Mengundi dalam Sistem Demokrasi Ikut Jejak Syaitan?
Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dalam nukilannya di laman Facebook beliau, antara lain mendakwa kaum Melayu beragama Islam paling lemah mendaftar untuk menjadi pengundi kerana dirasuk oleh syaitan warisan penjajah dahulu. Menurutnya lagi, perkara tersebut berlaku kerana didakwa dimomokkan dengan banyak anasir kononnya politik adalah kotor [BH Online, 26/1/2021].
Kenyataan Presiden PAS tersebut telah mendapat banyak kecaman daripada para netizen, yang rata-ratanya sudah meluat dengan ahli-ahli politik pada hari ini, khususnya dalam kalangan komponen parti pemerintah yang mendapat kuasa melalui jalan tebuk atap.
Pertukaran kuasa hasil pengkhianatan mandat rakyat, percaturan kotor mereka yang terlibat, pelbagai fitnah, lompat parti, tukar sokongan, sifat tamak haloba dan konspirasi jijik yang berleluasa pada hari ini telah membongkar bukan sahaja kebobrokan sistem demokrasi, malah telah membongkar sikap sebenar para politikus demokrasi itu sendiri. Sejak tercetusnya apa yang dinamakan sebagai “Langkah Sheraton”, hingga ke hari ini, hampir setiap hari rakyat dihidangkan dengan juadah busuk politik negara. Apa yang pasti, rakyat semakin nampak, di samping semakin meluat dengan apa yang berlaku.
Justeru, langsung tidak menghairankan apabila sudah ramai yang menyatakan kekesalan mereka dengan mengundi wakil mereka yang telah menjadi pemain politik kotor sekarang ini. Malah sudah semakin ramai yang menyatakan bahawa mereka tidak mahu lagi mengundi dalam pilihan raya yang akan datang kerana tidak ada gunanya. Siapa pun yang mereka undi, wakil tersebut boleh mengkhianati mandat yang diberikan pada bila-bila masa sahaja tanpa mempedulikan suara pengundi sedikit pun.
Begitu juga tidak menghairankan apabila warganegara yang sudah cukup umur, tetapi tidak mahu mendaftar sebagai pengundi. Ini kerana mereka, khususnya generasi muda, sudah melihat dan merasai sendiri sepak terajang ahli-ahli politik yang cukup menjengkelkan. Keadaan hari ini diburukkan lagi apabila parti Islam berjaya naik ke pemerintahan dan ternyata tidak menerapkan Islam sebagaimana yang mereka perjuangkan. Malah politik yang ditunjukkan oleh ahli-ahli parti ini semuanya bersifat hipokrit dan ‘cakap tak serupa bikin’ yang menaikkan lagi kemarahan orang ramai kepada mereka yang kononnya selama ini memperjuangkan Islam.
Justeru, benarkah persoalan bahawa mereka yang tidak mahu mendaftar undi ini telah dirasuk oleh syaitan warisan penjajah? Jika ditanya kepada setiap orang kenapa mereka tidak mahu mendaftar, kemungkinan jawapan yang diberikan adalah sebaliknya, yakni mereka tidak mahu mendaftar kerana ahli-ahli politik, khususnya pemerintah pada hari inilah, yang terdiri daripada mereka yang dirasuk syaitan!
Apa tidaknya, para pengundi ini, baik yang sudah berdaftar atau belum, sudah menyaksikan di depan mata mereka akan gelagat para politikus yang telah menelanjangkan diri mereka sendiri di pentas politik. Rakyat menyaksikan bagaimana mandat mereka dikhianati dengan cukup mudah, bagaimana tamak halobanya ahli-ahli politik termasuk yang mengaku perjuangkan Islam, bagaimana hipokritnya mereka, suatu sikap yang sangat jelas kelihatan berbanding sikap mereka yang dahulu, bagaimana laparnya mereka dengan jawatan, bagaimana ‘kebalnya’ mereka daripada hukuman, bagaimana sombongnya mereka setelah mendapat jawatan dan banyak lagi keburukan lainnya. Hal ini semuanya menunjukkan bagaimana syaitan telah berjaya merasuk mereka.
Justeru, tidak menghairankan apabila rakyat, khususnya umat Islam sudah mula nampak bahawa mengundi dalam sistem demokrasi pada hari ini sebenarnya tidak akan ke mana, tidak akan berlakunya apa-apa perubahan yang mereka harapkan. Malah apa yang terjadi adalah sebaliknya, iaitu keadaan menjadi lebih buruk.
Cumanya, apa yang rakyat masih belum nampak sekarang ialah, bagaimanakah politik Islam yang sebenar; bagaimanakah politik Islam yang bersih daripada segala kekotoran; apakah yang mesti dilakukan untuk membersihkan politik pada hari ini; bagaimanakah ingin mencapai perubahan yang sebenar. Inilah persoalan yang masih ramai belum mendapat jawapannya. Untuk menjawab segala persoalan ini, ia memerlukan pembahasan yang lain.
Apa yang pasti buat masa sekarang ialah, sesungguhnya politik demokrasi yang ada pada hari ini ialah sebuah politik yang kotor, kerana demokrasi itu sendiri berasal daripada peradaban sampah oleh kuffar Barat, yang tujuan hidup mereka ialah untuk meraih sebanyak mungkin manfaat duniawi. Sedangkan dalam Islam, tujuan hidup kita ialah untuk meraih redha Allah (swt) dengan segala apa sahaja yang kita lakukan.
Apa yang pasti juga ialah demokrasi yang diamalkan di Malaysia dan di seluruh dunia Islam pada hari ini sesungguhnya merupakan sistem kufur yang diwarisi daripada kuffar penjajah. Rasulullah (saw) datang bukan dengan membawa sistem demokrasi, tetapi membawa sistem Islam yang berasaskan kepada wahyu, dan Rasulullah (saw) mewariskan kepada kita sebagai umatnya, sistem Khilafah. Ringkasnya sistem demokrasi adalah warisan penjajah, manakala sistem Khilafah adalah warisan Rasulullah. Jadi, bukankah sudah jelas bahawa mereka yang sebenarnya dirasuk syaitan warisan penjajah itu ialah mereka yang ‘beriman’ dengan sistem demokrasi?
Wallahu a’lam.
Ridhuan Hakim
Pimpinan Pusat HTM