Apakah sudah tiada jalan keluar daripada episod pengkhianatan dalam sistem demokrasi?

Mat Sabu dalam sebuah kenyataannya, mengakui bahawa kempen PRU15 kelak pastinya sukar kerana ada rakyat yang sudah tidak lagi mahu mengundi disebabkan pengkhianatan terhadap mandat yang diberikan. Pengkhianatan yang dimaksudkannya ialah ‘Langkah Sheraton’, yang menyebabkan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH), lalu diganti oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berkuasa hari ini [Malaysiakini, 19/12/2020].

Langkah Sheraton sebenarnya telah memberi satu tamparan hebat kepada pemberi mandat (pengundi) pada PRU yang lepas, kerana ia bukan sahaja telah “mensia-siakan” segala penat lelah mereka, malah jelas merupakan satu pengkhianatan kepada mereka. Justeru, memang wajarlah jika para pengundi mahu berhenti memilih calon-calon dari parti-parti yang sedang bertelingkah, berubah pendirian, dan rakus mengejar peluang demi kepentingan diri sendiri, yang semuanya telah membelakangkan kepentingan mereka (para pengundi).

Rakyat sebenarnya mendambakan sebuah perubahan iaitu perubahan ke arah yang lebih baik, kesejahteraan ekonomi dan hidup yang aman. Rakyat mahukan pelbagai perlindungan dan jaminan, ketelusan serta keadilan daripada penguasa, dan mengharapkan adanya penguasa yang berkaliber dalam menjalankan tanggungjawab dan peranannya memerintah negara.

Namun malang sekali, harapan rakyat sentiasa berkecai walaupun di saat ia baru sahaja muncul. Ia bukan sahaja disebabkan oleh individu pemimpin itu semata-mata, tetapi sebenarnya disebabkan oleh sistem yang menaungi pemimpin dan rakyat itu sendiri. Sistem apa lagi jika bukan demokrasi? Inilah yang perlu disedari oleh rakyat, bahawa demokrasi bukanlah platform yang menjanjikan sebuah perubahan yang didambakan.

Demokrasi juga bukannya pentas yang melahirkan seorang pemimpin yang baik, telus, jujur, amanah, adil dan berwibawa. Sebaliknya, demokrasi sebagai sebuah sistem yang rosak, melahirkan pemimpin yang rosak, khianat, tamak haloba, mementingkan diri sendiri dan menghancurkan segala harapan. Ini adalah suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan lagi!

Rakyat perlu sedar bahawa masalahnya bukan hanya berpunca daripada faktor calon atau parti semata-mata. Politik yang diajar dan diamalkan dalam sistem demokrasi telah membuka segala ruang kejahatan kepada para pemimpin, yang menjadikan mereka rakus mengejar kekuasaan dan kekayaan, serta mengutamakan kepentingan diri sendiri dan parti. Demokrasi merupakan medan politik yang dipenuhi pelbagai tipu daya, helah, dusta, fitnah dan segala macam kenistaan, yang telah berpuluh tahun memperdaya rakyat terutama para pengundi dalam pilihan raya.

Demokrasi sememangnya gagal membawa kesejahteraan, sebaliknya menjadi pencetus banyak kekacauan dan ketidakstabilan politik dalam negara. Para pengundi dikaburi dengan ilusi bahawa mereka mempunyai hak dan kuasa untuk memilih, dan demokrasi merupakan sistem terbaik untuk mereka. Sedangkan apa yang berlaku ialah, hakikatnya hasrat mereka bukan sahaja gagal dipenuhi, bahkan aspirasi mereka terus-menerus dikhianati oleh wakil yang mereka pilih, yang sanggup mengorbankan segala prinsip demi meraih agenda peribadi.

Rakyat, terutama kaum Muslimin perlu segera memahami dan sedar tentang hakikat ini. Selagi umat ini merangkul erat sistem yang rosak ini, selagi itulah kesejahteraan dan kestabilan tidak akan dapat dikecapi, dan perubahan yang mereka dambakan tidak akan pernah muncul.

Maka, apakah ada jalan keluar dari kemelut ini? Ya sudah tentu..

Ayuh, marilah bersama berusaha untuk mengembalikan semula sistem Islam di bawah naungan negara Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah, yang merupakan satu-satunya jalan keluar, dan satu-satunya harapan yang ada pada umat ini, dalam mengembalikan kesejahteraan hidup dan meraih kembali kemuliaan serta kekuatan mereka yang telah hilang.

Dalam politik Islam di bawah Khilafah, tidak akan wujud pengkhianatan insya Allah, kerana Khalifah mengurus negara dengan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Tidak akan ada istilah kerajaan “pintu belakang” atau “tebuk atap” dalam negara Khilafah, kerana Khalifah (ketua negara) diangkat melalui proses baiat oleh umat Islam, bukannya bukan melalui proses lompat parti atau menukar sokongan untuk mendapatkan majoriti.

Wallahu a’lam bissawab.

Ridhuan Hakim

Pimpinan Pusat HTM