SN211 – TAAT YANG MEMBAWA AZAB

SN Keluaran 12 Mac 2010
 
alt

TAAT YANG MEMBAWA AZAB
 
[SN211] Buat seketika UMNO dapat menarik nafas lega dengan perkembangan yang memihak kepadanya. Tuduhan demi tuduhan dan propaganda demi propaganda dijalankan oleh kedua-dua parti sama ada pembangkang mahupun pemerintah dengan isu lapuk yang kembali menghangatkan politik tanah air.  Isu apalagi jika bukan isu lompat parti, yang kini sedang galak diperbesarkan UMNO habis-habisan. Kali ini ia membabitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dilihat semakin goyah dari persada politik sejak menang besar dalam pilihan raya umum lalu. Anggota-anggota dan pemimpin atasan PKR sudah tidak lagi dapat menyembunyikan konflik dalaman masing-masing, sehingga ada yang mengambil keputusan meninggalkan parti sekular tersebut. Tidak kiralah sama ada PKR memang sudah bernanah dari dalam atau tidak, namun UMNO tanpa belas kasihan terus mencari ‘tempat sakit’ PKR untuk dihentak-hentak sekuatnya tanpa henti. Bermula dengan Perak, kini nampaknya giliran Pulau Pinang pula ‘dilanyak’ UMNO.
Bermula dengan isu pemecatan bekas TKM 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin yang akhirnya meninggalkan PKR, disusuli Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Ahli Parlimen Bayan Baru), Tan Tee Beng (AP Nibong Tebal), Mohsin Fadzli Samsuri (AP Bagan Serai) dan yang terakhir, Zulkifli Noordin (AP Kulim-Bandar Baharu) dipecat dari PKR. Fairus bukan sahaja keluar dari PKR bahkan telah menyertai UMNO akibat hilang kepercayaan kepada PKR bagi mendukung perjuangan prinsip dirinya iaitu membela kedaulatan dan ketinggian Islam serta kedaulatan bangsa [UM 01/03/10]. Beliau yang terlibat dalam PKR sejak awal penubuhan parti itu pada tahun 1998 menegaskan bahawa beliau keluar dari parti dan memasuki UMNO kerana prinsip-prinsip perjuangan parti pembangkang itu telah berubah terutama dalam memperjuangkan bangsa dan agama.

Isu keluar dan lompat parti ini bukanlah isu baru dalam politik tanah air. Jika kita imbas sekitar tahun 1988 dahulu, Tengku Razaleigh Hamzah dengan beberapa orang politikus besar seperti Musa Hitam, Abdullah Ahmad Badawi, Rais Yatim dan ramai lagi ketika itu mencetuskan perpecahan dalam UMNO sebagai ‘team B’ lalu mengisytiharkan keluar dari parti sekular itu dan menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 (S46) pada 3 Jun 1989. Namun S46 tidak bertahan lama, lalu terkubur pada 8 Oktober 1996 dan sebahagian besar anggotanya, termasuklah para pemimpin tertingginya kembali ke pangkuan UMNO. Pada era reformasi, berapa ramai dari kalangan pemimpin UMNO keluar lalu menyertai parti KeAdilan pimpinan Wan Azizah ketika itu. Hal ini pun tidak bertahan lama, setelah kononnya bercerai talak tiga dengan UMNO, ternyata berapa ramai dari kalangan pemimpin parti KeAdilan melakukan ‘cina buta’ untuk kembali bersama UMNO. Malah sebahagian besar dari mereka kini telah pun memegang jawatan utama dan berada dalam darjat tertinggi UMNO mahupun kerajaan. Begitulah potret politik tanah air yang sememangnya dicelup dari acuan Machiavelli, politik yang hanya melihat kepentingan diri, bukannya kepentingan umat (rakyat) apatah lagi kepentingan Islam sebagai asas perjuangan! Mereka yang berpolitik mengambil mandat dari rakyat dan kemudian mengkhianatinya sesuka hati apabila kepentingan peribadi @ habuan ada di depan mata. Malangnya kesedaran di kalangan umat (rakyat) masih kurang kerana biarpun mereka menyaksikan sendiri berbolak-baliknya pendirian pemimpin ini di depan mata mereka, namun pemimpin yang sama masih tetap di pilih setiap kali menjelang pilihan raya. Mungkin kerana habuan yang sedikit yang diberi oleh pemimpin ini kepada rakyat, menyebabkan rakyat marhain terus gelap mata dengannya.

Bagi insan yang beriman dan bersih hatinya, sungguh mual dan menjengkelkan melihat gelagat manusia politikus yang tidak tahu malu ini. Hari ini mereka boleh berada di dalam parti pemerintah, kemudian esoknya melompat ke parti lawan dan lusanya mereka melompat semula ke parti pemerintah. Semasa berada dalam parti pemerintah, mereka memuji dan mengampu ketua mereka melangit dan dalam masa yang sama mereka mengutuk dan mencerca parti lawan habis-habisan. Apabila mereka melompat ke parti lawan, mereka memuji dan mengampu pula parti baru mereka melangit dan menghentam habis-habisan parti pemerintah yang mereka tinggalkan. Dan apabila mereka melompat semula ke parti pemerintah, mereka sekali lagi tanpa segan silu mengutuk parti lawan yang mereka tinggalkan dengan membuka segala kudis dan kurap yang ada pada parti lawan tersebut. Mereka kononnya menyatakan penyesalan dengan apa yang telah mereka lakukan dan kini telah ‘bertaubat’ dan kembali ke pangkal jalan. Dan kini, mereka kembali memuji dan mengampu pula parti pemerintah. Alangkah jijiknya perbuatan ini!

Ini dilihat dari satu sudut, yakni dari sudut orang yang melompat itu sendiri. Manakala dari sudut pemimpin-pemimpin parti pula, baik parti yang baru dimasuki atau parti yang baru ditinggalkan, mereka ini (pemimpin-pemimpin parti) seolah-olah tidak pernah mengambil iktibar dari apa yang berlaku. Kejadian lompat si katak lompat ini bukan terjadi pada seorang atau dua orang, dan bukan terjadi sekali atau dua kali, malah berpuluh-puluh kejadian yang sama terjadi secara berulang-ulang dari masa ke semasa. Namun katak yang melompat tersebut tetap diterima oleh mereka! Inilah bukti dan realiti politik Machiavelli yang diamalkan oleh parti-parti tersebut. Amat benarlah ungkapan bahawa di dalam politik kufur ini, ‘tidak pernah ada kawan dan lawan yang abadi, yang ada hanyalah kepentingan abadi’. Selama mana orang yang melompat tadi boleh membawa ‘kepentingan’ kepada parti, maka selama itulah dia akan tetap diterima, tidak kiralah berapa kali dia sanggup melompat sekalipun. Adapun orang yang membuat keputusan sama ada untuk menerima atau tidak si pelompat tadi, adalah pastinya pemimpin tertinggi parti. Dan biasanya orang yang melompat ini mendapat tempat istimewa di sisi parti mahupun di sisi pemimpin tersebut. Alangkah tidak malunya kedua-dua pihak ini dengan tindakan dan perbuatan mereka!

Azab Terhadap Pemimpin Dan Pak Turutnya

Selain kejadian lompat-melompat ini, fenomena pengampu dan pak turut dalam parti politik boleh dilihat di mana-mana, kerana kebanyakan pihak menjadikan ‘manfaat’ sebagai asas pegangan masing-masing. Termasuklah orang yang suka melompat, mereka akan menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi dengan parti baru dilompatinya kerana mengharapkan ‘maqam’ yang setinggi mungkin. Biarpun orang bawah ini amat membenci akan pemimpin parti mereka, namun demi ‘political survival’, mereka sanggup menipu, mengampu, tunduk dan bermanis muka dengan pihak atasan mereka. Jarang sekali ada yang berani melawan arus, kerana tindakan ini hanya akan mengakibatkan ‘bunuh diri politik’. Sejarah politik tanah air telah mencatat seribu satu bukti akan hakikat ini. Bekas orang nombor dua negara, Anwar Ibrahim contohnya, walaupun hanya tinggal selangkah untuk menjadi orang yang paling berkuasa di Malaysia, namun impiannya hancur berkecai sekelip mata hanya kerana ‘keberanian’nya melawan bossnya. Dari peristiwa ini, dan banyak lagi peristiwa lainnya, ia telah memberi ‘signal’ yang jelas kepada orang bawah yang agak-agak berani melawan orang atas agar jangan bermain api. Oleh yang demikian, demi menjaga periuk nasi, maka lahirlah begitu ramai pak turut dan kaki ampu yang sanggup menjilat pemimpin dari hujung rambut sampai hujung kaki.

Fenomena ini bukan sahaja berlaku di kalangan ahli politik, namun ia juga terjadi ke atas siapa sahaja yang memegang jawatan atas ‘perkenan’ dan ihsan dari orang politik. Fenomena yang sama juga terjadi di dalam banyak jabatan-jabatan kerajaan apatah lagi jabatan yang terikat dengan ranking umpamanya dari Lans Koperal hinggalah Inspektor Jenderal. Atas alasan ‘menurut arahan’ mereka sanggup melakukan apa sahaja tanpa menghiraukan halal dan haram atau dosa dan pahala. Perintah dari ketua mereka diletakkan di tempat yang lebih tinggi dari perintah Allah SWT. Walaupun sudah jelas lagi nyata bahawa arahan dari ketua mereka bertentangan dengan perintah Allah, namun golongan ini tetap memilih untuk mentaati ketua mereka lebih dari mereka mentaati Allah. Mereka menyangka bahawa jika arahan itu bertentangan dengan Islam sekalipun, ketua merekalah yang akan menanggung segala dosa manakala mereka sendiri akan terlepas dari dosa dan azab Allah. Itulah persangkaan mereka. Demi Allah! Sungguh rugilah mereka dan akan menyesallah mereka dengan apa yang mereka lakukan ini. Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan melepaskan pengikut mahupun orang yang diikut (ketua) mereka dari azabNya. Firman Allah,

“Dan mereka semuanya (di padang Mahsyar) akan berkumpul menghadap ke hadirat Allah, lalu berkatalah orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) kepada orang-orang yang sombong (yang menjadi pemimpinnya), ‘Sesungguhnya kami dahulu (di dunia) adalah pengikut-pengikutmu, maka dapatkah kamu menghindar daripada kami sedikit dari azab Allah?’ Mereka (pemimpin) menjawab, ‘Kalaulah Allah memberi petunjuk kepada kami, nescaya kami dapat memberi petunjuk kepada kamu. (Sekarang) sama sahaja bagi kita, sama ada kita mengeluh atau kita bersabar, sekali-kali kita tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri (dari azab Allah)”
[TMQ Ibrahim (14):21].

Di dalam ayat lain, Allah Azza Wa Jalla menerangkan,

“…Dan seandainya orang-orang yang melakukan kezaliman itu mengetahui ketika mereka melihat azab (pada hari Kiamat) bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu kepunyaan Allah semuanya dan bahawa Allah amat berat seksaNya (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu) (iaitu) ketika orang-orang yang diikuti (ketua-ketua) itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutinya, dan mereka melihat azab dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali, dan berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut, ‘Seandainya kami dapat kembali (ke dunia) pasti kami akan berlepas diri dari mereka, sebagaimana mereka berlepas diri dari kami (pada hari ini)’. Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatan mereka menjadi penyesalan bagi mereka, dan sekali-kali mereka tidak akan keluar dari (azab) neraka” [TMQ al-Baqarah (2):165-167].

Begitulah nasib orang-orang yang tidak beriman kepada Allah, baik pengikut mahupun orang yang diikut! Mereka melakukan kezaliman dengan memaksiati Allah seolah-olah mereka tidak yakin dengan hari pertemuan mereka denganNya. Mereka menyangka bahawa mereka akan terlepas dari azab Allah dengan mengikuti ketua-ketua mereka yang zalim itu. Walhal sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan melepaskan kedua-dua mereka sedikit pun dari azabNya. Siapa sahaja ketua yang memerintah kepada kemaksiatan dan siapa sahaja pengikut yang taat secara membabi buta kepada ketuanya itu, maka kedua-dua pihak tidak akan terlepas dari neraka Allah. Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan menyalahi janjiNya.

Berpalinglah Dari Pemimpin Yang Memaksiati Allah

Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya sejarah telah berulang. Dahulu kaum kafir di Mekah telah memaksa kaum Muslimin agar mengingkari ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan keluar dari Islam menuju kekufuran. Mereka juga mengancam agar kaum Muslimin ketika itu meninggalkan aktiviti mengembang dakwah Islam dan menghalang kaum Muslimin dari melakukan aktiviti keIslaman mereka di hadapan orang ramai. Ancaman semacam ini dilakukan pula oleh para penguasa zalim pada hari ini. Bahkan lebih dari itu, para penguasa tersebut juga meminta para pengembang dakwah untuk bekerjasama dengan mereka, sama ada menjadi mata-mata atau menjadi agen pemikiran (amilan fikriyan) yang mempropagandakan pelbagai pemikiran kufur dan sekular demi menjaga kepentingan mereka. Keberadaan penguasa semacam ini dan dominasi puak kuffar telah berlangsung cukup lama di negeri-negeri kaum Muslimin. Akibatnya, lahirlah ‘kumpulan’ dan ejen-ejen mereka di bidang pemikiran serta para ulama dan para mufti yang diberi gaji yang siap berfatwa sesuai dengan permintaan atau kehendak penguasa.

Di zaman Rasulullah, untuk merealisasikan tuntutan-tuntutan tersebut, kaum kafir Mekah memang telah menggunakan pelbagai taktik (uslub) seperti pembunuhan, penyeksaan, penindasan, penahanan, pemenjaraan, menghalang hijrah, mengambil harta, menghina, menakut-nakutkan, pemboikotan dan membuat stigma negatif dengan mempropagandakan tuduhan-tuduhan dusta terhadap Rasulullah dan para sahabat. Para penguasa zalim pada hari ini juga telah menggunakan taktik seperti itu, bahkan lebih dari itu bagi menghalang para pendakwah dari terus melakukan aktiviti, walaupun para pendakwah tersebut adalah dari kalangan rakyat mereka sendiri yang berdakwah secara aman tanpa sebarang kekerasan. Alangkah tidak takutnya para pemimpin ini dengan sabda Nabi SAW,

“Seseorang yang memimpin kaum Muslimin dan dia mati sedangkan dia menipu mereka (rakyatnya), Allah akan mengharamkan baginya syurga” [HR Bukhari dan Muslim].

Jika menipu rakyat sudah tidak mencium bau syurga, apatah lagi bagi para pemimpin yang menzalimi rakyatnya, melakukan penyelewengan, rasuah, merampas harta rakyat dengan pelbagai jenis cukai dan tol, mengenakan bayaran pendidikan, kesihatan, tidak menjaga keamanan rakyat, malah memantau dan menangkap rakyat yang cuba melakukan muhasabah ke atas mereka agar menerapkan Islam.

Justeru, ambillah peringatan ini wahai orang-orang yang beriman! Apakah kalian tetap mahu mengambil golongan yang zalim sebagai pemimpin?  Siapakah pemimpin yang zalim jika bukan pemimpin yang tidak berhukum dengan hukum Allah (kerana) firmanNya,

“Barang siapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45].

Siapa yang tidak tahu bahawa pemimpin yang ada pada hari ini adalah pemimpin yang hanya mementingkan kuasa dan harta semata-mata dan langsung tidak mengendahkan hukum Allah? Berapa banyak sekalipun peringatan dari Al-Quran dan al-Hadis mengenai kedudukan mereka, termasuklah peringatan yang menyentuh tentang azab neraka yang bakal mereka hadapi, namun ternyata para penguasa ini tetap keras kepala dan berhati batu serta senantiasa berpaling dari kebenaran. Mereka tetap menzalimi rakyat, tetap memakan harta rakyat, tetap menolak hukum Allah dan menerapkan hukum kufur. Alangkah beraninya mereka melakukan semua itu, seolah-olah janji (azab) Allah itu satu kepalsuan bagi mereka!

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kita sesungguhnya telah tidak menaruh harapan kepada pemimpin ini sejak dulu walaupun (dalam masa yang sama) kita tetap wajib melakukan muhasabah terhadap mereka. Berpalinglah dari pemimpin ini agar kalian tidak menyesal suatu hari nanti, hari di mana tidak ada gunanya penyesalan walau seluas tujuh ratus lautan sekalipun. Justeru, sedarlah wahai kaum Muslimin, periksalah apa yang pemimpin kalian lakukan, jika mereka berada di jalan yang benar, maka taatilah mereka, namun jika mereka menyimpang dari kebenaran, luruskanlah mereka dan jika mereka enggan, maka tinggalkanlah mereka. Berpalinglah dari pemimpin yang membawa kalian ke jalan yang dimurkai Allah dan berusahalah untuk mewujudkan seorang pemimpin yang beriman dan bertakwa. Marilah kita sama-sama berusaha mewujudkan sebuah kepimpinan yang benar-benar berpetunjuk, yang mengikuti jalan yang lurus, yang benar-benar memimpin berdasarkan jalan kenabian dan yang akan membawa kita kepada kesejahteraan dunia dan akhirat. Sabda Nabi SAW,

“Kemudian akan muncul Khilafah di atas jalan kenabian”
[HR Ahmad].

Jangan ditunggu akan kedatangan pemimpin (Khalifah) ini wahai saudaraku, bergeraklah bersama-sama untuk mewujudkannya, nescaya Allah akan membantu kita dan memberi kemenangan kepada kita,

“Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu”
[TMQ Muhammad (47):7]

Wallahu a’lam.