Turki perdagang nasib pelarian Muslim demi manfaat bersama EU

turki-muslim-refugeesPada 8 Mac lalu, Kesatuan Eropah (EU) telah dilaporkan bersetuju dalam rundingan bersama Turki melalui satu usul yang diketengahkan bagi membendung aliran kemasukan pelarian dari Syria dan negara-negara bergolak lain ke Eropah.

Sewaktu sidang kemuncak mengenai krisis pelarian yang diadakan di Brussels baru-baru ini, Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu dilaporkan telah meminta sejumlah 6 bilion Euro daripada negara-negara Eropah, serta memohon perjalanan tanpa visa bagi rakyat Turki yang memasuki Eropah, di samping mendesak agar rundingan kemasukan Turki ke dalam EU dipercepat.

Permohonan-permohonan tersebut merupakan prasyarat yang diletakkan oleh Turki sebagai imbalan jika mereka mahukan Turki mengambil tindakan yang lebih tegas dalam menyekat kebanjiran pelarian yang melalui sempadannya, serta menerima kembali para pelarian yang telah menyeberangi Laut Aegia ke Greek.

Tawaran tersebut dibuat tatkala lebih daripada 14 ribu pelarian yang terdiri daripada kanak-kanak, warga tua, wanita, dan lelaki dari Syria, Afghanistan dan Iraq sedang terperangkap di sempadan Macedonia yang telah ditutup dalam keadaan yang serba daif berdepan dengan cuaca sejuk, hujan lebat, dan kelaparan.

Sidang di Brussels ini telah menjadi saksi bagaimana penguasa Turki tergamak menggadaikan nasib pelarian yang sewajarnya diberikan pembelaan oleh Turki, semata-mata demi memenuhi kepentingan nasional mereka. Di sebalik retorik yang menjunjung Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sebagai hero umat Islam, serta air mata buaya yang dititiskan oleh Davutoglu sewaktu mengunjungi etnik Rohingya pada tahun 2012, ternyata Turki sanggup mengharapkan pulangan manfaat politik dan ekonomi dengan harga yang perlu dibayar oleh para pelarian tersebut.

Persoalannya, setelah Turki menerima semula pelarian yang dihantar pulang dari Eropah, apakah Turki akan membantu pelarian tersebut dan menerima mereka setaraf dengan penduduk Turki sendiri? Jika diterima, adakah pelarian tersebut akan di asimilasi ke dalam komuniti Muslim Turki? Atau mereka akan ditempatkan di kem-kem pelarian serta menerima layanan kelas kedua serba daif seperti pelarian Palestin di Jordan, Lebanon dan Syria? Atau lebih teruk, apakah Turki akan menghantar semula pelarian tersebut pulang ke negara asal mereka yang masih bergolak?

Dalam hal ini, Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian telah pun mengeluarkan peringatan bahawa tindakan pengusiran pelarian oleh Eropah bakal menyebabkan para pelarian berada dalam keadaan ketiadaan perlindungan dan berkemungkinan untuk dihantar semula ke zon peperangan.

Sesungguhnya kesepakatan yang bakal dibuat dengan Turki ini memaparkan hipokrasi masyarakat Eropah yang kononnya memperjuangkan nilai-nilai kemanusiaan serta menjunjung tinggi hak asasi manusia. Tindakan mengusir pelarian yang mencari perlindungan ke negara ketiga merupakan satu tindakan yang bercanggah dengan Konvensyen PBB berkaitan Pelarian 1951, Konvensyen Eropah berkenaan Hak Asasi Manusia dan pelbagai persepakatan antarabangsa lain.

Inilah sikap negara-negara Eropah! Kononnya mereka menganggap mereka bertamadun serta menjunjung nilai-nilai kemanusiaan, ternyata mereka hanyalah hipokrit dan melanggar konvensyen mereka sendiri.

Krisis pelarian ini telah membongkar kehodohan dan layanan tidak berperikemanusiaan atas nama demokrasi yang diterapkan oleh Barat dan negara-negara umat Islam di dunia. Dalam pada itu, krisis ini turut memaparkan wajah hodoh nasionalisme dan konsep ‘negara bangsa’ yang ada pada hari ini.

Konsep negara bangsa inilah yang menjadi punca utama penderitaan para pelarian yang dianggap sebagai ‘orang luar’ meskipun mereka menganut akidah yang sama. Konsep ini jugalah yang menyebabkan umat Islam berada dalam keadaan berpecah-belah dan meletakkan kepentingan nasional bangsa mereka jauh mengatasi ikatan akidah Islam.

Selagi belum berdirinya negara Khilafah yang akan mempersatukan umat Islam dan menghapuskan kesemua sempadan palsu negara bangsa ini, selagi itulah umat Islam akan terus dibelenggu penderitaan. Kerana itu, perjuangan untuk menegakkan Khilafah merupakan satu perjuangan yang bukan sahaja wajib dilakukan, malah amat diperlukan oleh umat Islam secara praktikalnya.