Layakkah Bukan Islam untuk berbahas undang-undang syariah?

Berita:

Anwar: Bukan Muslim ada hak bahas undang-undang syariah

Bukan Muslim di Malaysia mempunyai hak untuk membahaskan dan mempertimbangkan undang-undang yang dikenakan terhadap orang Islam. Ini kerana, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, undang-undang berkenaan juga boleh memberi kesan kepada bukan muslim. Dalam wawancara bersama The Star, Anwar merujuk contoh perbahasan berhubung usul meminda bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Sumber berita: malaysiakini.com

Komentar:

Sewaktu umat Islam melalui hari-hari akhir bulan Ramadhan, menggandakan lagi ibadah demi meraih pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT khususnya dalam sepuluh malam terakhir Ramadhan ini, seorang tokoh politik tanah air pula telah mengeluarkan kata-kata sedemikian dalam sebuah wawancara. Kenyataan ini dikeluarkan kerana baginya dalam sistem pemerintahan demokrasi dan negara yang mempunyai masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama, sudah semestinya setiap rakyat mempunyai hak untuk sama-sama bersuara berkenaan hal-hal pentadbiran negara termasuklah dalam urusan agama Islam. Kenyataan ini juga dibuat kerana mengambil kira faktor bahawa pada pilihan raya umum bulan Mei yang lalu, rakyat bukan Islam telah memberikan undi dan sokongan yang kuat terhadap kejayaan pakatan politik yang diterajuinya.

Kenyataan ini  bukanlah suatu yang menghairankan jika dilihat melalui kerangka sistem pemerintahan yang dilaksanakan pada hari ini, kerana negara ini ditadbir dan diperintah dengan corak pemerintahan demokrasi berparlimen. Setiap usul undang-undang, baik yang sivil atau yang berkenaan pentadbiran dan hukum-hakam Islam perlu dibawa ke dalam sidang parlimen untuk dibentangkan, dibahas dan diundi sebelum dibawa  ke peringkat seterusnya. Umum mengetahui bahawa Dewan Rakyat terdiri daripada kalangan ahli Parlimen yang Islam dan bukan Islam. Di situ mereka (termasuk MP bukan Islam) diberi ruang untuk berbahas terlebih dahulu setiap usul penggubalan atau pindaan yang dikemukakan, termasuklah dalam hal-hal yang melibatkan hukum syarak tanpa mengira latar belakang dan kepakaran yang ada.

Jadi yang memberi peluang kepada bukan Islam hak untuk berbincang dan berbahas hal-hal Islam ini sebenarnya berpunca daripada penerapan sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen itu sendiri. Mungkin ada yang akan berhujah bahawa disebabkan hal inilah kita perlu mengundi dan memenangkan calon-calon Islam agar mereka yang berwibawa dapat diangkat menjadi ahli parlimen dan memelihara keutuhan syariah Islam. Malangnya mereka gagal untuk menyedari hakikat bahawa hukum syarak (syariah) wajib untuk diterapkan, bukanlah suatu yang boleh dibahaskan dan dipertikaikan sama ada wajar  untuk dilaksanakan atau tidak. Apakah ini dibenarkan oleh Islam? Layakkah manusia mempertimbangkan sama ada perlu atau tidak hukum Allah diterapkan ataupun tidak? Firman Allah SWT;

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan-apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata” [TMQ al-Ahzab (33): 36].

Apa yang berlaku hari ini, syariah Islam bukan sahaja tidak diterapkan, bahkan rang undang-undang yang “berbau” Islam sekalipun dibahas dan ditentang oleh segelintir ahli parlimen, termasuklah yang Muslim.

Oleh sebab itulah demokrasi ini perlu dibuang dan dicampak jauh-jauh oleh umat Islam ke dalam bakul sampah peradaban. Sudah sampai masanya umat Islam berganding bahu bersatu menegakkan sistem pemerintahan yang akan menerapkan Islam secara kaffah, iaitu sistem Khilafah yang tertegak di atas jalan Kenabian. Sistem inilah yang akan menidakkan hak dan kuasa manusia untuk campur tangan daripada berbahas dan berbincang sama ada sesuai atau tidak Islam diterapkan.

 

Zulfadli
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia