Rasulullah Tidak Melarikan Diri, Namun Pelarian Bukanlah Hina

Mohamad Sabu atau lebih dikenali dengan Mat Sabu dikecam hebat apabila menyebut bahawa Nabi Muhammad (saw) adalah seorang pelarian dalam pembahasan di Parlimen beberapa hari lepas. Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, “Jangan kita dianggap bahawa kita lupa Islam itu ditegakkan oleh para pelarian, khasnya Nabi Muhammad (saw) yang menjadi pelarian atau berhijrah daripada Mekah ke Madinah.” Lebih ekstrem, bukan sekadar mengecam, ada yang menganggap bahawa beliau telah menghina Rasulullah (saw) melalui ungkapan “pelarian” tersebut.

Walaupun kita tidak bersetuju dengan perkataan “pelarian” yang digunakan, namun biarlah kita adil dalam membuat penilaian, dan isu ini tidak seharusnya dibesarkan untuk dijadikan modal politik semata-mata. Jika Mat Sabu memang berniat untuk menghina Rasulullah (saw), itu memang merupakan satu kesalahan dan wajar dihukum. Tetapi jika beliau hanya tersalah dalam memilih kata-kata, maka beliau sewajarnya memperbetulkannya semula.

Namun, antara persoalan yang wajar dijawab ialah, hinakah menjadi seorang pelarian, sehingga jika seseorang itu dikatakan sebagai pelarian, ia menjadi seorang yang hina? Atau dengan kata lain, adakah status seseorang sebagai pelarian merupakan suatu status yang hina di sisi Allah (swt)?

Perkataan Mat Sabu bahawa “Islam itu ditegakkan oleh para pelarian”, jika dinilai dari sudut lain, maka ahli parlimen Kota Raja itu seharusnya sedar bahawa semasa beliau menjadi Menteri Pertahanan dahulu, dan semasa partinya, Amanah, menjadi parti pemerintah, kenapa beliau tidak menegakkan Islam? Kenapa sekarang, setelah tidak berkuasa, beliau kembali bercakap mengenai penegakan Islam, sedangkan semasa berkuasa, langsung tidak ada usaha untuk menegakkan Islam, sedangkan pada waktu itu kuasa sudah ada di tangan? Jika “pelarian” boleh menegakkan Islam, apatah lagi orang yang bukan pelarian dan sudah pun memegang kuasa! Di mana usaha menegakkan Islam semasa anda berkuasa?

Umum mengetahui bahawa hijrah Rasulullah (saw) dari Mekah ke Madinah adalah kerana perintah Allah (swt), bukannya kerana Rasulullah (saw) melarikan diri atas kehendaknya sendiri, atau kerana takut, atau kerana sudah tidak tahan diseksa dan sebagainya. Selama 13 tahun baginda (saw) berdakwah di Mekah, baginda (saw) tidak pernah terfikir untuk berhijrah walaupun pelbagai ujian, ancaman dan seksaan menimpa baginda dan para sahabat. Baginda berhijrah semata-mata kerana perintah daripada Allah (swt).

Hijrah: Tegaknya Sebuah Negara Islam, Bukan Melarikan Diri

Satu perkara penting yang wajib diketahui dan diikuti oleh umat Islam ialah hijrahnya Rasulullah (saw) bermaksud keluarnya Rasulullah (saw) dari Darul Kufur menuju Darul Islam, atau dengan kata lain hijrahnya Rasulullah (saw) bermaksud tegaknya sebuah Negara Islam, dan tegaknya hukum-hukum Allah (swt) dalam konteks bernegara. Rasulullah (saw) tidak melarikan diri, tetapi sebaliknya diperintah oleh Allah (swt) untuk berhijrah, yang dengannyalah tegaknya sebuah Negara Islam.

Jika kita benar sayangkan Rasulullah (saw) dan tidak mahu Rasulullah (saw) dikatakan sebagai “pelarian”, walaupun dalam bentuk tersalah ungkapan sekalipun, maka seharusnya kita berjuang sebagaimana Rasulullah (saw) untuk menegakkan sebuah Negara Islam. Realitinya sekarang, Negara Islam yang dibina oleh Rasulullah (saw) sejak tanggal 1 H, telah runtuh pada 28 Rajab 1342 H, setelah runtuhnya Daulah Khilafah yang terakhir yang berpusat di Istanbul.

Jika kita tidak mahu Rasulullah (saw) dikatakan sebagai pelarian, maka tunjukkanlah kasih sayang dan keprihatinan kita kepada Rasulullah (saw) dengan mengikuti perjuangan baginda untuk mendirikan sebuah Negara Islam, seterusnya menerapkan sistem pemerintahan Islam, sistem ekonomi Islam, sistem pergaulan Islam, sistem uqubat Islam, polisi pendidikan dan polisi luar negeri Islam, yang mana semua ini hanya boleh dilakukan dengan adanya sebuah Negara Islam. Maka atas dasar itu, perjuangan untuk menegakkan Daulah Islam merupakan sebuah kewajipan yang jelas lagi nyata, yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) melalui hijrah baginda.

Isu pelarian

Dalam isu pelarian, sebagai Muslim, kita hendaklah melihat isu ini dari perspektif Islam, dan bukannya dari perspektif negara bangsa yang bertentangan dengan Islam. Jangan hanya melihat kesalahan orang yang menilai Rasulullah (saw) sebagai pelarian, tetapi lihatlah bagaimana Rasulullah (saw) menangani isu pelarian setelah wujudnya Negara Islam.

Pertamanya kita perlu faham bahawa tidak ada istilah “pelarian” jika ada mana-mana Muslim dari negara mana pun yang ingin datang dan bertempat tinggal di dalam Negara Islam. Ini kerana, Negara Islam (Khilafah) merupakan wilayah atau negara kaum Muslimin, yang mana setiap Muslim berhak untuk tinggal di dalamnya dan menjadi warganegaranya, tanpa mengira dari mana asalnya. Malah orang-orang kafir dari negara luar sekalipun boleh datang dan menjadi warganegara Khilafah jika mereka membayar jizyah dan tunduk kepada undang-undang Islam. Ringkasnya, tidak timbul isu “pelarian” sekiranya ada Muslim datang dari negara mana pun dan ingin tinggal di dalam Negara Islam. Mereka akan diterima dan mereka akan menjadi warganegara yang mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama sebagaimana warganegara lainnya.

Kedua, jika benar wujudnya pelarian, yakni adanya mereka yang lari dari negara asal dan ingin “menumpang” atau mendapatkan suaka politik dari Negara Khilafah untuk sementara waktu, yang mana mereka berhasrat untuk kembali semula ke negara asal mereka, maka boleh sahaja Khilafah menerima mereka. Jika Khilafah menerima mereka, maka Khilafah wajib melayan mereka dengan baik, kerana mereka termasuk dalam kategori Musta’min (orang-orang yang diberi keamanan), tidak kira Muslim mahupun kafir. Jika mereka adalah orang-orang kafir, maka mereka dibenarkan tinggal dalam Daulah Khilafah tidak lebih daripada setahun. Jika melebihi setahun, mereka wajib membayar jizyah dan mereka akan dianggap sebagai warganegara.

Ketiga, kita perlu faham bahawa bukanlah hina menjadi seorang pelarian. Kemuliaan dan ketakwaan seseorang itu diukur dengan ketakwaannya kepada Allah (swt), bukan kerana ia pelarian atau tidak. Tidak ada siapa yang ingin menjadi pelarian. Wujudnya pelarian biasanya kerana faktor kejahatan pemimpin di negara asal mereka, yang membunuh, menzalimi, menganiaya atau mengusir mereka. Pemimpin itulah yang hina, bukannya pelarian yang melarikan diri daripada kejahatan pemimpin!

Kesimpulan

Ahli politik seharusnya lebih berhati-hati dalam mengungkap kata-kata, dan kalau tersilap boleh sahaja menarik balik kata-kata tersebut, apatah lagi jika diungkap tanpa sengaja atau tanpa niat. Kita faham bahawa setiap anak Adam itu memang akan melakukan kesalahan. Namun, mempertahankan kesalahan dan terus-menerus melakukan kesalahan, itulah yang tidak dapat diterima, sebagaimana kesalahan tidak menerapkan Islam semasa kuasa ada di tangan. Siapa pun yang tidak menerapkan Islam semasa berkuasa, kesalahan ini jauh lebih besar daripada secebis kesalahan dalam sebuah ucapan.

Wallahu a’lam.