SN563 – Memperingati Pembukaan Konstantinopel: Ibrah Di Sebalik Peristiwa

Bil: SN563 – 21 Jamadilawwal 1441 / 17 Januari 2020

SN563 - Memperingati Pembukaan Konstantinopel Ibrah Di Sebalik Peristiwa

Tanggal 20 Jamadil Awal 857H mencatatkan sebuah peristiwa penting dalam lipatan sejarah umat Islam yang panjang. Setelah hampir dua bulan melakukan kepungan, akhirnya dengan izin Allah (swt) tentera Muslimin yang dipimpin oleh Sultan Muhammad II atau lebih dikenali dengan julukan al-Fateh (Pembebas atau Pembuka) telah berjaya menawan Kota Konstantinopel yang merupakan pusat pemerintahan Empayar Byzantine. Dengan angkatan tentera berjumlah melebihi 250,000 dan armada yang terdiri daripada lebih 300 buah kapal, Sultan Muhammad telah merealisasikan bisyarah (khabar gembira) yang dituturkan oleh junjungan mulia Rasulullah (saw) yang bermaksud, “Konstantinopel pasti akan dibuka. Sebaik-baik amir adalah amirnya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya” [HR Ahmad]. Kejayaan pembukaan Kota Konstantinopel ini turut diungkapkan oleh Rasulullah (saw) sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr bin Al-As (ra) yang berkata, “Tatkala kami bersama Rasulullah (saw), kami mencatat ketika Rasulullah (saw) ditanya, ‘Di antara dua kota, yang mana satukah akan dibuka lebih dahulu, Konstantinopel atau Rom?’ Rasulullah (saw) menjawab: ‘Kota Heraklius akan dibuka lebih dahulu, yakni Konstantinopel’ [HR Ahmad, Ad-Darimi, dan Al-Hakim].

Sungguhpun demikian, kejayaan yang dicapai ini bukanlah suatu yang terealisasi dengan mudah. Bahkan pembukaan Konstantinopel hanya berhasil dibebaskan setelah lebih daripada 800 tahun yang dijanjikan melalui lisan mulia Rasulullah (saw). Pelbagai usaha dan persiapan telah dilakukan oleh umat Islam bagi merealisasikan bisyarah tersebut dan menjadi sebaik-baik amir yang memimpin sebaik-baik tentera yang membuka Konstantinopel. Muawiyah bin Abi Sufyan, Khalifah pertama dari Bani Umayyah, merupakan Muslim terawal yang bertekad untuk membebaskan Konstantinopel, sebagaimana yang tercatat dalam kitab Tarikh ath-Thabari oleh Imam Ibnu Jarir ath-Thabari. Beliau telah memberikan amanah kepada anaknya, Yazid bin Muawiyah untuk memimpin angkatan tentera Muslimin berjumlah lebih daripada 300,000 orang dan 300 buah kapal. Salah seorang sahabat Rasulullah (saw), Abu Ayyub al-Ansari (ra) yang ketika itu sudah berada dalam usia yang lanjut turut serta dalam jihad futuhat tersebut dan telah syahid sewaktu menyertainya. Jenazah beliau dikebumikan berhampiran dengan tembok pertahanan Konstantinopel.

Misi pembebasan Konstantinopel turut diteruskan oleh Abdurrahman bin Khalid bin Walid yang memimpin tentera Muslimin melakukan serangan selama enam tahun. Meskipun usaha tersebut tidak berjaya membebaskan kota itu, namun ia dianggap sebagai permulaan pembebasan Konstantinopel. Usaha ini kemudiannya diteruskan lagi di zaman pemerintahan Khalifah Muhammad al-Mahdi (Khalifah Abbasiyah), apabila Harun al-Rasyid memimpin kira-kira 95 ribu tentera Muslimin untuk membuka Konstantinopel. Walaupun gagal menawannya, namun ia telah menyebabkan Ratu Irene melaksanakan perjanjian gencatan senjata selama tiga tahun.

Kemudian pada 796H, Sultan Bayazid I telah menyiapkan bala tentera yang besar untuk menyerang Konstantinopel. Beliau berjaya menewaskan tentera Salib di Nicopolis (kini Bulgaria) beberapa tahun kemudian. Akan tetapi, beliau tidak berkesempatan untuk meneruskan hasrat menawan Konstantinopel kerana telah ditawan oleh Timur Lenk dalam Perang Angkara pada 1402M dan meninggal dunia pada 1403M ketika dalam tahanan. Sewaktu pemerintahan Sultan Murad II, iaitu bapa kepada Sultan Muhammad II, pengepungan berskala penuh telah dilaksanakan. Namun tentera Muslimin terpaksa berundur apabila tercetusnya pemberontakan oleh Kucuk Mustafa di Anatolia yang mendapat sokongan daripada puak Germiyan dan Karaman yang ingin menyekat kebangkitan kekuatan Uthmaniyyah.

Sebaik-baik Amir dan Sebaik-baik Tentera

Halangan tersebut tidak memadamkan semangat Murad II, sebaliknya beliau telah menyiapkan anaknya, Muhammad al-Fateh dengan memberikan didikan terbaik daripada ulama termasuklah Ahmad bin Ismail al-Kurani. Al-Suyuti mencatatkan bahawa Al-Kurani merupakan guru pertama al-Fateh dan memperakui keilmuannya yang dianggap sebagai Abu Hanifah pada zaman tersebut. Al-Fateh juga menerima didikan dan bimbingan daripada Syeikh Akshamsaddin Sungkar dalam ulum al-Quran, ilmu hadis, fiqh, serta bahasa Arab, Parsi, dan Turki serta ilmu-ilmu lain seperti sains dan sejarah. Melalui gurunya ini jugalah, al-Fateh telah ditanamkan kefahaman dan sikap yang benar mengenai hadis pembukaan kota Konstantinopel. Beliau turut dilatih dalam aspek kepimpinan serta kemahiran-kemahiran peperangan. Pada usia 21 tahun, Muhammad al-Fateh telah memimpin angkatan tentera bagi menyambung tugas mulia merealisasikan bisyarah Rasulullah (saw).

Keterampilan al-Fateh selaku seorang pemimpin yang berwawasan dan prihatin terhadap orang bawahannya dapat dilihat pada tindakan beliau sewaktu berhadapan dengan cabaran-cabaran dalam membuka Konstantinopel. Ketika tenteranya mengadu kesejukan tatkala melakukan kepungan ke atas Kubu Konstantinopel, beliau memutuskan untuk membina sebuah kubu sebagai tempat perlindungan bagi tentera Muslimin. Beliau tekad enggan berundur sebagaimana tentera-tentera Muslim terdahulu, sehinggalah kota tersebut berjaya dibuka dengan izin-Nya.

Antara cabaran lain yang dihadapinya adalah keteguhan benteng pertahanan Konstantinopel yang terdiri daripada tiga lapisan. Teknologi persenjataan Uthmaniyyah pada waktu itu tidak mampu untuk memecahkan tembok pertahanan Konstantinopel. Al-Fateh yang sentiasa mengikuti perkembangan kekuatan ketenteraan dunia pada waktu itu, telah mengetahui perancangan seorang jurutera Hungary bernama Urban untuk menghasilkan meriam yang mampu merobohkan tembok pertahanan kota. Justeru, al-Fateh menjemputnya dan menawarkan dana bagi membina meriam tersebut. Dalam tempoh yang singkat, Urban dan jurutera-jurutera Uthmaniyyah telah berjaya menghasilkan tiga meriam di bawah pemantauan secara langsung oleh al-Fateh.

Dalam pada itu, al-Fateh juga telah mengenal pasti selok-belok pertahanan Konstantinopel melalui siasatan dan kajian mendalam yang dilakukannya dalam persiapan untuk membebaskannya. Pertahanan di kawasan teluk merupakan antara yang terlemah, namun laluan kapal memasuki teluk tersebut telah direntangi dengan rantai bagi menyekat kemaraan armada dari perairan berhampiran. Bagi mengatasi halangan ini, al-Fateh telah memerintahkan supaya kapal-kapal Muslimin dipindahkan melalui jalan darat. Kayu-kayu disusun dan dilumuri minyak bagi melancarkan proses pemindahan kapal-kapal melalui Bukit Galata dalam tempoh satu malam.

Demikianlah usaha-usaha gigih yang dilaksanakan oleh Muhammad al-Fateh dan tentera kaum Muslimin dalam membebaskan Konstantinopel. Setelah Konstantinopel menyerah pada 20 Jamadil Awal 857H, Muhammad al-Fateh memasuki kota dan bersujud syukur atas kejayaan ini. Beliau kemudiannya bergerak menuju Gereja Hagia Sophia dan menawarkan perlindungan ke atas rahib-rahib dan warga Byzantine yang berada di sana. Gereja tersebut kemudiannya ditukar menjadi masjid yang tersergam indah selama ratusan tahun sebelum umat Islam dilarang daripada menunaikan solat di sana dan diubah menjadi muzium oleh sekularis Atarturk. Al-Fateh turut mendirikan masjid dan makam berhampiran tempat pengebumian Abu Ayyub (ra) sebagai tanda penghormatan atas kesungguhan beliau merealisasikan bisyarah dan berjihad di jalan-Nya demi membuka Konstantinopel. Kota Konstantinopel kemudiannya dijadikan pusat pemerintahan Uthmaniyyah dan dinamakan semula sebagai Islambol (Kota Islam) sebelum dikenali sebagai Istanbul.

Ibrah Pembukaan Konstantinopel

Peristiwa pembukaan Konstantinopel ini bukan hanya lintasan sejarah yang mengingatkan kita akan zaman kegemilangan Islam yang telah berlalu. Sebaliknya terdapat ibrah (pengajaran) yang seharusnya diambil oleh kita selaku generasi Islam di zaman ini dalam menanggapi perkhabaran berbentuk bisyarah daripada Rasulullah (saw). Sikap terpuji yang ada pada generasi Muslim terdahulu yang bersungguh-sungguh untuk menjadi mereka yang terpilih bagi merealisasikan bisyarah perlu kita contohi. Inilah manifestasi keimanan yang sejati, bukannya dengan hanya menanti di pinggiran tanpa melakukan sebarang usaha praktikal ke arah merealisasikannya.

Kota Konstantinopel telah dibebaskan sebagaimana janji Rasulullah (saw), namun sehingga kini pembebasan kota Rom masih lagi belum direalisasikan. Maka, apakah kita sekadar ingin menjadi pemerhati dan duduk sahaja tanpa melakukan sebarang tindakan, tanpa sedikit pun punya keinginan untuk menyumbang kepada pembukaan Rom? Di samping pembukaan Konstantinopel dan Rom, Rasulullah (saw) juga telah menjanjikan kembalinya Khilafah ala minhaj nubuwwah, serta bangkitnya umat ini memerangi Yahudi dan mencapai kemenangan besar ke atas mereka. Ingatlah bahawa untuk kesemua bisyarah ini direalisasikan, Sunnatullah menuntut kita untuk berusaha ke arah tersebut sehingga kelak barulah datang bantuan-Nya.

Seandainya umat ini hanya sekadar pasrah tatkala berhadapan dengan apa yang terjadi, serta membiarkan kehidupan berjalan seadanya tanpa berusaha meraih apa yang diingini, apatah lagi jika umat ini terus membiarkan kekufuran bermaharajalela dan hanya menjaga urusan peribadi sahaja, di samping sekali-sekali berdoa mengharapkan tibanya kemenangan, ini jelas merupakan suatu bentuk penyimpangan terhadap kefahaman yang benar berhubung khabar yang berbentuk bisyarah. Sikap sebegini tidak akan merealisasikan bisyarah, bahkan akan menatijahkan pengabaian terhadap tuntutan syarak. Islam kaffah tidak akan ditegakkan tanpa usaha untuk merealisasikannya.

Apa yang lebih memburukkan keadaan, terdapat pula segelintir pihak termasuk dalam kalangan umat Islam sendiri, samada sedar atau tidak, telah menjadi batu penghalang yang cuba menghalang daripada terealisasinya bisyarah tersebut. Golongan sebegini terpengaruh dengan anasir-anasir pemikiran yang ditanam oleh kaum kuffar sehingga menyebabkan mereka sinis terhadap pihak yang ikhlas berusaha melaksanakan kewajipan sekali gus ingin merealisasikan bisyarah ini. Kaum kuffar sangat takutkan kebangkitan ini, kerana Khilafah yang bakal berdiri tidak lama lagi, bukan sahaja akan menyatukan umat Islam dan menerapkan syariat secara kaffah, bahkan akan menjadi sebuah kekuatan yang akan mengalahkan mereka, seterusnya akan merintis jalan kepada terealisasinya khabar-khabar gembira yang dijanjikan oleh Rasulullah (saw), termasuklah pembukaan Rom!

Akhir kalam, kami ingin melontarkan persoalan buat renungan bersama – apakah peranan kita dalam menanggapi dan merealisasikan bisyarah ini? Masing-masing mungkin sudah mengetahui jawapannya. Maka, ayuhlah kita bersama-sama berusaha menjadi golongan yang menyambung dan menyumbang kepada terealisasinya bisyarah Rasulullah (saw) yakni dengan berusaha menegakkan Khilafah ala minhaj nubuwwah untuk kali yang kedua, yang seterusnya akan memerangi Yahudi dan mencapai kemenangan besar ke atas Yahudi, dan juga yang akan membuka Kota Rom, yang pada hari itu bergembiralah seluruh umat Islam. Amiiin ya Rabbal alamiin..

Download