Sorotan Mingguan (1 – 8 September 2019)

  • Malaysia Baharu lahir daripada cabang pengertian hijrah – Dr Wan Azizah
  • MSN tempelak Terengganu – ‘tiada isu ghairah dalam sukan’
  • PH terkena ‘kuman’ DAP, asingkan soal agama dan pentadbiran
  • Ekonomi berpaksi hutang, riba punca kemiskinan

Malaysia Baharu lahir daripada cabang pengertian hijrah – Dr Wan Azizah

Gagasan Malaysia Baharu lahir daripada salah satu cabang pengertian hijrah, apabila rakyat Malaysia bersama-sama berganding bahu menolak pengamal dan pendukung rasuah, kleptokrasi serta nepotisme, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail [Sumber: Astroawani].

Hijrah mengikut makna yang syarie berdasarkan fakta yang dilakukan oleh Rasulullah (SAW) yang berhijrah dari Mekah ke Madinah jelas suatu proses perubahan untuk keluar daripada kehidupan sistem jahiliah di Mekah kepada pembinaan sistem kehidupan Islam di Madinah. Perubahan (hijrah) itu melibatkan “orang (pemimpin) dan sistemnya” sekaligus.

Maka menganologikan pengertian hijrah dengan Malaysia Baharu merupakan suatu anologi yang keliru dan tersasar sama sekali. Hal ini demikian kerana walaupun pemimpinnya berubah namun sistem yang digunakan masih lagi mengikut acuan warisan penjajah. Inilah hukum jahiliyah kini yang perlu diubah dan diganti dengan sistem Islam. [Baca https://mykhilafah.com/semangat-hijrah/]


MSN tempelak Terengganu – ‘tiada isu ghairah dalam sukan’

Majlis Sukan Negara menempelak keputusan Terengganu menarik diri daripada sebarang acara gimnastik dan gimrama wanita kerana didakwa mengeksploitasi dan mempamerkan aksi “ghairah” wanita. Ketua Pengarahnya berkata, terpulang kepada individu dalam bab pemakaian beberapa jenis sukan selagi ia tidak menyalahi peraturan sukan antarabangsa dan tidak menyebabkan risiko keselamatan kepada atlet [Sumber: Malaysiakini].

Isu ini jelas menunjukkan bahawa idea kebebasan individu yang menjadi tunjang dalam demokrasi sekali lagi dijadikan hujah bagi menjustifikasikan satu bentuk perlanggaran hukum syarak. Sudah menjadi kewajipan bagi Muslimin dan Muslimat untuk memelihara aurat dan kehormatan kecuali dalam keadaan darurat. Dalam isu ini, bukanlah soal “ghairah” semata-mata yang menjadi pertimbangan, tetapi lebih kepada soal perlanggaran hukum syarak dalam etika berpakaian ketika bersukan.

Islam tidak menyekat umatnya daripada menjalani kehidupan aktif dan sihat, tetapi bukan dalam konteks industri sukan hari ini yang tidak memperhatikan soal hukum syarak, bahkan lebih menjurus kepada “escapism” berbentuk  kelalaian terorganisasi (laghwun munazzhamun). Industri ini juga berjaya mencipta ilusi ‘perpaduan’ tanpa menyelesaikan akar permasalahan perkauman yang membarah di negara ini. Di samping itu, sukan juga telah membius umat Islam di saat umat ini dihimpit dengan pelbagai permasalahan dan kemelut.


PH terkena ‘kuman’ DAP, asingkan soal agama dan pentadbiran

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) disifatkan sudah dijangkiti ‘kuman’ DAP apabila menyarankan supaya Piagam Muafakat Nasional Pas-UMNO hanya memberi tumpuan kepada soal ekonomi dan bukannya agama serta kaum. Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata Islam tidak memisahkan urusan agama dengan pentadbiran negara [Sumber: Utusan Online]

Annuar seakan-akan terlupa bahawa ketika partinya UMNO yang menerajui Barisan Nasional dan membentuk kerajaan selama lebih 60 tahun seringkali mengetepikan pandangan syarak dalam pemerintahannya. Sebaliknya, slogan-slogan Islamik dahulunya digunakan oleh UMNO bagi mengatasi pengaruh PAS yang kini telah menjadi rakan politiknya. Hakikatnya pemerintahan kerajaan dahulu jelas memisahkan Islam daripada sebahagian besar aspek kehidupan, dan hanya memastikan Islam yang diamalkan di negara ini tidak lebih daripada sekadar ritual ibadah tertentu semata-mata. Bahkan Islam yang dibenarkan untuk diamalkan di negara ini juga cuba ditundukkan agar selari dengan lunas perlembagaan.

Bukanlah ‘kuman’ DAP semata-mata yang menjadi punca sikap tersebut. Sebaliknya pemisahan agama daripada kehidupan ini berpunca daripada pemikiran sekularisme yang menjadi batu asas pembentukan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.


Ekonomi berpaksi hutang, riba punca kemiskinan

Punca sebenar masalah kemiskinan di negara ini ialah sistem ekonomi dan kewangan yang bertunjangkan kepada industri hutang atau amalan riba. Pensyarah, Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail berpandangan sedemikian ketika mengupas mengenai isu kenyataan wakil khas pelapor PBB mengenai kaedah penentuan kadar kemiskinan di Malaysia yang tidak realistik [Sumber: BH Online].

Amalan hutang dan riba ini merupakan sebahagian daripada ciri-ciri utama sistem kapitalisme yang diamalkan di negara ini. Dari sudut ini, penulis telah berjaya mengetengahkan punca sebenar yang seringkali gagal dilihat oleh kebanyakan umat Islam di negara ini yang rata-rata melihat soal kemiskinan dari sudut pandang perkauman semata-mata.

Namun, penulis tidak mengetengahkan solusi yang benar bagi menangani permasalahan ini. Sebaliknya beliau hanya menyeru kepada perubahan nilai yang tidak menjurus kepada kekayaan material sebagai kayu ukur semata-mata. Sedangkan permasalahan yang berbentuk sistemik sebegini pastinya menuntut kepada penyelesaian sistemik, iaitu dengan mengubah sistem yang diterapkan pada hari ini kepada sistem Islam yang merangkumi bukan hanya sistem ekonomi, bahkan segenap aspek kehidupan.

Perkara ini bukanlah suatu yang mustahil. Langkah pertama untuk menuju kepada penyelesaian tuntas ini adalah dengan mengakui bahawa sistem yang ada pada hari ini adalah rosak, serta meyakini bahawa Islam yang diturunkan sebagai deen pasti mempunyai penyelesaian terhadap segala bentuk permasalahan manusia, termasuklah dalam menangani soal kemiskinan ini.