Ketakutan dan kebencian terhadap pendatang Muslim semarakkan kembali parti nasionalis di Jerman

alternative-for-germanyMenurut akhbar Time pada 13 Mac, 2016, “Parti nasionalis Jerman, Alternative for Germany (AfD), telah menyertai kesemua tiga badan perundangan di Baden-Wuerttemberg, Rhineland-Palatinate dan Saxony-Anhalt selepas berkempen menentang dasar liberal migran yang dibawa oleh Merkel, ahli politik dari Parti Christian Democratic Union (CDU).”

Apa yang pasti, kejayaan parti nasionalis ini dalam menyertai ketiga-tiga badan perundangan tersebut adalah hasil perasaan takut yang berjaya mereka cipta dalam masyarakat. Susulan daripada permohonan suaka 1.1 juta pelarian Muslim di Jerman tahun lepas, parti AfD menyebar dan menyemarakkan api xenofobia (sikap ketakutan atau kebencian terhadap orang asing) dan telah berkempen serta berjanji untuk mengubah dasar liberal penerimaan pelarian pencari suaka di Jerman.

Parti AfD telah ditubuhkan pada tahun 2013 asalnya sebagai platform untuk menentang mata wang euro. Ia menarik perhatian rakyat dengan menabur janji untuk melindungi mereka dan ekonomi Jerman daripada ketidakstabilan negara-negara di selatan Kesatuan Eropah yang dilanda risiko akibat hutang semasa mereka. Namun, dalam masa yang sama sejak penubuhannya, gelombang kemasukan besar-besaran pendatang Muslim akibat kemusnahan perang di Syria di tangan Bashar al-Asad si pembunuh, telah menggantikan isu yang popular sebelum ini, yakni ‘krisis matawang euro’  yang merupakan kebimbangan terbesar bagi penduduk seluruh benua Eropah dari timur ke barat.

Buat pertama kali sejak parti Nazi pimpinan Hitler ditolak oleh Jerman, agenda politik fasis (nasionalisme) telah menjelma menjadi kuasa utama dalam politik arus perdana dan menyertai barisan-barisan pergerakan dan parti yang anti-imigran di Perancis serta seluruh Eropah.

Agenda anti-imigran adalah agenda biasa yang dimainkan oleh parti ekstrem nasionalis yang takut ‘kehabisan oksigen’ jika tiada ancaman daripada kumpulan bukan warganegara daripada mengambil alih negara. Gerakan politik yang dibina atas dasar rasa takut itu berjaya meraih kuasa semasa berlaku krisis dan menawarkan penyelesaian yang murah dan mudah yang popular dalam kalangan majoriti penduduk.

Dalam demokrasi, pergerakan fasis seumpama ini memang dibenarkan dan tidak ada orang yang dilindungi darinya oleh demokrasi. Dalam demokrasi juga, adalah suatu perkara biasa suatu krisis dialihkan kepada krisis yang lain dengan penyelesaian berbentuk eksperimen yang ditawarkan oleh parti lawan.

Semakin besar rasa takut berjaya dicipta dalam kalangan masyarakat, semakin ekstrem pula jalan penyelesaiannya. Dahulu contohnya, Hitler membawa penyelesaian ‘ancaman bunuh’ di Jerman ketika dikhuatiri kesucian warisan Jerman terancam. Kini, isu imigran menjadi alasan bagi menyubur dan melestarikan kebusukan demokrasi fasis seperti ini yang tidak ada bezanya dengan kediktatoran Hitler, sebagaimana dapat dilihat dalam cadangan AfD supaya “polis dibenarkan menembak ke arah para pendatang untuk menghalang mereka daripada memasuki Jerman” [The Local de].

Inilah amalan demokrasi dan hak asasi manusia ala Jerman, yang tidak ada beza pun dengan amalan demokrasi di tempat-tempat lain. Inilah sistem kufur yang tidak ada kebaikan pun untuk umat Islam, sebaliknya umat Islam sering menjadi mangsanya!