Kesalahan penyelesaian kapitalis dan yang serupa dengannya dalam menghadapi masalah coronavirus, dan penyelesaian yang benar hanyalah dengan syariah
[Berikut ialah sebahagian daripada terjemahan Soal Jawab daripada Amir Hizbut Tahrir, Syeikh Atha’ Abu Ar-Rasytah berhubung isu Covid-19]
Golongan kapitalis dan yang serupa dengannya menghadapi isu ini dengan tiga tahap penyelesaian:
Tahap Pertama: menyembunyikan topik
1- Laporan dari China mendedahkan bahawa pihak berkuasa China telah menyembunyikan berita wabak yang mematikan ini daripada orang-orang China dan juga daripada seluruh dunia, sedangkan pihak berkuasa telah pun mengetahui mengenai penularannya sebelum pertengahan bulan Disember 2019. Mereka menutup berita tersebut dan tidak mengiktirafnya hinggalah ke akhir tahun setelah jumlah kes meningkat. Wartawan keturunan China-Amerika, Sang Wei Wang menegaskan bahawa pihak berkuasa China tidak menutup pasar makanan laut di kota Wuhan hinggalah ke bulan Januari, yang dari situlah tersebarnya wabak. Laporan mendedahkan bahawa 8 orang warganegara telah ditangkap kerana menyebarkan berita mengenai wabak pada awal berlakunya krisis dan menganggap mereka sebagai pelanggar undang-undang kerana menyebarkan maklumat yang belum disahkan. Sang Wei Wang menyatakan selanjutnya bahawa pihak berkuasa tempatan mendakwa bahawa situasi adalah seperti biasa dan mereka membenarkan salah satu perayaan tradisi tempatan pada 18 Januari yang dihadiri oleh sekitar 40 ribu buah keluarga” (Ibid 01/02/2020).
2- Begitu juga [para pegawai kerajaan China tidak memberi amaran kepada rakyatnya mengenai bahaya krisis pada bulan Disember hinggalah ke 31 Disember apabila Beijing memberitahu WHO. Pada waktu itu kerajaan China mengatakan, “wabak masih boleh dicegah dan dalam keadaan terkawal”. Pada 23 Januari, pihak berkuasa menutup kota Wuhan dan larangan perjalanan sepenuhnya telah dikeluarkan (Masrawy 23/3/2020)].
Tahap Kedua: kuarantin dan pengasingan sebahagian
1- [Pegawai-pegawai kerajaan dari sektor kesihatan di Amerika Syarikat (AS) mengesahkan pada hari Sabtu, terdapat kes baru coronavirus yang ke-8. Kementerian Pertahanan AS mengatakan bahawa AS akan menyediakan tempat perlindungan bagi pendatang luar yang tiba, yang perlu di kuarantin…Kota Wuhan dan wilayah Hubei di China Tengah, yang dari situ munculnya virus, hendaklah tertakluk kepada kuarantin yang sebenar (Sky News 12/2/2020)].
2- Di Amerika Syarikat, gabenor negeri New York, Andrew Cuomo mengatakan, “kami berada dalam kuarantin” sambil menegaskan bahawa itu adalah “langkah paling ketat yang boleh kita ambil”. Dengan dikenakan perintah kuarantin di New York, California, New Jersey dan Illionis, lebih 85 juta penduduk kini terpaksa tinggal di rumah, kecuali untuk keluar berbelanja dan berjalan kaki dalam jarak yang dekat (Deutsche Welle 21/3/2020).
Tahap Ketiga: Pengasingan hampir sepenuhnya di rumah
[Ratusan juta orang di seluruh dunia diasingkan di rumah-rumah mereka dengan harapan dapat menghentikan penularan coronavirus yang telah menyebabkan kematian lebih daripada 11 ribu orang. Tindakan seketat ini, yang dilakukan dengan tahap yang berbeza-beza bergantung kepada setiap negara, belum pernah terjadi dalam sejarah umat manusia…lebih daripada 800 juta orang di lebih 30 buah negara diminta untuk tinggal di rumah, sama ada disebabkan oleh keputusan untuk kuarantin secara umum atau rekomendasi atau perintah berkurung, menurut kaji selidik yang dijalankan oleh AFP…Di Jerman, pihak berkuasa sedang mempertimbang untuk memperketat langkah kawalan ke atas kehidupan umum dan mewajibkan sebahagian besar penduduk untuk tinggal di rumah…Itali, negara Eropah yang paling terjejas oleh virus yang telah membunuh 4000 orang, dan merupakan negara pertama di benua Eropah yang memerintahkan penduduk di kuarantin, sedang berusaha untuk mempertingkat langkah-langkah mereka dalam menghadapi penularan wabak tersebut. Itali akan menutup semua taman dan kawasan terbuka kepada orang ramai hujung minggu ini, dan sekatan-sekatan lain akan turut dikenakan dalam rangka mendorong warganya agar tetap tinggal di rumah masing-masing. Ini setelah pihak berkuasa mengumumkan kematian seramai 627 orang dalam masa 24 jam di negara itu, yang menjadi jumlah tertinggi sejak tercetusnya wabak (Deutsche Welle 21/3/2020).
Dengan menyusun tiga tahap rawatan ini, apa yang berlaku ialah ia tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya ia semakin meningkatkan kegagalan ekonomi, dan kemudian meningkatkan lagi penularan wabak serta kebosanan dan ketidaksabaran masyarakat, sepertimana yang kita dengar apa yang berlaku dalam masyarakat kapitalis.
Atas dasar itu, penyelesaian yang benar untuk wabak ini ialah seperti yang terdapat dalam syariah Allah (swt), yakni dengan negara mengikuti (perkembangan) wabak tersebut sejak awal dan berusaha untuk menyekat wabak di tempat kemunculannya. Manakala orang-orang yang sihat di tempat-tempat lainnya tetap bekerja dan produktif.
Imam Bukhari telah meriwayatkan di dalam Sahih-nya dari Usamah bin Zaid dari Nabi (saw), baginda bersabda:
«إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا»
“Apabila kalian mendengar wabak di suatu tempat, maka janganlah kalian memasukinya. Apabila terjadi wabak di tempat kalian berada, maka jangan kalian tinggalkan tempat tersebut.”
Dalam hadis lain riwayat Imam Bukhari dan Muslim dan lafaznya dari Muslim, dari Usamah bin Zaid, ia berkata, Rasulullah (saw) bersabda:
«الطَّاعُونُ رِجْزٌ أَوْ عَذَابٌ أُرْسِلَ عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ أَوْ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ فَإِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلَا تَقْدَمُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا فِرَاراً مِنْهُ»
“Tha’un (wabak) itu adalah azab yang dikirimkan oleh Allah kepada Bani Israel atau orang-orang sebelum kalian. Oleh itu, jika kalian mendengar tha’un menimpa suatu negeri, janganlah kalian memasuki negeri tersebut, dan jika tha’un itu terjadi di negeri yang kalian berada di dalamnya, maka janganlah kalian keluar daripadanya.
Dalam riwayat lain oleh Imam Bukhari dari Aisyah (ra) isteri Nabi (saw), ia berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah (saw) tentang tha’un lalu baginda memberitahuku,
«أَنَّهُ عَذَابٌ يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ وَأَنَّ اللَّهَ جَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ لَيْسَ مِنْ أَحَدٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ فَيَمْكُثُ فِي بَلَدِهِ صَابِراً مُحْتَسِباً يَعْلَمُ أَنَّهُ لَا يُصِيبُهُ إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ إِلَّا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ شَهِيدٍ»
“Tha’un itu merupakan azab yang Allah turunkan terhadap siapa yang Dia kehendaki, dan Allah jadikan sebagai rahmat untuk orang-orang Mukmin. Maka tidak ada seorang hamba pun yang tetap berdiam di negerinya di saat tha’un melanda, lalu dia bersabar mengharap redha Allah, dan dia tahu bahawa tidak ada apa yang akan menimpanya kecuali apa yang telah Allah tuliskan untuknya, kecuali untuknya ganjaran seperti pahala syahid.”
Inilah bentuk kuarantin dalam sebuah Negara yang telah mendahului semua negara lain. Ia adalah sebuah Negara bertamadun kelas pertama yang mana pemimpinnya adalah Nabiyullah dan Rasul-Nya (saw), yang menerima wahyu dan menerapkan Islam agar menjadi suri teladan dalam pelaksanaannya. Ibnu Hajar menukilkan dalam Fathu al-Bari bahawa Umar (ra) keluar ke Syam, dan ketika tiba di Syargh, sampai berita kepadanya bahawa wabah sedang menular di Syam. Lalu Abdurrahman bin ‘Auf memberitahunya bahawa Rasulullah (saw) bersabda:
«إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلَا تَقْدَمُوا عَلَيْهِ، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ»
“Apabila kalian mendengar wabak di suatu tempat, maka janganlah kalian memasukinya. Apabila terjadi wabak di tempat kalian berada, maka janganlah kalian tinggalkan tempat tersebut.”
Maka Umar bin al-Khattab pun pulang semula; yakni ketika sampai berita bahawa wabak telah menular, Umar kembali bersama kaum Muslimin.
Berdasarkan hal itu, maka negara (dalam Islam) mesti membatasi wabak di tempatnya dan penduduk di tempat wabak tetap tinggal di situ, manakala penduduk di tempat lain tidak memasukinya. Negara melakukan kewajipan syarie-nya kerana ia adalah negara yang memelihara rakyatnya dan menunaikan amanahnya. Sebagaimana negara melakukan langkah-langkah ini ketika menularnya wabak, negara juga dalam masa yang sama menyediakan layanan kesihatan berupa perkhidmatan perubatan dan ubat-ubatan secara percuma untuk seluruh rakyat, membina hospital-hospital dan makmal perubatan dan lain-lain keperluan asas untuk warganegara seperti pendidikan dan keamanan.
Oleh yang demikian, prosedur yang benar ialah dengan mengasingkan penyakit yang menular di tempatnya dan mengkuarantin orang yang sakit dan menyediakan rawatan susulan secara percuma. Manakala orang-orang yang sihat tetap meneruskan kerja mereka seperti biasa. Kehidupan sosial dan ekonomi diteruskan sebagaimana sebelum menularnya penyakit. Kehidupan masyarakat umum seharusnya tidak terhenti, dan mereka tidak diasingkan (dikurung) di rumah-rumah mereka sehingga melumpuhkan atau hampir melumpuhkan kehidupan ekonomi sehingga menjadikan krisis lebih buruk, dan memunculkan pula masalah-masalah lain.
2 Sya’ban 1441 H
26 Mac 2020 M
[Soaljawab asal yang penuh sila klik https://www.facebook.com/HT.AtaabuAlrashtah/photos/a.1705088409737176/2593156944263647/?type=3&theater]