Sejarah kemasukan Islam ke Nusantara (Siri 1)

Buat masa ini, agama Islam merupakan agama kedua terbesar di dunia dan merupakan agama yang terus dan sentiasa mengalami peningkatan penganutnya berbanding agama lain. Sejak diutusnya Rasulullah (saw), agama Islam yang bermula di Mekah terus berkembang ke seluruh Jazirah Arab dan kemudiannya terus menyebar  ke serata dunia melalui peranan pendakwah yang dikirim oleh pemerintah Islam.

Antara kawasan yang turut menerima pengaruh Islam dan berdirinya pemerintahan Islam ialah kawasan Alam Melayu yang juga dikenali sebagai Nusantara. Secara umumnya kedatangan Islam ke rantau ini bermula seawal abad ke-7 M, yang telah dibawa masuk oleh para ulama di zaman Khilafah yang juga rata-rata mereka merupakan para pedagang. Kemasukan Islam adalah suatu peristiwa sejarah yang besar bagi penduduk kepulauan Melayu secara umumnya, yang sebelum ini sebahagian besar merupakan penganut animisme.

Hamka telah membuat kajian menggunakan sumber Cina dan tulisan T.W. Arnold yang menyentuh sekitar usaha dakwah yang dilakukan oleh para pedagang Arab di rantau Melayu dan dunia sebelah timur di sekitar abad ke-7 M. Walaupun demikian, proses pengIslaman keseluruhan rantau ini tidaklah seragam. Sekelompok kecil pendakwah telah dikatakan berada di rantau Melayu iaitu di bahagian Barat Sumatera pada tahun 674 M, dan 878 M dan di Jawa pada tahun 1082 M, di Champa pada 1039 M, di Semenanjung Tanah Melayu pada 878 M dan 1302 M dan semakin bertambah ramai di sekitar abad ke-15.

Menurut sesetengah sarjana, Islam mula tersebar di alam Melayu ini pada abad ke-13 atau ke-14 berdasarkan kerajaan Samudera Pasai yang merupakan kerajaan Melayu-Islam pertama di rantau ini.

Terdapat pelbagai teori berkenaan sejarah kemasukan Islam ke Nusantara. Antaranya ialah teori penyebaran Islam melalui selatan India. Teori ini didasari oleh bukti-bukti penemuan batu-batu nisan yang serupa dengan yang terdapat di Gujerat dan Benggal di samping kehadiran pedagang-pedagang yang kebanyakannya berasal dari Gujerat, Coromandel dan Malabar. Antara mereka yang beranggapan sedemikian ialah sarjana-sarjana seperti Pijnappel, Snouck Hurgrenje, Moquette, Morrison, Winstedt, Schrieke dan sebagainya.

Selain itu, terdapat juga teori kedatangan Islam ke Nusantara melalui orang Arab. Antara tokoh yang mempopularkan teori ini ialah Hamka, yang menyebut bahawa orang Arab khususnya saudagar yang berniaga di kawasan sebelah Timur telah menyebarkan Islam ke rantau ini. Selain itu, Syed Naquib al-Attas juga turut menyanggah pandangan sarjana barat dan berpandangan bahawa Islam telah dibawa dari Arab-Parsi berdasarkan pengarang asal karya kesusasteraan yang mengandungi nama orang Arab-Parsi. Selain itu nama dan gelaran para pembawa awal Islam di dalam karya kesusasteraan Melayu turut mengandungi nama orang Arab-Parsi.

Pedagang-pedagang Islam dan para ulama yang turut serta dengan pedagang–pedagang ini untuk menyebarkan dakwah dalam kalangan penduduk tempatan memainkan peranan besar dalam penyebaran Islam di alam Melayu. Sikap dan akhlak yang baik yang ditunjukkan oleh pedagang Islam telah menarik perhatian penduduk tempatan untuk mendalami Islam. Kewujudan para pedagang Islam yang berdagang dan dalam masa yang sama turut menyampaikan dakwah dapat dibuktikan pada abad ke-9 M sebagaimana terdapat dalam karya Akbar as-Sin wa al-Hind yang menggambarkan lokasi kerajaan Kedah yang berada dalam naungan Srivijaya pada masa tersebut.

Menurut Ibnu Khudarbih, jarak  dua hari perjalanan  dari Kedah, terdapat Pulau Barus yang menghasilkan kapur barus, pisang,  kelapa, gula dan beras yang bermutu tinggi.

Dalam abad berikutnya, al–Masudi juga menceritakan kedudukan Kedah yang terletak di pertengahan perjalanan menuju ke China yang menjadi pusat perhentian dan pertemuan kapal–kapal dagang Islam dari Oman dan China. Pedagang Islam yang ingin ke China akan berhenti di Kedah dan menaiki pula kapal China untuk berulang alik ke pelabuhan Canton.

Terdapat juga destinasi lain yang turut dinyatakan seperti Pulau Tioman, Pahang, Aceh, Sumatera, Bintan dan sebagainya.

Bukti adanya catatan ini menunjukkan bahawa telah ada pedagang Islam yang berdagang di kawasan ini yang juga mungkin dalam kalangan mereka merupakan para pendakwah. Penemuan makam Sheikh Abdul Qadir Husin Shah pada 902 M di Tanjung Aris, Langgar,  Kedah membuktikan kewujudan pedagang dan pendakwah sejak abad ke-9 M.

Antara sumber penting tentang kedatangan Islam ke Nusantara dapat dilihat melalui teks Melayu Tua iaitu Izhar al–Haq fi Mamlakah karangan Abu Ishaq al-Makarani al-Fasi. Dalam teks ini menyatakan terdapat seratus orang pendakwah yang dihantar, yang diketuai oleh Nakhoda Khalifah yang datang dari Gujerat, telah berlabuh di bandar Perlak pada tahun 790 M. Salah seorang daripada rombongan tersebut ialah Ali Ibn Muhammad Jaafar Sadiq yang berfahaman Syiah dan beliau telah berkahwin dengan puteri Perlak. Hasil daripada perkahwinan telah  melahirkan seorang putera yang bernama Syed Maulana Abdul Aziz Shah yang ditabalkan sebagai Sultan pertama di Perlak pada tahun 840 M.

Sehingga tahun 913 M, Perlak dipimpin oleh beberapa orang Sultan dan selepas kemangkatan Syed Maulana Abbas Shah, berlakunya perang antara kelompok Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah pada tahun 918 M yang dimenangi oleh Ahli Sunnah. Pada akhir abad ke 10, pertikaian antara dua kelompok terjadi kembali yang mengakibatkan kerajaan ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu kawasan pesisir dikuasai oleh golongan Syiah dan kawasan pedalaman dikuasai oleh golongan Ahli Sunnah.

Akibat serangan kerajaan Srivijaya ke atas kerajaan pesisir, Perlak yang ditadbir oleh golongan Syiah jatuh dan diambil alih oleh golongan Ahli Sunnah yang dipimpin oleh Sultan Makhdum Alaudin Malik Ibrahim.

bersambung..