Nabi (saw) terus dihina, siapakah yang akan membela?
Buat ke sekian kalinya, junjungan besar Nabi Muhammad (saw) dihina lagi oleh akhbar terbitan Perancis, Charlie Hebdo baru-baru ini. Charlie Hebdo terkenal dengan menyiarkan pelbagai karikatur menghina Islam dan menyiarkannya secara terbuka. Pada tahun 2011, 2012, 2013 dan 2015, Charlie Hebdo telah menerbitkan sejumlah karikatur yang memprovokasi umat Islam di seluruh dunia.
Terdahulu, pada tahun 2008, Geert Wilders telah mengeluarkan sebuah filem kontroversi “Fitna”, yang menggambarkan Islam sebagai agama yang ekstrem dan ganas. Pada tahun 2012 pula, filem “Innocence of Muslim” yang diterbitkan di Amerika Syarikat telah membangkitkan kemarahan umat Islam. Hujah mereka dalam melakukan segala kebiadaban tersebut ialah kebebasan bersuara (freedom of expression).
Penghinaan ke atas Nabi Muhammad (saw) dan Islam, oleh Barat menunjukkan kepada kita sekurang-kurangnya dua perkara:
Pertama: Sikap hipokrit Barat yang tak berkesudahan. Di saat Barat kononnya berpegang kepada prinsip kebebasan, berapa banyak negara Barat, termasuk Perancis, yang melarang Muslimah daripada bertudung? Sedangkan itu merupakan sebahagian daripada kebebasan bagi seseorang untuk mengamalkan ajaran agamanya! Hakikatnya, kebebasan berpendapat yang diamalkan di Barat ialah kebebasan ‘double standard’ yang membolehkan mereka melakukan apa sahaja, termasuklah menghina Islam dan Nabi Muhammad (saw), tetapi apabila seseorang Muslim ingin mengamalkan agamanya, ia dihalang. Begitu juga dengan penghinaan kepada orang-orang Yahudi di mana mereka (Barat) melabel perbuatan sedemikian sebagai anti-semitik dan boleh didakwa. Namun dalam masa yang sama, penghinaan kepada Islam dan Nabi Muhammad (saw) dibolehkan.
Kedua: Insiden-insiden sebegini menunjukkan betapa khianatnya pemimpin umat Islam saat ini. Pemimpin umat Islam yang jumlahnya melebihi 50 orang dengan kekuatan tentera yang luar biasa kuatnya, terbukti tidak melakukan apa-apa. Bukan kali ini sahaja, malah sebelum-sebelum ini pun, tatkala Rasulullah (saw) dihina, tatkala al-Quran dihina, tatkala Islam dihina, mereka hanya berpeluk tubuh dan terus berpeluk tubuh.
Dahulu, Sultan Abdul Hamid II dengan tegas memberikan amaran kepada Perancis dan British kerana ingin menganjurkan sebuah pementasan teater karya Voltaire, yang menghina Nabi Muhammad (saw), dan mengancam Perancis dan British dengan jihad sekiranya teater itu tidak dibatalkan. Ancaman tersebut berhasil menghentikan pementasan teater tersebut daripada berlangsung.
Umat Islam pada hari ini memerlukan seorang Khalifah yang memiliki ketegasan, keberanian, serta taat kepada Allah (swt). Khalifah inilah yang akan menghentikan semua penghinaan ke atas Nabi (saw), serta melindungi kehormatan Islam dan umatnya. Ketegasan dan keberanian seorang Khalifah akan mencegah siapa pun daripada menghina Islam dan Nabi Muhammad (saw).
Selain membela kemuliaan Rasulullah (saw) dengan apa cara yang kita mampu, kita wajib mengikuti dan mengamalkan segala sunnah baginda (saw) sekiranya kita benar-benar mencintai baginda (saw). Hal ini termasuklah berjuang menegakkan negara Islam (Khilafah) yang mena dengan tertegaknya Khilafah, insya Allah Khalifah akan mengisytiharkan memberi ancaman kepada negara kuffar yang berani menghina Rasulullah (saw) sebagaimana ancaman yang diberikan oleh Khalifah Abdul Hamid II.
Wallahu a’lam.