Imam Bukhari: ‘Role Model’ yang Perlu Diikuti bagi Para Ulama dan Pendakwah (Siri 2 – Akhir)

Kisah Dinar Yang Dicuri

Antara kisah yang mengungkapkan keperibadian Imam Bukhari yang sebenarnya, ialah sebuah insiden kejadian kecurian dinar. Kejadian tersebut dinukilkan oleh Maulana Abdul Salam Mubarakpuri dalam bukunya “Sejarah al–Imam al-Bukhari, Pemimpin Para Fukaha’ dan Imam Muhadisin” (سيرة الإمام البخاري سيِّد الفقهاء وإمام المحدثين). Kejadian tersebut yang berlaku dalam kehidupan Imam Bukhari sudah cukup untuk menegaskan kesungguhan dan tanggungjawab yang ditunjukkan oleh Imam Bukhari terhadap agama dan umat, dengan perasaan yang mendalam.

Imam Bukhari pernah melakukan perjalanan dengan kapal di waktu beliau menuntut ilmu. Beliau mempunyai seribu dinar (jumlah yang besar pada masa itu). Seorang lelaki dalam kalangan penumpang-penumpang kapal itu mendekati Imam Bukhari dan menunjukkan cinta, kasih dan sayang kepadanya. Ia mula menjalin hubungan rapat dengan Imam Bukhari dan sering duduk bersamanya. Ketika Imam Bukhari melihat kasih lelaki itu (terhadap dirinya), beliau menjadi cenderung kepadanya dan sangat mempercayainya, sehingga Imam Bukhari memberitahunya, dalam beberapa sesi pertemuan mereka, mengenai jumlah kekayaan yang dibawanya dalam pelayaran.

Suatu hari, lelaki itu bangun menangis dan menjerit, merobek pakaiannya sambil memukul wajah dan kepalanya. Orang ramai terkejut dengan tangisan lelaki itu, lalu mereka menghampirinya dan bertanya kepadanya apa yang telah terjadi. Lelaki itu berkata, ‘Saya mempunyai sebuah kantung berisi seribu dinar, dan saya telah kehilangannya!’

Mereka mula memeriksa penumpang satu persatu. Imam Bukhari secara diam-diam mengeluarkan kantungnya berisi seribu dinar lalu melemparkannya ke laut ketika tiada sesiapa yang memerhatikannya. Petugas yang memeriksa penumpang telah menghampirinya dan memeriksanya lalu meneruskan pencarian mereka, sehingga mereka selesai memeriksa semua orang yang berada di atas kapal. Mereka tidak menemui apa-apa. Mereka kembali kepada lelaki itu, lalu menegurnya dengan keras.

Setelah mereka sampai di tempat tujuan dan orang-orang turun daripada kapal, lelaki tadi mendekati Imam Bukhari dan bertanya kepadanya, “Apa yang engkau lakukan dengan kantung yang penuh dengan dinar?” Imam Bukhari menjawab, “Aku membuangnya ke laut”. Lelaki itu berkata, “Bagaimana engkau sanggup kehilangan sejumlah besar kekayaan itu?” Imam Bukhari menjawab, “Wahai orang yang jahil! Tidakkah engkau tahu bahawa aku telah menghabiskan seluruh hidupku untuk menyusun hadis Rasulullah (saw) dan bahawa dunia (semua orang) telah kenal dan percaya kepadaku. Jadi, bagaimana mungkin aku sanggup membiarkan diriku dengan tuduhan mencuri? Adakah aku sanggup menukar mutiara yang tidak ternilai (yakni kepercayaan orang ramai) yang telah aku capai sepanjang hidupku, hanya semata-mata kerana sejumlah dinar?”

Kesetiaan, ketekunan dan keikhlasannya dalam mengumpulkan sunnah Nabi (saw) adalah kesaksian bahawa beliau termasuk di antara mereka yang telah dipilih oleh Allah (swt) untuk memelihara agama-Nya. Firman-Nya,

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا

“Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami” [Fatir (35): 32].

Imam Bukhari telah mengajar lebih daripada 90,000 orang pelajar sepanjang hidupnya, termasuk dua daripada muhadisin yang paling utama, Imam Muslim dan Imam Tirmizi. Bayangkan apakah akan terjadi pada umat Islam hari ini tanpa Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan Sunan Tirmizi?

Menolak Permintaan Penguasa

Kejadian ini berlaku pada tahun-tahun terakhir hayatnya, mungkin kejadian ini antara yang paling penting. Sebagai orang tua, beliau kembali ke tanah airnya untuk pertama kalinya sejak meninggalkan kampung halamannya ketika usianya masih muda. Ini memberinya peluang untuk menjalani kehidupan yang berprestij. Peluang ini menjadi semakin besar ketika beliau menerima sepucuk surat dari Amir Bukhara, Khalid bin Ahmed al-Dhuhli. Al-Khatib al-Baghdad melaporkan dalam bukunya “Sejarah Baghdad”, bahawa Khalid bin Ahmed al-Dhuhli, Ameer Khalifa Thahiriya dari Bukhara meminta Abu Abdullah (Imam Bukhari) datang ke rumahnya dan mengajar “Sahih Bukhari” dan “Sejarah Hebat” kepada anak-anaknya. Abu Abdullah (Bukhari) enggan menghadapnya. Amir kemudian memintanya untuk mengadakan majlis khusus untuk anak-anaknya, tanpa dihadiri orang lain. Imam Bukhari turut menolaknya dan berkata, “Saya tidak boleh mengkhususkan beberapa orang untuk mendengarkan majlis, sementara membiarkan yang lain”.

Sikap Bukhari yang mengagumkan inilah yang akhirnya meletakkannya sebagai alim dan pewaris para Nabi (as) yang benar. Sebagai orang biasa, apakah ada yang lebih masyhur daripada pergi ke istana penguasa, duduk bersamanya dan keluarganya? Tambahan pula tidak diragui lagi, pada zaman tersebut sememangnya terdapat pampasan kewangan yang besar untuk pendidikan, apatah lagi mendidik anak-anak pemimpin.

Sebilangan ulama hari ini tidak akan teragak-agak, jika mereka mendapat undangan daripada salah seorang penguasa untuk menghadiri majlis korupsi yang mewah di istana mereka. Para pemerintah yang memerintah dengan selain hukum Islam akan mencari ulama untuk memutarbelitkan syariah untuk menghalalkan tindakan mereka yang tidak berdasarkan syariah.

Sebaliknya, Imam Bukhari menolak permintaan penguasa tersebut walaupun dia tidak memerintah dengan kekufuran yang nyata, tetapi memerintah dengan syariah, tidak sepertimana penguasa hari ini. Lebih-lebih lagi, penguasa itu tidak meminta Imam Bukhari memberikan fatwa yang batil. Malah sebaliknya, beliau meminta Imam Bukhari untuk mengajar anak-anaknya, yang jelas bahawa beliau ingin memberi manfaat kepada anak-anaknya tentang ilmu sunnah, sesuatu yang baik dan bukanlah maksiat.

Mengenai respon Imam Bukhari, “Saya tidak boleh mengkhususkan beberapa orang untuk mendengarkan majlis, sementara membiarkan yang lain”, ini menunjukkan rasa tanggungjawabnya sebagai seorang yang alim terhadap agama dan umat. Oleh itu, beliau mengatakan bahawa menyekat pengetahuan Islam atau mengajar hanya individu tertentu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Sebaliknya ilmu hendaklah berada dalam jangkauan seluruh umat Islam.

Dengan kata lain, beliau mengatakan kepada penguasa tersebut, “Jika anda ingin anak-anak anda dididik, maka biarkan mereka menghadiri majlis di masjid seperti orang lain”. Suatu keberanian yang tidak dapat digambarkan! Sungguh terpapar keikhlasan pada sosok ini! Beliau adalah pencari Islam yang tulen. Sikap ini datang dengan mengorbankan kehidupan duniawinya. Oleh kerana itu, beliau kemudiannya diusir dari kota asalnya dan meninggal tanpa penghargaan dan sokongan yang selayaknya. Allah (swt) sahajalah yang mengetahui statusnya di akhirat dan kami memohon Allah (swt) memberinya status tertinggi di sana kelak.

Bagaimana Caranya Kita Melindungi Warisan Bukhari Hari Ini?

Walaupun Imam Bukhari hidup di era ketika terdapat banyaknya ulama yang hebat, itu tidak menghalangnya untuk melakukan kebajikan. Beliau memanfaatkan zaman kegemilangan Islam dan kesejahteraan keilmuan Islam, yang pada saat ada ulama besar seperti Imam Ahmad dan Imam Syafie.

Namun, ini tidak menyebabkan berkurangnya dorongan motivasi atau rasa tanggungjawabnya ke tahap minimum. Ini adalah era ketika Islam menguasai dunia dan umat Islam muncul menjadi umat terbaik dalam kalangan manusia seperti yang dijelaskan. Khilafah masih wujud pada saat itu dan syariah pula merupakan satu-satunya sumber perundangan di dunia Islam. Sungguhpun demikian, beliau mengabdikan seluruh hidupnya untuk bekerja demi agama Islam. Beliau tidak berasa puas dengan sedikit kekurangan daripada kesempurnaan, apatah lagi dengan melakukan sedikit amal (dengan alasan bahawa terdapat ramai ulama dan syariah Islam diterapkan dalam kehidupan pada zamannya, pen.). Beliau tidak pernah membuang waktunya dalam mencari atau menyempurnakan urusan duniawi.

Lalu bagaimana mungkin seseorang pada hari ini dapat membenarkan negativisme dan melakukan kelalaian dalam menjalankan dakwah? Bagaimana mungkin kita boleh lalai daripada usaha untuk menghidupkan kembali agama Allah (swt) tatkala kita hidup pada masa tiadanya Khilafah seperti sekarang? Bagaimana mungkin kita boleh melakukan kelalaian di saat undang-undang buatan manusia ditegakkan di seluruh dunia Islam dan kehormatan serta nyawa umat Islam terancam setiap hari? Oleh itu, marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi salah satu di antara mereka yang telah dipilih oleh Allah (swt) untuk membawa mesej Islam. Firman-Nya,

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا

“Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami” [Fatir (35): 32].

Islam tidaklah berada dalam keadaan asing semasa hayat Bukhari, tidak sepertimana sekarang. Oleh itu, marilah kita berjuang dalam hidup ini agar menjadi antara para ghuraba’ (orang-orang yang terasing) yang akan mereformasi apa yang dirosakkan oleh manusia, dengan berusaha untuk meninggikan agama Islam. Sabda Rasulullah (saw),

بَدَأَ الإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ غَرِيبًا كَمَا بَدَأَ، فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ

“Islam datang dalam keadaan yang asing, dan akan kembali dalam keadaan asing. Sungguh beruntunglah orang-orang yang asing”.

 

[Diterjemah daripada artikel asal dalam Bahasa Inggeris yang ditulis oleh Taimullah Abu Laban]

Al-Waie Magazine Issue 408, September 2020 CE – Muharram 1442 AH

[Sumber: http://www.khilafah.com/imam-bukhari-a-role-model-for-the-ulema-and-dawah-carriers-to-follow/]