SN189 – HUKUM PARTI ISLAM MEMBUKA KEAHLIAN KEPADA NON-MUSLIM
Sirah perjuangan Nabi SAW dan para sahabat sebagai satu kutlah dakwah (Hizbu Rasul) bukan sahaja sekadar menjadi contoh, bahkan ia wajib diikuti oleh mana-mana parti Islam yang bekerja siang dan malam demi untuk menegakkan sebuah Negara Islam. Walaupun Hizbu Rasul mempunyai penyokong dan pelindung daripada kalangan orang-orang kafir ketika itu, namun kita hendaklah faham bahawa mereka bukanlah kelompok yang ‘bergabung’ dengan Hizbu Rasul. Mereka tidak berada dan tidak pernah berada di dalam kutlah (kelompok/jemaah) Rasul/sahabat, sebaliknya mereka berada ‘di luar’ dari kutlah tersebut. Hanya para sahabat yang telah memeluk Islam dan beriman sahaja yang termasuk di dalam Hizbu Rasul. Abu Thalib contohnya, bapak saudara kesayangan Nabi sekalipun bukanlah termasuk dalam Hizbu Rasul kerana kekafirannya, namun Hamzah yang juga bapa saudara Nabi adalah sebahagian dari Hizbu Rasul kerana keIslamannya. Ini kerana, ‘aqidah’ Islamlah yang menjadikan/menentukan seseorang itu masuk ke dalam Hizbu Rasul atau tidak. Adapun sokongan dan perlindungan yang diberikan oleh Abu Thalib, itu hanyalah berupa ‘himayah’ (perlindungan peribadi dari penganiayaan) kepada diri Rasulullah SAW, dan hal ini langsung tidak menjadikan Abu Thalib sebagai sebahagian dari Hizbu Rasul. Begitu juga dengan Muth’im bin ‘Ady (seorang kafir) yang pernah memberikan himayahnya kepada Rasulullah semasa baginda ingin memasuki kota Mekah sekembali baginda dari Thaif. Ibn Dughunah (seorang kafir), juga pernah memberi himayah kepada Abu Bakar untuk masuk semula ke Mekah. Semua itu adalah bentuk perlindungan peribadi dari penganiayaan (himayah) yang diberikan oleh orang kafir kepada Rasul dan sahabat, namun sekali-kali tidak menjadikan mereka sebagai ‘sahabat’ atau sebahagian dari anggota Hizbu Rasul.
Memang benar mereka adalah orang kafir yang memberi perlindungan kepada Hizbu Rasul, namun mereka bukanlah orang-orang yang bersama-sama berjuang di sisi Rasulullah SAW dan para sahabat dalam menegakkan Daulah Islam. Mereka bukanlah orang yang berjuang dan terseksa di jalan Allah, sebagaimana Bilal, Amar bin Yasir, Ibnu Mas’ud, Utsman bin Mazh’un dan lain-lain yang menyerahkan diri mereka kepada Allah dalam menegakkan agamaNya. Bukan! golongan kafir itu bukanlah penegak agama Allah. Mereka adalah orang yang mensyirikkan Allah. Justeru, ‘pemberian himayah’ mereka kepada Rasulullah dan para sahabat bukanlah menjadi ‘penerimaan keanggotaan’ mereka di dalam Hizbu Rasul. Dan hal ini tidak boleh sama sekali menjadi ‘dalil’ kepada bolehnya sesebuah gerakan Islam menerima keahlian orang kafir. Sungguh, hal ini adalah dua perkara yang berbeza, dan sesungguhnya Rasulullah SAW sekali-kali tidak pernah memasukkan orang kafir ke dalam kutlah baginda kerana ‘aqidah’ mereka yang berbeza dengan aqidah Rasulullah.
Sebagai seorang Muslim, kita perlu faham bahawa dalil yang membenarkan ‘penubuhan’ sesebuah parti politik (atau gerakan) Islam adalah ayat,
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (Islam), mengajak kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar.” [TMQ Ali Imran (3):104].
Dalam ayat ini Allah menerangkan bahawa ‘taklif hukum’ ke atas (ahli) parti politik adalah “yad’una ilal khair” (menyeru kepada kebajikan – Islam) dan “wa ya’muruna bil ma’ruf wa yanhauna anil munkar” (menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar). Kedua-dua taklif ini mustahil dilakukan oleh orang kafir. Ini adalah kerana sifat mereka sebagai ‘orang kafir’ itu sendiri yang tidak memungkinkan mereka “menyeru kepada Islam”, justeru, bagaimana mungkin mereka seterusnya hendak “menyuruh kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran?” Apa yang pasti, kedudukan mereka sebagai orang kafir itu sendiri adalah satu kesyirikan dan kemungkaran yang terbesar yang mereka lakukan kepada Allah, selaku Tuhan mereka. Syirik kepada Allah adalah salah satu dosa besar yang tidak akan diampuni oleh Allah SWT, jadi, mana mungkin seorang yang melakukan syirik dan maksiat besar kepada Allah (orang kafir) hendak “menyuruh kepada ma’aruf dan mencegah dari kemungkaran???”
Walaupun ayat di atas tidak menyatakan dengan jelas tentang usaha menubuhkan sebuah Negara, ia sebenarnya menerangkan peranan dan ciri sesebuah jemaah atau parti di dalam menegakkan amar ma’aruf dan mencegah mungkar dan di antara kemungkaran yang paling besar yang sedang berlaku pada ketika ini adalah sistem pemerintahan kufur yang sedang diterapkan ke atas umat Islam dan kemungkaran ini tidak mungkin dapat dihapuskan melainkan dengan menegakkan sebuah Negara Islam. Berkaitan dengan surah Ali Imran ayat 104 di atas, Syeikh Abdul Hamid Al-Ja’bah dalam kitabnya Al-Ahzab fi Al-Islam (halaman 120) berkata, “makna kata ‘minkum’ (di kalangan kamu) dalam ayat itu ditujukan kepada umat Islam dan ia menjadi sifat yang mencegah sebuah jemaah atau parti Islam daripada (menerima keanggotaan) orang-orang kafir, dan menghadkan keanggotaannya kepada orang-orang Islam sahaja.”
Manakala Syeikh Ziyad Ghazzal juga menegaskan pendapat yang sama dalam kitabnya Masyru’ Qanun Al-Ahzab fi Daulah Al-Khilafah (Rancangan Undang-Undang Parti Politik Dalam Daulah Khilafah) di dalam bab Syuruth al-‘udhwiyah fi al-ahzab as-siyasiyah (syarat keanggotaan parti politik) halaman 46, ia menyebut “Anggota parti Islam mestilah seorang Muslim, kerana parti Islam bertujuan untuk melakukan aktiviti politik secara umum, tanpa pengkhususan. Tugas parti politik Islam adalah bertujuan untuk mengkritik terhadap (kesalahan) hukum-hukum syara’ yang diterap oleh Khalifah (ketua negara) dan para pembantunya, melakukan amar makruf nahi mungkar terhadap mereka, meluruskan penyimpangan mereka jika mereka menyimpang dari syara’, dan mengangkat senjata di hadapan Khalifah jika Khalifah menampakkan kekufuran yang nyata, serta aktiviti-aktiviti politik lainnya. Jadi, parti politik (Islam) bertujuan melakukan aktiviti politik secara umum. Ianya mewajibkan anggota-anggotanya terdiri dari kalangan kaum Muslimin sahaja, kerana ciri parti politik Islam dan aktivitinya telah mewajibkan hal itu (keIslaman anggotanya).”
Ringkasnya, menurut Syeikh Ziyad Ghazzal, seseorang anggota parti politik Islam itu mestilah beragama Islam, disebabkan tuntutan yang muncul dari ‘ciri dan aktiviti’ parti politik Islam itu sendiri yakni melakukan amar makruf nahi mungkar. Dan ayat al-Quran telah menunjukkan bahawa aktiviti amar makruf nahi mungkar ini adalah ciri khas yang ada pada Mukmin dan bukanlah sifat bagi orang kafir. Firman Allah SWT,
“Kamu (umat Islam) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan kamu beriman kepada Allah” [TMQ Ali-Imran (3):110].
Di samping itu, banyak lagi ayat lain yang menerangkan bahawa melakukan amar makruf nahi mungkar adalah ciri khas umat Islam, dan bukan bagi orang kafir [lihat Ali ‘Imran (3):114; A’raf (7):157; At-Taubah (9):71].
Justeru, tugas menyeru kepada Islam dan amar makruf dan nahi mungkar ini sama sekali tidak mungkin dapat dilakukan oleh orang yang melakukan dosa yang paling besar iaitu mensyirikkan Allah SWT. Orang-orang yang mempersekutukan Allah juga langsung tidak layak melakukan tugas dakwah menegakkan Negara Islam. Tugas ini hanyalah tugas khas yang wajib dipikul oleh orang-orang Islam sahaja. Jadi, mengajak orang kafir untuk menjadi ahli parti Islam adalah suatu perbuatan yang bertentangan dengan perintah Allah, atas alasan apa sekalipun dan dalam keadaan apa sekalipun. Bahkan, ia menyebabkan orang Islam justeru bersekongkol dengan orang yang mensyirikkan Allah atas ‘justifikasi’ kerja amar ma’ruf nahi mungkar, walhal mereka sebenarnya bekerjasama dengan orang kafir demi mengejar undi dan kekuasaan semata-mata. Kita perlu faham bahawa perjuangan Islam bukanlah soal meraih undi dan kekuasaan semata-mata, tetapi perjuangan Islam adalah soal menerapkan hukum Allah di dalam setiap inci aktiviti kehidupan kita.
Sungguh amat menyedihkan apabila parti Islam bukan sahaja bekerjasama dengan golongan kafir yang jelas-jelas menentang Islam atas alasan ‘maslahat’ untuk menubuhkan negara Islam, malah kini ia membuka keahlian kepada golongan kuffar untuk menjadi sama taraf dengan orang Islam di dalam sebuah gerakan yang diasaskan atas aqidah Islam. Selain menjadikan kisah orang-orang kafir yang ‘membantu’ Islam di zaman Rasulullah dan para sahabat sebagai dalil untuk membenarkan orang kafir menganggotai parti Islam, justifikasi ‘menolak kezaliman’ turut dijadikan modal ke arah itu. Sesungguhnya kita perlu sedar bahawa upaya untuk menolak kezaliman dan upaya untuk mendirikan Negara Islam adalah dua hal yang berbeza. Kezaliman yang berlaku pada hari ini akibat tidak diterapkan syariat Islam adalah bersifat menyeluruh manakala hukum untuk mendirikan Negara Islam adalah bersifat khusus. Disebabkan itu, jika orang kafir ingin menolak kezaliman, hal seperti ini dibolehkan ke atas mereka. Dan jika orang Islam ingin menolak kezaliman, hal ini bukan sahaja dibolehkan, malah diwajibkan ke atas mereka.
Kezaliman boleh sahaja sama-sama ditolak oleh orang kafir dan orang Islam, tetapi tidak semestinya dengan cara orang kafir harus masuk (menjadi ahli) ke dalam parti Islam. Jika demikian halnya, secara logiknya seseorang Muslim juga boleh masuk (menjadi ahli) parti kufur atas alasan untuk menolak kezaliman yang sama. Tentu sahaja hal ini suatu yang amat dangkal dan naif untuk diterima atau dilakukan oleh seseorang Muslim. Menolak kezaliman itu adalah fitrah manusia dan ia menjadi tanggungjawab semua dan bukan hanya tanggungjawab parti Islam. Apa yang jelas, mereka (orang-orang kafir) boleh sahaja menolak kezaliman dengan cara mereka, manakala kita orang-orang Islam wajib menolak kezaliman dengan cara yang telah Allah tetapkan ke atas kita berdasarkan nas. Dan melakukan amar makruf nahi mungkar serta menegakkan Negara Islam hanyalah tugas/taklif khusus kepada orang Islam sahaja, kerana dalil samawi telah memutuskannya demikian.
Sesungguhnya Islam telah menggariskan hukum yang jelas tentang ‘tugas ahli’ gerakan Islam, dan tugas ini tidak boleh dijalankan oleh orang-orang kafir, baik kafir ahli kitab mahupun kafir musyrik. Islam juga tidak pernah meletakkan ‘maslahat’ sebagai hal yang ‘menghalalkan’ bergabungnya orang kafir ke dalam parti Islam, tetapi Islam meletakan ‘nas’ sebagai panduan wahyu untuk melihat apakah orang kafir dibenarkan menjadi ahli sesebuah gerakan Islam. Dan berdasarkan nas, amat jelas bahawa hukum bagi sebuah gerakan/parti Islam menerima keanggotaan daripada orang-orang kafir adalah HARAM. Di dalam hal ini, kita wajib berpegang kepada nas, yang jelas-jelas menerangkan bahawa aktiviti mengajak kepada Islam dan juga aktiviti amar makruf nahi mungkar (tugas parti Islam) hanya boleh dilakukan oleh orang Islam sahaja. Adapun ‘maslahat’, ia hanyalah satu kaedah, dan bukannya nas, dan maslahat tidak akan terpakai dalam keadaan ia bertentangan dengan nas. Dengan kata lain, jika sesuatu perkara itu telah jelas diharamkan menerusi nas yang qath’ie, maka kaedah ‘maslahat’ tidak boleh digunakan. Ulama terdahulu tidak pernah menggunakan kaedah maslahat untuk menghalalkan perkara yang haram. Namun kini, ramai ahli parti Islam telah menggunakan dalih ‘maslahat’ untuk ‘menghalalkan’ perkara yang haram melalui kaedah tersebut. Apa yang mereka katakan sebagai ‘maslahat’ tersebut hanyalah timbul atau diukur dengan ‘akal’ mereka semata-mata, walhal nas dengan jelas melarang apa yang mereka lakukan. Justeru, apa yang wajib kita pegang di sini adalah nas, bukannya ‘maslahat’ yang diukur berdasarkan akal fikiran. Insya Allah, Islam tetap akan menang tanpa bantuan orang-orang kafir dan Insya Allah, pertolongan Allah akan tetap tiba jua ke atas umat Islam apabila umat Islam itu mematuhi apa yang Allah tetapkan, walau tanpa bantuan orang kafir sekalipun.
Sukalah kami mengingatkan saudara-saudara kami dari gerakan Islam akan firman Allah,
“Janganlah orang-orang mukmin menjadikan orang-orang kafir sebagai wali selain orang-orang mukmin. Siapa sahaja yang berbuat demikian, maka terlepaslah ia dari pertolongan Allah…” [TMQ Ali Imran (3):28].
Dan firmanNya,
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadikan orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai wali bagimu, sebahagian mereka adalah wali bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka sebagai wali, maka sesungguhnya dia termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):51].
Ingatlah akan firman Allah,
“Sesungguhnya wali kamu hanyalah Allah, RasulNya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah)” [TMQ al-Ma’idah (5):55].
Semoga muhasabah sesama saudara Islam ini menjadi penyedar dan penyejuk kepada hati-hati yang ikhlas dan beriman. Wallahu a’lam.