Sorotan Mingguan (26 – 31 Ogos 2019)

  • Kaji terbitkan satu lagi Bon Samurai
  • Boikot produk bukan Islam tidak konstruktif
  • BSH tidak beri kesan besar kurangkan kemiskinan di Malaysia – Pakar Ekonomi
  • PM Pakistan gesa rakyat himpun zahir solidariti isu Kashmir

 Butiran:

Kaji terbitkan satu lagi Bon Samurai

Malaysia sedang mengkaji untuk menerbitkan satu lagi Bon Samurai bagi menangani masalah kewangan negara. Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hal ini susulan Jepun menawarkan pinjaman yang cukup rendah iaitu pada kadar di bawah 0.65 peratus. [Sunber: Utusan Online]

Di samping akan menambahkan lagi hutang negara dengan pihak luar, negara juga akan terus terjerumus dalam dosa riba yang tidak berkesudahan. Sedikit atau banyak kadar faedah yang ditetapkan, itu bukan alasan bagi seorang pemimpin tertinggi untuk mengetepikan hukum syara’ tentang dosa muamalah riba.

Tindakan ini secara tidak langsung juga akan membenarkan negara berlaku zalim kepada rakyat. Sebab negara perlu mencari sumber kewangan untuk membayar hutang (tambah riba) pada masa akan datang. Maka bagi negara yang berorientasikan kepada ekonomi kapitalisme, rakyatlah akan menjadi mangsanya dengan cukai yang akan dikenakan oleh negara. Hal ini sekaligus akan menambahkan kesempitan hidup rakyat yang kian terhimpit dengan masalah ekonomi ketika ini. [Baca https://mykhilafah.com/bon-samurai-negara-terus-terjerat-dengan-pinjaman-berunsur-riba/]


Boikot produk bukan Islam tidak konstruktif

Kempen mengutamakan pembelian produk Islam dan boikot produk bukan bumiputera di negara ini hanya satu tindakan sia-sia kerana ia tidak konstruktif, menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof. Menurutnya lagi, perkara yang paling penting pada waktu ini adalah setiap produk dikeluarkan mendapat sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). [Sumber: Utusan Online]

Islam tidak menghalang umatnya berurus niaga dengan orang kafir yang tidak memerangi Islam, asalkan urus niaga tersebut syarie. Dalam pada itu, apalah ertinya jika berurus niaga sesama Muslim tetapi akadnya batil dan tidak syarie.

Sepatutnya yang perlu diboikot ialah sistem kapitalisme yang menindas serta melebarkan jurang antara yang kaya dan miskin. Gantikan dengan sistem Islam. Islam bukan sekadar soal sijil halal semata-mata, bahkan mengatur kehidupan manusia dalam skop yang lebih luas.


BSH tidak beri kesan besar kurangkan kemiskinan di Malaysia – Pakar Ekonomi

Kadar pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) disifatkan masih rendah dan tidak memberi kesan besar kepada usaha mengurangkan kemiskinan serta isu kesamarataan di Malaysia. Pakar Ekonomi Kanan, Hab Penyelidikan dan Pengetahuan Global Kumpulan Bank Dunia di Malaysia, Dr Kenneth Simler menjelaskan, hasil kajiannya mendapati kenaikan sehingga lebih 50 peratus kadar BSH mampu mengatasi masalah berkenaan. [Sumber: Astroawani]

Terang lagi bersuluh bahawa dengan cara pemberian BRIM atau BSH ini bukanlah satu penyelesaian masalah kemiskinan. Cara seperti ini hanya melihat kepada masalah ‘permukaan’ tanpa menangani punca utama. Masalah utamanya ada pada sistem kapitalisme itu sendiri yang sehingga sekarang tidak mampu memecahkan persoalan kemiskinan, bahkan pemahaman kapitalisme tentang kemiskinan juga kabur dan relatif. Berbeza dengan sistem ekonomi Islam yang sudah pun menyelesaikan masalah kemiskinan ini semenjak 1300 tahun yang lalu. [Baca https://mykhilafah.com/takrif-kemiskinan-dalam-islam-konsisten-dan-relevan-sepanjang-zaman/]


PM Pakistan gesa rakyat himpun zahir solidariti isu Kashmir

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menggesa semua rakyatnya menyertai protes besar-besaran di seluruh negara untuk menzahirkan bantahan terhadap tindakan kerajaan New Delhi membatalkan status khas Kashmir, awal bulan lalu. [Sumber: Ismaweb]

Penzahiran melalui solidariti untuk isu Kashmir ini menunjukkan umat Islam sekali-kali tidak akan leka terhadap apa yang berlaku terhadap saudara seakidah mereka di Kashmir. Namun bagi seorang pemimpin yang mempunyai kuasa, menunjukkan solidariti tidak akan mengangkat bebanan hukum ke atas mereka untuk mengerahkan para tentera kaum Muslimin menyelamatkan umat Islam di Kashmir. Inilah yang wajib dilakukan oleh Imran Khan.