Hentikan kebencian terhadap Muslim Rohingya
Sentimen kebencian terhadap Muslim Rohingya semakin menjadi-jadi semenjak insiden pengusiran bot yang membawa hampir 200 Muslim Rohingya oleh pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 16 April lalu.
Berlatarbelakangkan wabak COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sentimen tersebut seumpama api yang semakin marak disimbah pula dengan petrol, ekoran kebimbangan terhadap penularan wabak, ketidaktentuan ekonomi serta kesempitan hidup yang dihadapi oleh warga tempatan.
Apa pun alasannya, sikap buruk sangka dan kebencian sebegini sangat dikesalkan, kerana ia merupakan kebencian atas dasar perkauman, serta menstereotaipkan (stereotyping) keseluruhan Muslim Rohingya berdasarkan pemerhatian terhadap sikap segelintir daripada mereka.
Sikap yang diharamkan oleh Islam ini bukanlah tercetus semata-mata akibat situasi getir yang dihadapi ekoran penularan pandemik COVID-19, malah jauh sebelum COVID-19, sikap seperti ini telah tertanam dalam segelintir umat Islam. Ketika krisis di Arakan melibatkan Muslim Rohingya memuncak pada 2012, sentimen tersebut telahpun ditimbulkan oleh segelintir pihak, namun agak tenggelam kerana pandangan umum ketika itu bersimpati terhadap nasib yang menimpa mereka.
Kini keadaan sudah berubah bilamana sentimen kebencian semakin mendapat tempat dalam kalangan netizen di media sosial, atau mungkin sahaja mereka ini terdiri daripada ‘loud minority’ (kelompok kecil yang bingit seakan-akan membentuk suara majoriti) sehingga berjaya membentuk ‘public opinion’.
Maka, hujah-hujah seperti “utamakan keluarga kita dahulu” dan “kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan” telah dilaung-laungkan sehingga menghakis nilai kemanusiaan dan ikatan persaudaraan Islam. Lebih memilukan apabila sentimen ini lantang dilaungkan oleh segelintir Melayu-Muslim sendiri.
Hal ini jauh berbeza dengan sikap generasi Islam terdahulu yang mengutamakan persaudaraan Islam, sepertimana yang disaksikan ketika penduduk Makkah dan Madinah berhadapan kebuluran ketika zaman Saidina Umar (ra), lalu umat Islam dari wilayah lain seperti Syam dan Mesir telah menghantar bantuan bekalan makanan bagi meringankan beban saudara mereka. Umat Islam ketika itu bersatu di bawah institusi Khilafah, tidak seperti umat Islam hari ini yang dipisahkan oleh batas sempadan palsu negara bangsa yang diwarisi daripada penjajah.
Lihat Isu Dengan Cara yang Benar
Tanpa mengetepikan kegelisahan terhadap implikasi COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi, sikap kebencian atas dasar perkauman dan sempadan assobiyah sebegini tidak sewajarnya dibiarkan kerana ia jelas haram dalam Islam. Islam juga menekankan tanggungjawab kita untuk membantu di saat saudara kita mencari perlindungan. Kewajipan ini bukan sekadar nilai kemanusiaan semata-mata bahkan menjadi tuntutan dan hak yang perlu ditunaikan ke atas saudara seakidah kita.
Berbalik kepada persoalan sama ada kita perlu menerima atau mengusir bot Rohingya, jawapannya begitu jelas menurut Islam. Mereka wajib dibantu dan diberikan perlindungan. Jika bimbang risiko penularan penyakit, maka mereka boleh disaring, dirawat, dan dikuarantin terlebih dahulu di tempat-tempat penempatan sementara. Tindakan TLDM memberikan makanan sebelum mengiringi bot tersebut keluar daripada sempadan perairan adalah berperikemanusiaan, namun tidak sewajarnya terhenti setakat itu sahaja. Ini kerana, asas kewajipan membantu Muslim Rohingya tidak seharusnya lahir dari sikap perikemanusiaan, tetapi atas dasar persamaan akidah dan perintah Allah.
Dalam konteks ini, kita tidak berbicara tentang bantuan oleh individu atau NGO yang sememangnya bersifat terbatas dan tidak akan menyelesaikan masalah, kita berbicara tentang kewajipan negara (pemerintah) yang wajib membantu mereka dengan kekuatan dan segala sumber yang ada pada negara. Ini dari satu aspek.
Dari aspek lain, penyelesaian terhadap krisis pelarian Rohingya ini memerlukan penyelesaian berdasarkan mabda’ (ideologi) Islam secara menyeluruh, bukan diambil sekerat-sekerat. Dari segi penyelesaian jangka pendek, ya pelarian Rohingya (sebagai mangsa) wajib diselamatkan oleh negara apabila mereka datang ke negara ini. Namun ia tidak akan menyelesaikan masalah ini secara tuntas. Maka untuk memastikan masalah ini selesai secara ‘once and for all’, kezaliman rejim Myanmar (sebagai pemangsa) mesti dihapuskan. Seandainya rejim Myanmar, yang telah menindas Muslim Rohingya berdekad-dekad lamanya, dapat dihapuskan, maka sudah pasti tidak akan ada lagi pelarian. Tidak akan ada lagi bot yang meredah samudera membawa penumpangnya yang menyabung nyawa demi mencari perlindungan.
Walau bagaimanapun, perbincangan mengenai penyelesaian jangka panjang ini memerlukan pembahasan yang lebih terperinci, dan ia bukanlah fokus penulisan ini.
Perlu diingat bahawa tidak ada sesiapa pun yang mahu menjadi pelarian. Begitu juga dengan Muslim Rohingya. Setiap orang secara umumnya akan suka dan memilih tempat tinggal asal mereka untuk menjalani kehidupan. Namun, kerana keterpaksaan, termasuklah kerana kekejaman pemerintah, maka mereka terpaksa melarikan diri dan menjadi pelarian. Ia bukanlah pilihan yang mereka ingini. Siapakah di dunia ini yang pilih untuk menjadi pelarian dan hidup susah dengan nyawa diri dan keluarga tergadai setiap masa?
Bukan soal setitik nila dan susu sebelanga
Terdapat segelintir Muslim Rohingya di negara ini yang dikatakan naik kepala, berkelakuan kasar, didakwa terlibat dalam penipuan, dituduh pengotor, samseng dan sebagainya. Jika mereka melakukan kesalahan, maka tindakan hendaklah diambil ke atas mereka, sebagaimana pelaku jenayah lainnya, dan sudah tentu tidak perlu berkompromi dalam hal ini. Namun ada perkara yang perlu diperhatikan dari segi situasi yang menyelubungi kehidupan mereka – mereka rata-rata tidak mendapat pendidikan formal yang sempurna, hidup dalam kesusahan, dan berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan akibat status mereka di negara ini.
Selain itu, sebahagian mereka adalah mangsa kepada sindiket pemerdagangan manusia yang mengambil kesempatan meraih untung daripada penderitaan orang lain. Bahkan terdapat dakwaan bahawa mereka telah diperas ugut oleh sesetengah individu dalam kalangan pihak berkuasa yang mengambil kesempatan atas status mereka di negara ini. Semua ini memburukkan lagi keadaan kewangan mereka, yang boleh menjadi penyebab kepada bertambahnya kes jenayah dalam kalangan mereka kerana kesempitan hidup.
Atas dasar itu, akar permasalahan (root cause) hendaklah dikenalpasti dan diselesaikan juga, bukan sekadar melihat kepada masalah yang muncul di permukaan, lalu membuat kesimpulan secara pukul rata terhadap Muslim Rohingya secara keseluruhannya. Kita tidak akan membela apa-apa kejahatan dan kesalahan, siapa pun pelakunya. Namun, kita kena lihat dengan pandangan yang adil, bukan pandangan perkauman.
Muslim Rohingya bukanlah selamanya perlu dibantu, bahkan jauh sekali untuk menyarankan pemerintah memberikan layanan istimewa kepada mereka. Cukup sekadar memastikan yang mereka mendapatkan pekerjaan, tempat tinggal dan kehidupan yang makruf (baik) sebagai seorang manusia. Selebihnya mereka dibiarkan berdikari untuk meneruskan hidup sebagaimana warganegara lainnya, dan mereka tertakluk kepada hak, tanggungjawab dan undang-undang yang sama sebagaimana orang lain.
Perlu diingat bahawa ramai juga Muslim Rohingya yang turut membantu memajukan ekonomi negara ini, dengan bekerja di sektor-sektor yang ramai warga tempatan tidak mahu terlibat pun. Malah sebahagian mereka turut menghulurkan bantuan kepada orang lain yang memerlukan seperti kepada mangsa banjir di Kelantan tidak lama dulu. Malah ada yang menjadi tenaga pengajar di pusat-pusat tahfiz dan lain-lain. Namun malangnya segala kebaikan ini tenggelam kerana sikap prejudis dan assobiyah warga tempatan..
Sikap kebencian, stigma, dan stereotyping ini merupakan natijah yang terbit ekoran pemikiran sekular dan assobiyah yang menebal dalam kalangan segelintir umat Islam di negara ini. Hal ini bertentangan dengan ajaran Islam yang menekankan penyatuan atas dasar akidah tanpa mengira perbezaan warna kulit mahupun darjat. Stereotyping dan stigma terhadap mereka akan hanya memburukkan keadaan, meleraikan ikatan persaudaraan Islam, dan menghakis nilai kemanusiaan.
Sentimen kebencian ini juga telah menjadikan umat Islam lupa bahawa antara sebab kepada akar permasalahan ialah akibat terpecahnya kaum Muslimin kepada negara-negara bangsa hasil penjajahan Barat. Dahulu, umat Islam bersatu di bawah satu negara iaitu Khilafah. Kemudian setelah penjajahan, negara umat Islam dipecah-pecahkan dan diterapkan sistem kapitalisme ke atas umat ini yang menjadikan sikap materialistik dan individualistik menancap tebal dalam tubuh umat, sehingga menghakis nilai kemanusiaan serta persaudaraan Islam.
Bersempena kehadiran Ramadhan ini, marilah kita bersama-sama memuhasabah diri kita serta menyucikan diri daripada pemikiran kotor yang berbaur perkauman dan kebencian terhadap saudara seakidah kita.
Editor