Diskusi Wanita Ogos 2010 : Ramadhan Disambut, Syariat Dituntut

BANDAR BARU BANGI – Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) dengan kerjasama Khilafah Centre (KC) sekali lagi telah berjaya menganjurkan Diskusi Wanita pada 8 Ogos 2010 (Ahad) yang lalu bertajuk ‘Ramadhan Disambut, Syariat Dituntut’ bertempat di Bilik Seminar Khilafah Centre, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi.

Objektif Diskusi Wanita yang akan dianjurkan setiap bulan ini adalah untuk memberi informasi dan kesedaran kepada umat Islam khususnya muslimah bahawa Islam yang syumul mempunyai penyelesaian kepada segala permasalahan yang menimpa umat Islam pada masa kini dan muslimah tidak terkecuali daripada melaksanakan beban hukum yang telah disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya.
 

Diskusi yang berlangsung selama tiga jam bermula 0830 pagi hingga 1200 tengahari ini dihadiri oleh lebih 30 orang muslimah. Diskusi Wanita kali ini menampilkan dua orang pembentang yang kedua-duanya adalah aktivis MHTM iaitu Ustazah Hajjah Ummu Hajar dan Ustazah Hajjah Ummu Kalsom.

Majlis dibuka dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Adik Aisyah Sakinah, berumur 5 tahun.  Seterusnya sebuah video multimedia telah ditayangkan berkisar tentang realiti sambutan Ramadhan oleh masyarakat Islam di Malaysia yang dihiasi dengan pelbagai juadah dan aktiviti-aktiviti di masjid dan surau dan dibandingkan dengan realiti suasana Ramadhan di Negara umat Islam yang lain. Di Afrika, rakyatnya masih kebuluran dan masih tinggal di khemah-khemah yang serba dhaif. Di Palestin pula, umat Islam masih lagi dalam ketakutan dan kebimbangan dek serangan bersenjata dan pengeboman oleh pihak kufar Yahudi laknatullah. Bagi mereka, bulan Ramadhan dengan bulan-bulan lain tiada bezanya kerana hak dan keperluan mereka masih tidak terpenuhi.

Majlis seterusnya diambil alih oleh pengerusi diskusi iaitu Puan Fairuz. Pembentangan pertama disampaikan oleh Ustazah Hajjah Ummu Hajar yang telah membawa tajuk ‘Ramadhan dan Ketaqwaan’. Beliau menjelaskan bahawa bulan Ramadhan merupakan bulan beribadat bagi umat Islam untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah. Umat Islam berlumba-lumba melakukan amalan-amalan sunat seperti solat terawih, sedekah, tadarus al-quran dan lain-lain. Namun persoalannya, adakah ketaqwaan kita sudah cukup sempurna dengan amalan ritual sahaja? Jawapannya adalah tidak, kerana Islam bukan hanya ibadah ritual. Islam menetapkan hukum dalam setiap aspek kehidupan manusia seperti hukum berpakaian, hukum mu’amalat, hukum uqubat, sistem politik, sistem pendidikan dan umat Islam wajib melaksanakannya secara keseluruhan.

Memfokuskan kepada ibadah ritual adalah cerminan dari pemikiran dan sistem sekular. Disebabkan setiap hari dan setiap kali masuknya Ramadhan ‘fenomena’ inilah yang sentiasa terhidang, maka umat Islam sudah tidak menyedari bahawa Ramadhan juga merupakan bulan perjuangan dan bulan kemenangan,” ujar beliau.

Majlis seterusnya berhenti rehat dan peserta diskusi dipertontonkan dengan video multimedia berkenaan aktiviti perjuangan Hizbut Tahrir di seluruh dunia.

Majlis disambung dengan pembentangan kedua oleh Ustazah Hajjah Ummu Kalsom yang membawa tajuk ‘Melangitkan Al-Quran Membumikan Syariat’. Beliau menjelaskan bahawa walaupun amalan puasa di bulan Ramadhan bersumber daripada Al-Quran, namun hampir keseluruhan sistem hidup umat Islam pada hari ini jauh daripada penerapan hukum seperti yang terkandung di dalam Kitabullah itu. Apa yang paling mengecewakan, umat Islam sendiri tidak mahu melaksanakan hukum-hukum ini. Buktinya, sistem pemerintahan kita bertunjangkan demokrasi, sistem ekonomi kita berasaskan kapitalisme, sistem perundangan kita berpandukan perlembagaan hasil rekaan pihak kuffar Barat dan amalan kehidupan seharian kita dipandu sekularisme. Disebabkan berlakunya kemungkaran-kemungkaran seperti yang disebutkan di atas, terjadilah pelbagai tragedi ngeri dalam riwayat hidup umat Islam. Harta milik bersama umat Islam (seperti minyak) telah dimonopoli oleh kuasa-kuasa besar ekonomi dunia menyebabkan harga barang-barang keperluan asas manusia terus meningkat dan dalam masa yang sama, kemiskinan dan kebuluran menghimpit. Syakhsiyah anak-anak Islam telah rosak dengan hidupnya budaya pergaulan bebas dan lemahnya sistem pendidikan yang tidak berasaskan aqidah Islam.

Islam adalah satu mabda’ yang  mengandungi aqidah dan syariah. Syariat Islam sebenarnya mampu menyelamatkan umat seperti yang berlaku pada zaman kekhilafahan. Selama 1300 tahun pemerintahan Islam, hanya  200 kes kecurian dicatatkan dan kemiskinan sifar telah dicatatkan pada zaman Sayyidina Umar Abdul Aziz dan tidak ada yang layak menerima zakat. Jadi, hanya dengan tertegaknya Daulah Islamlah Al-Quran dapat dilaksanakan  dan umat Islam perlu sedar bahawa mendirikan Daulah Islam adalah kewajipan ke atas seluruh individu muslim,” tegas beliau.

Sebuah lagi video multimedia telah ditayangkan yang menceritakan tentang kisah kehidupan dan  perjuangan umat Islam yang berlaku di bulan Ramadhan semasa hidup di bawah pimpinan Daulah Khilafah.  Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh adik Nurul Hidayah.

Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan untuk para hadirin yang memeriahkan majlis dan kepada jawatankuasa yang terlibat menjayakan program diskusi pada kali ini.  Semoga segala usaha dibalas dengan kebaikan dari Allah SWT.

Wallahu alam.