bergelumang dosa sehingga lanjut usia.


Kerjasama politik Pas-UMNO akan diperincikan – Ahmad Zahid

Pemeteraian Piagam Muafakat Nasional Pas dan UMNO akan diperincikan melalui perbincangan dalam jawatankuasa perunding dan jawatankuasa teknikal, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menyatakan penyatuan PAS dan UMNO dalam pilihan raya menjadikan ‘PAS tidak bertanding dalam kawasan UMNO’. Dalam sesi berasingan, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan pula dengan jelas menyatakan matlamat utama kerjasama tersebut ialah untuk ‘memenangi Putrajaya’ dengan menewaskan Pakatan Harapan pada PRU15 [Sumber: Astro Awani].

Berdasarkan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh kepimpinan kedua-dua buah parti terbesar Melayu di negara ini, dapat dirumuskan bahawa kerjasama ini bermotifkan survival politik kepartian bagi menghadapi ‘common enemy’ iaitu Pakatan Harapan dalam pilihan raya akan datang. Kerjasama sebegini pastinya dilihat sebagai ancaman kepada kerajaan Pakatan Harapan kerana membawa sentimen orang Melayu-Islam yang mewakili peratusan terbesar pengundi di negara ini. Namun, sejauh mana kerjasama ini diterjemahkan kepada gerak kerja politik dalam membawa agenda Melayu-Islam masih terlalu awal untuk dibincangkan.

Apa yang pasti, permuafakatan umat Islam tidak sewajarnya disempitkan dalam kerangka politik demokrasi mahupun batas negara bangsa. Sebaliknya, permuafakatan ini sewajarnya diarahkan menuju penyatuan hakiki umat Islam di seluruh dunia di bawah satu kepimpinan yang menerapkan syariah Islam serta menyebarluaskannya ke segenap penjuru dunia. Penyatuan yang didasari ikatan akidah sebegini bukan sahaja boleh mengalahkan Pakatan Harapan, bahkan telah terbukti menggoncang kuasa besar dunia sepertimana yang disaksikan di zaman Nubuwwah dan Khulafa ar-Rasyidin suatu ketika dahulu.