Malapetaka Seabad Runtuhnya Khilafah (Siri 1)

Tahun ini menandakan genap 100 tahun umat Islam kehilangan ibu dan perisai yang selama ini telah menjaga dan melindungi mereka. Tanggal 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924) mencatat peristiwa hitam runtuhnya Daulah Islam yang selama lebih 13 abad menerajui peradaban dunia dan memayungi manusia dari segala kejahatan.

Titik permulaan sejarah kegemilangan Islam diwarnai dengan peristiwa hijrah Rasulullah (saw) dan para sahabat dari Mekah ke Madinah yang membawa kepada berdirinya Daulah Islam pertama (622-632M). Setelah wafatnya Rasulullah, sistem pemerintahan Islam diteruskan oleh Khulafa’ ar-Rasyidin (632-661M), Khilafah Ummayah (661-750M), Khilafah Abbasiyah (750-1258M), dan Khilafah Uthmaniyah (1299-1924M).

Daulah Islam yang pertama kali dibina oleh Rasulullah (saw) ini berakhir apabila Mustafa Kamal, dengan bantuan kuffar British, secara rasminya telah mengisytiharkan lenyapnya Daulah Khilafah dan menggantikannya dengan sebuah republik sekular Turki. Pada pagi 28 Rajab 1342 H, Sultan Abdul Majid II, Khalifah terakhir kaum Muslimin, diusir keluar dari Turki. Dengan itu, maka berakhirlah sejarah panjang Daulah Islam yang telah menaungi dunia selama 1342 tahun.

Kehilangan Daulah Khilafah telah menatijahkan malapetaka yang amat besar kepada umat Islam, yang suatu ketika dahulu benar-benar zahir sebagai umat yang terbaik tatkala berada di bawah naungan Khilafah. Sejarah emas Islam menjadi bukti nyata akan hal itu, dan sekali gus menjadi bukti akan kemampuan Islam memerintah dunia dan menebarkan rahmat ke seluruh alam. Sejarawan Barat yang terkemuka, Will Durant, dalam bukunya, The Story of Civilization (Vol. XIII), mengakui hal tersebut dengan menyatakan:

“Para Khalifah telah memberikan keamanan kepada manusia hingga batas yang luar biasa besarnya bagi kehidupan dan usaha gigih mereka. Para Khalifah juga telah menyediakan pelbagai peluang untuk siapa pun yang memerlukannya dan memberikan kesejahteraan selama berabad-abad dalam wilayah yang sangat luas. Fenomena seperti itu belum pernah tercatat (dalam sejarah) setelah zaman mereka. Kegigihan dan kerja keras mereka menjadikan pendidikan tersebar luas sehingga pelbagai ilmu, sastera, filsafat dan seni mengalami kemajuan luar biasa; menjadikan Asia Barat sebagai belahan dunia yang paling maju peradabannya selama lima abad”.

Setelah keruntuhan Khilafah, umat Islam dilanda pelbagai musibah dan penderitaan dalam pelbagai aspek seperti hilangnya kesatuan, kekuatan, jati diri, hilangnya tanah-tanah bahkan nyawa, mundur dan terperosok dari segi kemajuan, ekonomi dan sebagainya..

Jutaan nyawa yang melayang: Dunia tidak pernah sunyi daripada peperangan yang meragut jutaan nyawa manusia. Dalam Islam, peperangan (jihad) juga berlaku namun ia bertujuan untuk meruntuhkan halangan-halangan fizikal yang mencegah daripada tersebarnya Islam kepada manusia. Dakwah ini wajib sampai kepada semua manusia, dan agama Allah ini wajib zahir di atas agama-agama lain. Manusia wajib menyembah dan menghambakan diri hanya kepada Allah dan tidak kepada yang lainnya.

Perang (jihad) merupakan satu kewajipan yang agung dalam Islam, bukannya bertujuan membawa kemusnahan atau pembunuhan jiwa semata-mata. Manakala peperangan yang dilakukan oleh puak kuffar merupakan peperangan yang mengundang kemusnahan dan pembunuhan atas tujuan yang jahat. Jihad sangat berbeza dengan peperangan imperialis kerana tujuan jihad adalah futuhat (membuka) negara baru untuk diperintah dengan hukum Allah. Jihad adalah satu kewajipan yang difardhukan ke atas kaum Muslimin untuk meninggikan kalimah Allah. Jihad berfungsi sebagai penghapus kekuatan fizikal musuh yang menjadi penghalang kepada tersebarnya rahmat Allah ke seluruh alam.

… bersambung

أقيموا_الخلافة#
#TegakkanKhilafah
#ReturnTheKhilafah