Jejak Peradaban Islam Melayu-Nusantara (Siri 1)

Seringkali sejarah dilihat sebagai sebuah subjek perbincangan yang sarat dengan fakta atau pentafsiran, hanya bersifat akademik tanpa sebarang nilai komersial, ketinggalan, bahkan membosankan dalam kalangan pelajar dan masyarakat secara umumnya. Semua ini terjadi apabila sejarah dilihat sebagai sebuah siri catatan atau rentetan peristiwa semata-mata.

Sedangkan sejarah merupakan salah satu cabang pengetahuan yang bernilai sekiranya dinilai secara objektif dan dijadikan sebagai ibrah (pengajaran) yang mencorak jatidiri umat dalam mendepani cabaran di masa hadapan.

Meski ia bukan sumber yang dijadikan sebagai sandaran dalam sesebuah hukum, juga bukan sandaran hujah bagi menjustifikasikan sesebuah tindakan, sejarah memainkan peranan dalam memastikan agar kita tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh generasi terdahulu.

Sejarah juga mengingatkan kita akan kejayaan dan kegagalan nenek moyang kita serta warisan yang diturunkan kepada generasi kemudian. Melalui sejarah, ada kalanya kita perlu berbangga dengan kegemilangan silam, khususnya kegemilangan Islam, walaupun itu bukanlah tujuan untuk kita mengkaji sejarah. Ada kalanya juga kita perlu meratapi hilangnya sebuah kemuliaan dek kolonialisasi dan pengkhianatan, walaupun itu juga bukan tujuan untuk kita mengkaji sejarah. Sebaliknya mengkaji dan melihat kembali sejarah adalah bertujuan untuk mengetahui dan mengambil iktibar daripada pelbagai kejadian sekali gus untuk menyedarkan diri sendiri serta masyarakat secara umumnya agar membentuk masa depan yang lebih baik.

Dalam masa yang sama, kita juga perlu sedar bahawa sejarah sering terdedah kepada bias dan manipulasi oleh pencatatnya. Sejarah juga terdedah kepada unsur tokok tambah dan penyimpangan terutamanya oleh pihak yang berkepentingan. Atas dasar itu, sumber pengkajian hendaklah pelbagai dan perlu dipastikan kesahihannya setakat yang termampu. Selain itu, kita juga hendaklah memiliki satu sudut pandang tertentu apabila mempelajari sejarah, iaitu sudut pandang yang berasaskan akidah Islam, dan melihat peristiwa sejarah sebagai seorang Muslim yang berideologi Islam. Jika kita mempunyai sudut pandang seperti ini, maka kita tidak akan tertipu dengan sebarang pembohongan, penyelewengan dan manipulasi oleh para pencatat sejarah.

Tamadun Melayu-Nusantara sebelum ketibaan Islam

Tamadun merujuk kepada kepandaian mengekploitasi material oleh masyarakat iaitu proses masyarakat terhadap material dengan sendiri menjadikan barang baru bagi keperluan tertentu. Tamadun Melayu bermakna tamadun yang dibina dan dimiliki oleh orang-orang berbangsa dan berbudaya Melayu, yang dari segi sosiobudaya terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik, dan dari segi politik pada masa lampau terpecah kepada pelbagai kerajaan kuno, dan kini muncul sebagai beberapa negara di rantau ini.

Nadiah dan Kaw (2008) menyatakan bahawa orang Melayu secara budaya adalah penduduk Asia Tenggara, khasnya di gugusan Kepulauan Melayu (yang mencakupi Selatan Siam, Semenanjung Tanah Melayu, Pulau Sumatera, Jawa, Madura, Sunda, Borneo, Sulawesi, Filipina, pulau-pulau timur Indonesia dan juga bahagian-bahagian kecil daripada Kambodia ke Vietnam), yang bertutur dalam keluarga bahasa Melayu-Indonesia.

Tamadun atau peradaban terdiri daripada unsur budaya, dan juga masyarakat yang selama ini membina, mengembangkan, dan mendukung peradaban tersebut. Seperti halnya unsur-unsur budaya, maka unsur-unsur kesatuan masyarakat ini juga harus bersepadu sebagai sebuah sistem. Mereka harus mempunyai kaitan atau hubungan satu dengan yang lain, dengan kata lain menjadi sebuah rangkaian.

Asal-usul orang Melayu masih dalam perbahasan antara sejarawan, ahli linguistik, ahli antroplogi dan juga ahli arkeologi. Terdapat pelbagai teori yang dibangkitkan mengenai asal-usul Melayu. Antara teori popular dalam membahaskannya ialah teori orang Melayu berasal daripada Yunnan, teori orang Melayu berada dari Taiwan, dan teori orang Melayu berasal dari Sundaland iaitu kepulauan Melayu sendiri.

Antara kerajaan Melayu yang terawal di alam Melayu sebelum Islam, yang memperlihatkan ciri ketamadunan ialah kerajaan Melayu Funan yang mempunyai pelabuhan Oc-Eo (kini terletak di Vietnam), kerajaan Melayu Champa, kerajaan Srivijaya, kerajaan Langkasuka dan Kedah Tua.

Daripada sebuah sumber Yunani ada yang menyatakan dalam catatannya pada awal abad Masihi, terdapat segerombolan kapal-kapal dari Melayu Nusantara membawa kargo-kargo yang banyak untuk didagangkan. Catatan ini menunjukkan bahawa pada zaman tersebut telah wujud kerajaan-kerajaan Melayu yang berasaskan kerajaan maritim dan mempunyai sistem politik dan sosiobudaya yang maju dan tersusun serta jaringan perdagangan dengan masyarakat antarabangsa.

Aktiviti perdagangan antarabangsa dan hubungan dengan kerajaan awal

Aktiviti perdagangan antarabangsa antara tamadun Melayu dengan tamadun lain wujud semenjak tahun 2000 sebelum Masihi. Hubungan perdagangan ini berlangsung antara penduduk di tanah pamah dengan penduduk di tanah tinggi, atau penduduk pesisiran pantai dengan masyarakat di pedalaman.

Aktiviti perdagangan juga berlaku antara penduduk pesisiran pantai dengan penduduk pesisiran pantai yang berada dalam kawasan geografi yang berbeza. Kawasan ini kemudiannya berkembang menjadi pusat perdagangan atau pelabuhan entrepot apabila sistem komunikasi dan sosial masyarakat menjadi maju.

Antara bukti wujudnya perdagangan ini termasuklah dengan penemuan kulit siput  jenis marin di tapak prasejarah Gunung Cheroh, Perak, Bukit Chuping, Perlis, Bukit Chintamani, Pahang, dan lain-lain. Menurut sebuah hipotesis, kulit siput ini digunakan dalam aktiviti perdagangan yang ditukar dengan barangan hutan seperti rotan, kulit kayu, damar, dan pelbagai hasil hutan lainnya.

Bukti kewujudan perdagangan antarabangsa pula dapat dilihat dengan penemuan manik yang berasal dari Rom di Kota Tinggi, Johor pada tahun 1937; arca Buddha di Sempaga, Sulawesi; manik dan tembikar yang ditemui di Gua Angina, Pahang; serta kubur kepingan batu di Lembah Bernam, Klang. Kehadiran pedagang dari Parsi pula dapat dilihat dengan penemuan duit syiling zaman empayar Sassanian di perairan selatan Siam di Yarang, Patani bertarikh abad kelima Masihi. Demikian juga dengan penemuan duit syiling Abbasiyyah pada tahun 758-1258 Masihi di Kuala Sungai Merbok, Kedah.

Di samping aktiviti perdagangan, berlaku juga interaksi antara tamadun Melayu-Nusantara dengan tamadun-tamadun lain dari segi politik dan diplomasi. Bahkan rantau ini turut menjadi tumpuan para pendakwah Islam yang menjalankan tugas murni menyebarluaskan pengembangan risalah Islam meski berdepan dengan kesukaran dalam perjalanan yang mencecah ribuan kilometer merentas samudera dan laluan darat.

Sejarah kemasukan Islam ke rantau ini serta peranan aktif yang dimainkan oleh para Khulafa’ akan dikupas dalam siri seterusnya, insya Allah.