Apakah industri arak dibenarkan dalam Islam?

Sejak kebelakangan ini, isu arak dan pemandu mabuk kembali memanaskan negara rentetan beberapa siri kemalangan maut yang meragut nyawa akibat tindakan tidak bertanggungjawab pemandu yang mengambil alkohol sebelum memandu. Berdasarkan reaksi yang dapat kita lihat, orang ramai, para netizen dan NGO-NGO tidak dapat menahan kemarahan mereka lagi terhadap isu.

Sebahagian daripada mereka telah mengeluarkan pelbagai desakan kepada pihak kerajaan agar melakukan tindakan drastik, termasuklah mengharamkan penjualan arak, dengan harapan insiden kemalangan maut tidak lagi berulang. Sebahagian lain pula meluahkan kekecewaan kerana perkara ini bukanlah merupakan sesuatu yang baru, tetapi insiden-insiden ini sentiasa berulang dari semasa ke semasa tanpa tindakan serius daripada kerajaan.

Walaupun hukum keharaman arak begitu jelas dalam syariat Islam, namun disebabkan industri arak telah menyumbang suatu jumlah yang besar kepada pendapatan negara, maka boleh dikatakan mustahil bagi pemerintah dalam sistem kapitalisme untuk menutup kilang air kencing syaitan itu. Dalam sistem kapitalisme, wujudnya hubungan erat antara pemerintah dan pemilik modal, khasnya pemain industri arak di negara ini, yang menjadikan keputusan pemerintah bergantung kepada golongan kapitalis. Pastinya keuntungan dan manfaat yang dikejar ini mencorakkan penggubalan undang-undang dan polisi dalam sesebuah negara, termasuklah di negara ini.

Inilah natijah daripada penerapan sistem kapitalisme. Lebih mengecewakan, ada suara-suara yang cuba menjustifikasi kewujudan kilang-kilang arak dengan dalih bahawa Islam tidak melarang non-Muslim meminum arak. Ada yang menyatakan bahawa arak hanya diharamkan untuk orang Islam, tetapi tidak haram untuk orang bukan Islam. Jadi tidak salah bagi non-Muslim untuk mendirikan kilang arak.

Kuatnya cengkaman kapitalisme, dan dengan penerapan sistem demokrasi-sekular oleh kerajaan, yang memisahkan agama daripada kehidupan, semua ini menjadikannya mustahil bagi pemerintah menutup industri arak. Dalam sistem demokrasi ini, halal dan haram berada di tangan mereka, bukannya di tangan syarak. Maka tidak hairanlah jika lesen arak akan terus dikeluarkan dan pemandu mabuk yang akan menyebabkan kematian akan terus wujud di bawah sistem kufur ini.

Kenapa industri arak begitu penting kepada Malaysia?

Realiti Industri Arak di Malaysia

Menurut Confederation of Malaysia Brewer Berhad, industri arak telah menyumbangkan kepada negara sebanyak RM2.2 bilion daripada cukai langsung dan RM1.6 bilion daripada cukai tidak langsung melalui rantaian bekalan, para pemborong, dan rakan-rakan dagang setiap tahun. Pada tahun 2015, kutipan cukai duti eksais arak di Malaysia adalah ketiga tertinggi di dunia selepas Norway dan Singapura.

Di samping itu, dianggarkan 35,000 perniagaan di negara ini bergantung kepada arak sebagai sumber pendapatan. Manakala dari segi peluang pekerjaan pula, hampir 61,000 pekerja di negara ini bekerja dalam sektor industri arak yang mana 3,300 daripadanya bekerja secara langsung di kilang-kilang pembuatan arak manakala 57,000 lagi berada di sektor berkaitan arak tidak langsung seperti bekerja dengan pihak pemborong, dalam sektor pengedaran, pengangkutan, peruncitan dan lain-lain lagi. Melalui data-data ini, jelas menunjukkan bahawa industri arak telah memberi sumbangan yang cukup besar kepada ekonomi negara dan peluang pekerjaan.

Jadi, tidak hairanlah jika kerajaan terus membenarkan kilang-kilang arak ini beroperasi, kerana sekiranya ditutup, sudah pasti negara ini mengalami kerugian yang besar. Kerugian ekonomi bukanlah sesuatu yang sanggup diterima oleh sebuah negara kapitalis seperti Malaysia apatah lagi dalam keadaan negara kini sedang mengalami krisis ekonomi.

Hukum Industri Arak

Dalam Islam, negara akan mengawasi urusan berkaitan dengan industri, baik industri tersebut milik individu atau milik umum, agar sentiasa mematuhi syarak. Dalam Negara Islam, individu memang dibenarkan mendirikan dan memiliki kilang tanpa halangan dari negara, namun ia tertakluk kepada apa (produk) yang dihasilkan oleh kilang tersebut. Jika produk yang dihasilkan itu halal, maka kilang itu juga halal hukumnya, manakala jika produk yang dihasilkan itu haram, maka kilang itu juga menjadi haram hukumnya.

Hal ini diambil dari kaedah syarak iaitu

الصناعة تأخذ حكم ما تنتجه

“(Hukum) industri mengikuti hukum produk yang dihasilkan”

Kaedah ini diambil berdasarkan hadis-hadis yang melaknat rantaian arak. Abu Daud meriwayatkan daripada Anas (ra) bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

Semoga Allah melaknat arak, peminumnya, yang menuangkannya, yang menjualnya, pembelinya, pemerahnya, orang yang minta diperahkannya, orang yang membawanya dan orang meminta dibawakan kepadanya” [HR Abu Daud  daripada ibn Umar dan disahihkan oleh Ibn Al-Sakn].

Hadis yang senada dengannya juga telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Rasulullah (saw) bersabda, “Telah dilaknat iaitu arak, orang yang meminumnya, yang menuangkannya, penjualnya, pembelinya, orang yang mengangkut, yang minta diangkutkan, yang memerahnya, yang minta diperahkan untuknya, dan yang memakan keuntungan darinya.” Telah menceritakan kepada kami Waki’, telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz bin Umar yakni Ibnu Abdil Aziz dari Abi Thu’mah Maulahum dan dari Abdurrahman bin Abdillah Al-Ghafiqiy, bahawa keduanya mendengar Ibnu Umar (ra) berkata, Rasulullah (saw) bersabda: “Arak (Khamr) telah dilaknat dengan sepuluh sisi.” Maka beliau menyebutkan hadis itu [HR Ahmad].

Dalam Islam, aktiviti pemerahan anggur hukum asalnya adalah mubah (harus). Namun, sekiranya anggur tersebut diperah untuk dijadikan arak, maka ia menjadi haram. Begitulah yang dimaksudkan dengan kaedah syarak tersebut yakni hukum industri mengikuti hukum produk yang dihasilkan. Industri arak adalah haram, dan siapa sahaja yang terlibat dari awal proses hinggalah kepada keseluruhan rantaian arak yang disebutkan oleh Rasulullah (saw), maka hukumnya adalah haram.

Keharaman arak bukan hanya kepada pembuat atau peminumnya, namun mereka yang terlibat, baik secara langsung ataupun tidak, seperti penjual, pembeli, pembawa, yang menuangkan dan lain-lain, semuanya adalah haram. Termasuk dalam keharaman juga ialah pihak yang mendapat keuntungan daripada arak seperti kerajaan yang mendapatkan keuntungan arak melalui kutipan cukai. Semua golongan ini adalah golongan dilaknat Allah (swt) sebagaimana disebut dengan jelas oleh Rasulullah (saw).

Oleh sebab industri/kilang adalah terikat dengan hukum produk yang ia hasilkan, maka oleh kerana arak adalah haram, industri/kilang arak juga adalah haram. Hal ini sesungguhnya amat jelas dan tidak ada keraguan. Atas dasar itu, kilang-kilang arak yang di Malaysia pada hari ini adalah haram, dan wajib ditutup.

Perlu difahami bahawa hukum perindustrian/perkilangan dalam Islam, sebagaimana yang dibincangkan di atas, merupakan undang-undang negara yang terkena kepada seluruh rakyat tidak kira Muslim atau non-Muslim. Dengan kata lain, baik Muslim atau non-Muslim, semuanya diharamkan mendirikan atau memiliki kilang arak.

Khatimah

Sesungguhnya kerajaan ini telah banyak melakukan maksiat dan keharaman. Dari lesen yang diberikan oleh kerajaanlah, kilang-kilang arak ini boleh beroperasi, dan inilah yang menjadi punca kepada banyak kerosakan, termasuklah kewujudan pemandu mabuk. Apabila perbuatan yang dilaknat oleh Allah (swt) ini dilakukan, maka sudah pasti kerosakan yang terhasil daripadanya cukup banyak…na’uzubillah min zalik.

Kerajaan wajib menghentikan segera industri arak ini, dan ingatlah bahawa laknat Allah (swt) sentiasa menimpa mereka yang terlibat dalam keseluruhan rantaian arak ini. Ingatlah bahawa cukai yang berkaitan arak sebanyak RM3.7 bilion setahun yang diambil oleh negara juga adalah haram dan dilaknat oleh Allah (swt). Tidak cukup lagikah azab yang Allah (swt) hantar kepada kita selama ini melalui pelbagai cara, termasuklah melalui Covid-19, yang dapat kita saksikan sekarang, untuk kita bersegera bertaubat lalu menerapkan hukum-hukum-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, wahai mereka yang mempunyai penglihatan!?