Penyeragaman fatwa dan undang-undang syariah: Keadilan yang bagaimana?

Berita:

Penyeragaman fatwa serta undang-undang syariah perlu bagi memperkasakan undang-undang syariah agar ia dapat memberikan keadilan dan rahmat kepada semua pihak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/33697/BERITA/Nasional/Penyeragaman-fatwa-undang-undang-syariah-beri-keadilan-kepada-semua

Komentar:

Umum mengetahui bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai dualisme undang-undang iaitu sivil dan syariah. Dengan dualisme undang-undang ini, kita telah melihat berlaku banyak kepincangan dalam sistem perundangan negara terutamanya isu-isu berkaitan orang Islam dan bukan Islam. Sebagai contoh hak penjagaan anak, pertukaran agama, murtad dan lain-lain yang sering dibicarakan di mahkamah sivil.

Manakala bagi undang-undang Islam dan fatwa, setiap negeri mempunyai bidang kuasa tersendiri dan kerajaan persekutuan tidak boleh masuk campur hal ehwal Islam di negeri masing-masing. Dengan pelbagai undang-undang dan fatwa di setiap negeri ini juga mengeruhkan lagi landskap undang-undang negara. Sebagai contoh, ada negeri yang mengeluarkan fatwa haram merokok manakala di sebuah negeri yang lain tidak diharamkan. Jadi ini menjadi polemik dan anggapan bahawa perbuatan halal haram itu dinilai berdasarkan sempadan negeri.

Namun, bagi menyeragamkan undang-undang Islam dan fatwa dalam mewujudkan keadilan dan keharmonian semua pihak, umat Islam mesti memahami asas undang-undang Islam itu sendiri sepertimana yang diperintahkan oleh Allah SWT. Umat Islam harus mengetahui asas sistem uqubat Islam seperti hukum hudud, qisas serta takzir. Jika hukuman hudud dan qisas digantikan dengan bayaran denda atau penjara sahaja, maka sudah tentu ia menjadikan undang-undang tersebut tidak syarie dan tidak layak dipanggil undang-undang syariah malah lebih layak dipanggil sivil atau undang-undang ciptaan manusia. Jika hukum Allah SWT bersifat jawabir dan zawajir (pencegah dan penebus dosa) bagaimana pula dengan hukuman ciptaan manusia? Adakah sama darjat dengan hukuman Allah SWT yang boleh menjadi penebus dosa?

Firman Allah SWT bagi mereka yang mengambil hukuman selain daripada yang telah Allah perintahkan ;

“Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Ma’idah (5):50].

Oleh itu, untuk mewujudkan keadilan dan rahmat kepada semua pihak bukanlah dengan mengekalkan dualisme undang-undang (sivil dan syariah) atau sekadar penyeragaman undang-undang di setiap negeri tetapi masih lagi mengenepikan hukuman Islam yang sebenar. Hal yang paling utama untuk dilakukan ketika ini adalah dengan menerapkan hukum Allah mengikut cara dan pelaksanaan yang betul. Dengan ini barulah keadilan dapat dikecapi oleh semua manusia baik Muslim atau non-Muslim. Wallahu’alam.

Affan
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia