Liberalisme terus subur dalam sistem demokrasi

Idea liberalisme bukanlah suatu perkara yang baru dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Bagi sesiapa yang memahami landasan dan asas sistem demokrasi pasti memahami bahawa budaya-budaya songsang seperti liberalisme, pluralisme, LGBT dan yang seumpama dengannya bersangkut-paut dengan idea-idea kebebasan yang menjadi asas dalam sistem demokrasi.

Sejak kekalahan Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH), pendokong-pendokong idea songsang LGBT dan liberalisme kelihatan semakin berani menyatakan pendirian dan melaungkan hak kebebasan yang mereka inginkan. Malah, seruan-seruan tersebut selari dengan manifesto dan slogan-slogan kebebasan yang dilaung-laungkan oleh PH sepanjang tempoh berkempen. Perjuangan berdasarkan bangsa dan semangat nasionalis yang dipelopori oleh kerajaan BN sudah lagi tidak relevan dan tidak mendapat tempat di hati rakyat Malaysia yang mahukan arus perubahan baru dalam pemerintahan Malaysia. Namun, adakah arus perubahan yang diinginkan ini seiring dengan arus yang Islami atau sebaliknya?

Ada pihak yang mendakwa bahawa mereka menunggang kerajaan PH untuk membawa agenda Islam, manakala segelintir pihak yang lain mendakwa kerajaan Pakatan Harapan yang ada hari ini ditunggangi dan ditunjangi oleh golongan yang kuat mendokong fahaman dan doktrin sesat daripada Barat ini seperti COMANGO , SIS dan lain-lain. Sebagai seorang Muslim, kita harus memandang perkara ini dengan penelitian yang mendalam jauh merentasi kerangka politik kepartian. Hakikatnya, sistem demokrasi yang berasaskan sekularisme ini merupakan sebuah sistem yang berasaskan idea-idea kebebasan yang menggariskan empat hak kebebasan iaitu kebebasan berpendapat atau berfikir, kebebasan bertingkah laku, kebebasan bersuara, dan kebebasan hak pemilikan.

Ya memang benar, kerajaan PH yang ada sekarang juga menjanjikan kebebasan bersuara kepada mana-mana individu atau mana-mana gerakan untuk menyuarakan hak dan pendapat mereka termasuklah kepada gerakan Islam mahupun bukan. Justeru, dalam era baru ini kita bakal melihat pertentangan dan perlawanan sebenar antara ideologi Islam dan kufur akan menjadi lebih nyata dan jelas. Tidak kurang juga yang menyatakan kerisauan dan kebimbangan dengan penularan idea-idea songsang dalam era Malaysia baru ini, namun berapa ramai Muslim di luar sana yang bersedia untuk melawan dan menolak demokrasi ini sendiri dan menggantikannya dengan sistem yang lebih baik iaitu sistem Khilafah yang mengikut acuan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW?

Firman Allah SWT,

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ

“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki? dan siapakah yang lebih baik hukumnya daripada Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Maidah (5): 50]

Dzikri Asmawi
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia