Hina Nabi: Ingin pinda hukuman yang bagaimana?

Berita:

Kerajaan akan membentangkan satu akta khusus berkaitan perkara yang melibatkan sensitiviti agama dalam sesi perbahasan Parlimen akan datang. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, akta khusus itu merupakan pindaan kepada Kanun Keseksaan bagi membendung masalah yang ditimbulkan oleh individu tertentu sehingga menimbulkan kebencian kepada agama. [Sumber : Utusan]

Komentar

Penghinaan kepada Baginda Rasulullah SAW bukanlah sesuatu yang baru tetapi ia berlaku ketika Rasulullah SAW masih hidup lagi. Mungkin bezanya perbuatan menghina ketika itu melalui lisan secara terang-terangan manakala pada zaman yang serba moden sekarang, perbuatan menghina Baginda SAW dilakukan melalui media sosial atau dengan pelbagai cara yang lain. Walau apa pun caranya, menghina peribadi atau susuk tubuh Baginda SAW merupakan satu tindakan yang sangat biadap. Sekiranya diri kita, ibu bapa kita atau sesiapa sahaja yang dekat dengan kita dihina sudah tentu ia akan mendatangkan kemarahan, inikan pula jika Rasulullah SAW yang merupakan Nabi kita sendiri dihina! Hal ini merupakan sesuatu yang tidak dapat diterima.

Dengan arus media sosial yang sangat kuat ketika ini, penghinaan ini bukan sahaja dilakukan oleh satu atau dua individu tetapi sebenarnya ramai lagi cuma  sama ada ia ‘viral’ atau tidak sahaja. Persoalannya, mengapakah jumlah mereka khususnya non-muslim yang berani menghina Nabi ini terlalu ramai?

Walaupun memang ada peruntukan undang-undang berkaitan hal ini namun ternyata ia tidak dapat membendung kebiadapan ini. Hal ini demikian kerana, undang-undang sedia ada untuk menghukum mereka yang menghina Nabi ini terlalu ‘ringan’ dan langsung tidak akan menakutkan. Ini membuatkan orang-orang yang membenci Islam akan rasa ‘aman’ untuk menghina atau mencela Islam termasuklah Nabi kita sendiri. Semua ini sepatutnya menyedarkan umat Islam, bahawa sistem perundangan di negara ini tidak akan mampu menegakkan keadilan yang sewajarnya kepada umat Islam. Malah, ia juga tidak akan membela umat Islam ketika agama Islam dan Rasulullah SAW sendiri yang dihina.

Oleh itu, sekiranya pindaan akta yang ingin dilakukan sepertimana yang disentuh oleh menteri agama ini sekadar penjara dan menaikkan denda sahaja hakikatnya tidak mencukupi dan percayalah hukuman ini masih tidak akan mampu memberi pengajaran kepada mereka yang menghina tersebut. Dengan kata lain, jika undang-undang yang ingin dipinda tersebut masih lagi dalam kerangka sistem buatan manusia, ia tidak akan dapat sedikit pun untuk menyelesaikan masalah ini.

Umat Islam perlu memahami bahawa sistem hukuman yang wajib dilaksanakan mestilah bersandarkan kepada al-Quran dan as-Sunnah. Islam wajib dijadikan asas dalam setiap aspek kehidupan termasuklah dalam perkara perundangan. Bukan itu sahaja, proses pembuktian perundangan (ahkamul baiyinnat) juga wajib mengikut hukum-hukum pembuktian yang telah digariskan oleh Islam. Dengan semua perlaksanaan ini, barulah keadilan dapat dicapai bagi semua pihak.

Sudah tentu pihak yang wajib melaksanakan dua hal tersebut ialah pihak berautoriti yang telah diberikan amanah untuk memerintah negara. Oleh itu, menteri agama tersebut perlu sedar, jika beliau bersungguh-sungguh ingin membendung perbuatan menghina Nabi ini, bukanlah dengan cara meminda undang-undang sedia ada kerana ia masih dalam kerangka sistem buatan manusia. Apa yang wajib beliau lakukan ialah mengubah sistem perundangan sekular di negara ini kepada perundangan Islam.

Maka dalam isu penghinaan ke atas Rasulullah SAW yang terbaru ini, suspek tersebut wajib disiasat dengan teliti dan telus. Ketelusan ini sudah tentulah dengan proses yang betul mengikut hukum-hukum Islam. Apabila suspek tersebut terbukti ataupun mengaku bersalah, maka dia wajib dihukum dengan hukum Islam juga. Menurut Islam, hukuman ke atas pelaku yang menghina Rasulullah SAW dengan sengaja ini ialah hukum bunuh. Dengan perlaksanaan sistem perundangan Islam yang tegas seperti ini, ia tidak akan membuka ruang lagi kepada manusia-manusia lain yang ada keingingan untuk menghina Nabi.

Namun begitu, perlu diingat bahawa perlaksanaan proses hukuman ini berada di tangan mereka yang memegang tampuk pemerintahan. Hak ini merupakan hak pemerintah kerana merekalah yang dibebankan tanggungjawab dan amanah tersebut. Rakyat tidak boleh membuat keputusan sendiri terhadap pelaku tersebut walau dengan apa cara sekalipun. Sekiranya pemerintah melalaikan tugasnya, atau tindakan yang mereka ambil tidak bersandarkan Islam, maka seluruh umat Islam termasuklah mufti-mufti, para tokoh dan ulama wajib memuhasabah pemerintah dan mendesak mereka agar melaksanakannya sesuai dengan hukuman Islam.

 

Muhammad Affandi

Pimpinan Pusat Hizbut Tahrir Malaysia

Get real time updates directly on you device, subscribe now.