SOP Untuk Solat Jumaat: Apa Lagi Alasan? (Siri 3)

(2) Alasan berdasarkan sejarah Khilafah

Ada pihak yang cuba menjustifikasi bolehnya menutup masjid semasa wabak dengan bersandarkan kepada sejarah Islam. Ada yang menyebut bahawa di zaman pemerintahan Khilafah dulu pun, ada Khalifah yang menutup masjid tatkala negara sedang dilanda wabak. Hatta sejarah penutupan Masjidil Haram pun dibangkitkan bagi “membenarkan” tindakan kerajaan dalam menutup masjid dan menghalang umat Islam daripada solat Jumaat dan solat berjemaah.

Bagi mereka yang mengkaji sejarah dan menemui fakta-fakta yang meyakinkan bahawa berlakunya penutupan masjid semasa wabak melanda Daulah Khilafah, ya silakan jika ingin berpegang kepada fakta-fakta tersebut. Namun untuk menggunakan sejarah tersebut sebagai “dalil” bolehnya kerajaan sekarang untuk menutup masjid, maka ia adalah satu perkara yang jauh tersasar dari kebenaran. Saya akan jelaskan sebabnya kemudian.

Apa yang pasti dari segi sejarah ialah, umat Islam telah beberapa kali diuji oleh Allah (swt) dengan wabak, dan antara fakta yang terawal dan termasyhur ialah di zaman pemerintahan Umar al-Khattab. Pada waktu itu (tahun 18H), umat Islam sedang mengharungi peperangan sengit dengan Rom di Syam. Ibnu Hajar menukilkan di dalam Fathu al-Bari bahawa Umar (ra) keluar ke Syam, dan ketika tiba di Syargh, sampai berita kepadanya bahawa wabak sedang menular di Syam. Lalu Abdurrahman bin ‘Auf memberitahunya bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

«إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلَا تَقْدَمُوا عَلَيْهِ، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ»

“Apabila kalian mendengar wabak di suatu tempat, maka janganlah kalian memasukinya. Apabila terjadi wabak di tempat kalian berada, maka janganlah kalian tinggalkan tempat tersebut.”

Maka Umar bin al-Khattab pun mengambil keputusan untuk kembali ke Madinah bersama kaum Muslimin. Inilah tindakan yang benar bagi seorang pemimpin dalam sebuah Negara Islam, yakni membatasi wabak di tempatnya di mana penduduk dari luar tidak dibenarkan memasukinya, manakala penduduk di tempat wabak tidak dibenarkan keluar daripadanya.

Demikian juga, kaum Muslimin pernah diuji pada pertengahan abad ke-6 H dengan wabak asy-syaqfah yang sekarang disebut sebagai cacar yang menular dari Syam hingga Maghribi. Manakala pada pertengahan abad ke-8 H (749 H), kaum Muslimin sekali lagi diuji dengan apa yang disebut sebagai tha’un al-a’zham di Damaskus. Dalam semua keadaan itu, kita tidak menjumpai apa-apa fakta yang menyatakan bahawa masjid-masjid ditutup dan solat Jumaat tidak dibenarkan. Tidak pernah dijumpai fakta-fakta sedemikian.

Ala kulli hal, tanpa menafikan mahupun merendahkan hujah mereka yang melakukan kajian dan mendapati bahawa terdapat sejarawan yang menyatakan bahawa memang terdapat masjid yang ditutup di era Khilafah tatkala berlakunya wabak, maka saya katakan bahawa perkara-perkara berikut hendaklah diperhatikan:

  1. Adakah masjid-masjid tersebut ditutup atas arahan daripada Khilafah (negara), atau ditutup oleh pihak lain atau oleh masyarakat setempat?
  1. Adakah kesemua masjid dalam Daulah Khilafah yang begitu luas merangkumi hampir dua per tiga dunia, semuanya ditutup? Atau hanya masjid-masjid tertentu yang terkesan dengan wabak sahaja yang ditutup? Akal yang waras menyatakan bahawa tidak mungkin bagi Khalifah menutup semua masjid di kesemua wilayah kekuasaannya dari Timur hingga ke Barat dunia, hanya kerana berlakunya wabak di kawasan-kawasan tertentu. Namun, apa yang pasti, fakta di hadapan kita sekarang ialah kerajaan menutup masjid di seluruh negara, termasuklah kawasan-kawasan yang tidak terkena jangkitan. Inilah yang menjadi persoalan.
  1. Jika benar sekalipun Khilafah telah menutup masjid, adakah Khalifah menghalang umat Islam daripada solat Jumaat? Ini memandangkan solat Jumaat boleh sahaja dilakukan di tempat-tempat terbuka. Penutupan masjid satu hal, menghalang manusia daripada solat Jumaat satu hal lain. Sekarang ini pemerintah menutup masjid dan menghalang umat Islam daripada solat Jumaat di mana sekali pun, walaupun di tempat terbuka. Adakah Khalifah dulu melakukan perkara yang sama yakni menutup masjid sekali gus menghalang manusia untuk solat Jumaat tidak di mana pun?
  1. Jika benar sekalipun berdasarkan sejarah bahawa Khilafah pernah menutup masjid di kala wabak, dan Khilafah menghalang manusia daripada melakukan solat Jumaat, maka kita katakan bahawa ‘sejarah’ bukanlah sumber hukum. Sejarah juga bukanlah dalil. Apa yang menjadi sumber hukum dan dalil ialah Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ Sahabat dan Qiyas. Perbuatan Khalifah (kecuali yang menjadi Ijma’ Sahabat) sama sekali tidak boleh menjadi sumber hukum dan tidak boleh menjadi dalil untuk ‘membenarkan’ tindakan pemerintah hari ini menutup masjid dan menghalang umat Islam daripada solat Jumaat.
  1. Jika benar sekalipun di sepanjang sejarah Islam bahawa ada Khalifah yang menutup masjid, maka kita katakan bahawa tindakan Khalifah itu adalah menyalahi syarak dan berdosa, sebagaimana salahnya tindakan pemerintah pada hari ini yang menutup masjid. Ini kerana, tidak ada siapa pun yang boleh menutup rumah Allah (swt) dan mencegah orang ramai daripada bersolat di dalamnya.

Oleh yang demikian, siapa pun yang berhujah untuk “membenarkan” tindakan kerajaan pada hari ini menutup masjid berdasarkan kepada sejarah Khilafah, maka hujah ini adalah batil dan tertolak dengan sendirinya.

…bersambung