Aisyah ra : Bukti Sejarah Keterlibatan Wanita dalam Bingkai Syariah
Oleh: Aridha Nur Salim
Sejak kebelakangan ini, lagu Aisyah radhiyallahu’anha Isteri Rasulullah SAW menjadi trending bahkan sehingga ke beberapa buah negara. Walaupun sempat menjadi perbalahan tentang lirik lagunya, namun, ada sudut pandang yang perlu kita pertajamkan lagi dari tularnya lagu ini.
Tidak seorang pun Muslim yang meragukan kemuliaan, keagungan dan kecerdasan Saidatina Aisyah radhiyallahu’anha. Peranan sebagai seorang isteri, anak sekaligus anggota masyarakat yang prihatin terhadap keadaan umat dijalankan hampir sempurna. Keimanan membuatkannya semakin mencintai dan dicintai Rasulullah SAW. Walaupun usianya belia remaja namun beliau bukanlah wanita yang lemah. Justeru, kerana keimanan dan cinta yang semakin bercambah pada Islam, melahirkan sosok Saidatina Aisyah yang istiqamah dan kuat. Beliau mendampingi Rasulullah berdakwah bahkan turut terlibat sama.
Menjadi isteri kepada manusia yang mulia tidak membuatkan beliau angkuh malah beliau semakin berusaha untuk mendalami tsaqafah Islam sehingga akhirnya beliau menjadi satu-satunya wanita diantara tujuh sahabat yang banyak menghafal hadis. Beliau juga merupakan periwayat hadis terbanyak urutan ketiga setelah Abu Hurairah dan Abdullah bin Umar bin Khattab iaitu sekitar 2210 hadis.
Di sebalik itu semua, kita bukan sekadar melihat peribadi beliau sahaja. Perlu kita telusuri lebih jauh lagi apakah yang menyebabkan beliau begitu hebat. Bahkan sahabiah-sahabiah yang berada di zaman beliau juga turut memiliki peribadi yang mulia, kuat dan menginspirasi. Jawapannya adalah kerana Islam memuliakan wanita. Islam dengan kesempurnaan syariatnya telah menempatkan wanita pada posisi yang sepatutnya.
Secara kasarnya, keterlibatan seorang wanita dalam Islam itu terbahagi kepada tiga.
Pertama, sebagai ibu, isteri sekaligus pengatur rumah tangga (ummun wa rabbatul bait). Ibu adalah pendidik utama dan pertama bagi generasi. Keimanan ditanamkan dalam diri anak sejak dalam kandungan lagi. Posisi ini seiring dengan peranan isteri yang sentiasa berpegangan tangan dengan suami untuk membina keluarga yang sakinah mawadah wa rahmah. Semua itu kelihatan dari apa yang dilakukan oleh Saidatina Aisyah radhiyallahu’anha.
Termasuklah ketika beliau menjaga anak saudara beliau Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar as-Siddiq. Beliau memberikannya perhatian seperti anak kandung sendiri. Anak saudaranya dididik dengan baik. Dia diajar ilmu dunia dan ilmu kehidupan sehingga anak saudaranya itu menjadi seorang yang cerdas, soleh bahkan menjadi imam mujtahid di zamannya. Kita sangat mengenali Imam Syafie. Sumbangannya untuk peradaban Islam tidak perlu diragukan lagi dan salah satu faktor kejayaannya adalah kerana didikan dari Saidatina Aisyah.
Kedua, wanita juga turut melakukan aktiviti menuntut ilmu. Allah SWT berfirman :
إِنَّ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَالْقَانِتِينَ وَالْقَانِتَاتِ وَالصَّادِقِينَ وَالصَّادِقَاتِ وَالصَّابِرِينَ وَالصَّابِرَاتِ وَالْخَاشِعِينَ وَالْخَاشِعَاتِ وَالْمُتَصَدِّقِينَ وَالْمُتَصَدِّقَاتِ وَالصَّائِمِينَ وَالصَّائِمَاتِ وَالْحَافِظِينَ فُرُوجَهُمْ وَالْحَافِظَاتِ وَالذَّاكِرِينَ اللَّهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا
“Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang Muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar” [TMQ Al-Ahzab (33): 35]
Untuk menjadi wanita seperti yang disebutkan dalam ayat di atas tentunya memerlukan ilmu. Bahkan untuk mencetak generasi yang kuat dan memiliki keimanan yang kukuh pun memerlukan ilmu. Kerana itu, pentingnya aktiviti menuntut ilmu bagi wanita. Allah SWT juga akan meninggikan darjat bagi orang yang berilmu sepeti yang disebutkan dalam Surah Al-Mujadilah :
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.“. [TMQ Al-Mujadilah (58): 11]
Tidak hairan jika Saidatina Aisyah radhiyallahu’anha tetap tekun dan bersabar untuk menimba ilmu dari Rasulullah SAW. Bukan cuma wanita, malah kaum lelaki juga menimba ilmu secara langsung dari Aisyah radhiyallahu’anha. Abu Musa al-Asy’ari berkata, “Tidaklah kami kebingungan tentang suatu hadis lalu kami bertanya kepada Aisyah, kecuali kami mendapatkan jawapan dari sisinya.” (at-Tirmidzi)
Berbekalkan ilmu, seorang wanita mampu memberi sumbangan di tengah masyarakat tanpa perlu melanggar syariat. Ini terbukti dengan kehadiran ilmuan Muslimah yang telah meninta sejarah bagi peradaban Islam seperti Maryam Al Asturlabi iaitu seorang wanita hebat yang memiliki sumbangan besar bagi pengembangan astronomi.
Ketiga adalah keterlibatan wanita dalam aktiviti dakwah. Wanita dalam Islam kedudukannya sama dengan kaum lelaki dalam amar makruf nahi munkar.
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتابِ لَكانَ خَيْراً لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفاسِقُونَ
“Kalian adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik”
Banyak kisah yang menceritakan tentang Aisyah radhiyallahu’anha dalam melakukan amar makruf nahi mungkar. Ini membuktikan bahawa peranan dakwah betul-betul dilaksanakan pada kadar kemampuan beliau sebagai seorang Muslimah. Beberapa riwayat mengisahkan, di antaranya :
Dari Alqamah bin Abi Alqamah dari ibunya dari Aisyah radhiyallahu anha, Rasulullah ﷺ bersabda “Bahawasanya sekelompok orang di rumah beliau yang dahulu bertempat di situ memiliki dadu, maka beliau mengirim pesan kepada mereka jika kalian tidak mengeluarkannya (dadu) saya akan mengeluarkan kalian dari rumahku.” (HR. Imam Malik)
Diriwayatkan oleh Imam Ibnu Sa’d dari ‘Alqamah bin Abi ‘Alqamah dari ibunya berkata, “Saya melihat Hafshah binti Abdurrahman bin Abu Bakar radhiyallahu anhu memakai tudung yang nipis sehingga terlihat bahagian dalamnya, maka Aisyah pun merobek tudung tersebut seraya berkata, “Apakah engkau tidak mengetahui apa yang diturunkan Allah dalam surah An-Nuur?”, kemudian meminta tudung yang lain lalu memakaikannya untuk Hafsah (Ath-Thabaqaat Al-Kubraa)
Dari sini dapat disimpulkan bahawa Islam sangat memuliakan wanita. Keterlibatannya sesuai dengan petunjuk wahyu. Mengagumi Aisyah radhiyallahu’anha bukan hanya sebatas fizikal semata. Bukan hanya untuk menjadi isteri yang dicintai suami, tetapi lebih dari itu. Kisah Aisyah radhiyallahu’anha telah membantah pandangan para feminis dan pengusung idea kesetaraan gender tentang wanita. Mereka sering melaungkan bahawa syariat Islam telah membelenggu diri wanita baik dari sisi berpakaian atau beraktiviti.
Semoga kekaguman kita pada para ummul Mukminin, menjadikan kita rindu untuk hidup dalam penerapan Islam secara menyeluruh dalam seluruh aspek kehidupan. Tidak cukup merindukan tapi ikut berjuang sehingga terwujudnya kembali peradaban Islam yang mulia. Wallahu a’lam.
#Wanitasolehah
#WanitaInspirasi
#Muslimah
#AisyahRA
#PerananWanita