Jejak Peradaban Islam Melayu-Nusantara (Siri 2)

Sekilas fakta kerajaan-kerajaan Melayu sebelum ketibaan Islam

Kerajaan Funan

Kerajaan Funan merupakan sebuah kerajaan Melayu yang hebat dan wujud di utara Benua Sunda yang mana sekarang ini dikenali sebagai Kemboja. Pengaruh kerajaan ini mencakupi wilayah Campa di sebelah kanan, wilayah Siam di sebelah kiri dan Kedah Tua serta beberapa buah negeri di semenanjung Tanah Melayu. Aktiviti perdagangannya dikesan daripada catatan dan rekod-rekod Cina sekitar tahun 221-280 Masihi. Rangkaian perdagangannya mencakupi kawasan Rom dan Yunani, berdasarkan penemuan artifak-artifak Eropah Kuno di Champa (Vietnam pada hari ini). Kerajaan ini direkodkan telah lenyap pada abad ke 7 Masihi.

Kerajaan Champa

Kerajaan Champa diasaskan oleh etnik Cham iaitu satu etnik dalam rumpun Malayo- Polinesia yang menetap di Tanah Besar Asia Tenggara. Mereka juga turut digelar sebagai orang Melayu Cham. Kerajaan ini dikatakan telah wujud seawal tahun 192 Masihi. Kerajaan ini menguasai dataran-dataran tinggi dan tanah-tanah pamah di pantai timur Indochina yang menghadap ke Laut China Selatan.

Kerajaan Awal Melayu Langkasuka

Menurut catatan Tarikh Patani, Empayar Langkasuka (abad ke-2 hingga abad ke-14 Masihi) telah wujud semenjak tahun 200 Masihi. Wilayah kekuasaan Langkasuka merangkumi negeri Kedah dan Patani. Menurut kajian lain pula, keluasan dan penguasaan negeri Kedah meliputi sepanjang pantai barat semenanjung Tanah Melayu hingga ke bahagian utara, bermula sempadan Kedah/Perak, Pulau Pinang, Tanah Seri atau Tennaserim di Segenting Kra, Burma sehinggalah kawasan yang kini menjadi sebahagian daripada Bangladesh. Setelah kemerosotan Empayar Langkasuka, kerajaan Patani berkembang sehingga meliputi sepanjang pantai timur semenanjung Tanah Melayu, bermula dari sempadan Pahang-Johor, Terengganu, sehinggalah ke Chaiya atau Cahaya di Segenting Kra.

Kedah Tua

Kedah Tua merupakan antara kerajaan Melayu yang terawal sebelum kemunculan Srivijaya dan kerajaan Melayu yang lain. Ia juga dikenali sebagai Kataha, Kadaram, Sai, Kalah, Kalah Bar dan Kalagram. Menurut catatan I Ching (Yijing, 635-715, sami di Dinasti Tang) dari negara China, Kedah Tua juga disebut sebagai Cheh-Cha / Chiecha dalam rekod Cina). Kedah Tua merangkumi gabungan sekumpulan penempatan pesisiran pantai dan pinggir sungai yang terletak di Lembah Bujang. Ia berfungsi sebagai pusat pertukaran komoditi dan struktur kerajaan. Penempatan ini dihuni oleh masyarakat Melayu serta golongan pedagang yang menetap dalam jangka masa yang pendek sementara menunggu pertukaran angin monsun.

Kerajaan Srivijaya

Kerajaan Srivijaya merupakan sebuah empayar Melayu yang unggul. Kerajaan ini wujud pada pertengahan abad ke-6 hinggalah abad ke-13 Masihi. Kerajaan ini menjadi salah satu empayar maritim terbesar di Asia Tenggara pada masa tersebut. Pengaruhnya dapat dikesan dari China di Timur hinggalah ke Semenanjung Tanah Arab dan Benua Afrika di sebelah Barat. Kerajaan ini runtuh pada akhir abad ke 13. Antara pelabuhan yang menjadi pelabuhan utama empayar ini ialah Palembang, Jambi, Riau-Lingga, dan Kedah Tua. Kerajaan ini juga mempunyai hubungan dengan Khilafah Umayyah semasa pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, berdasarkan rekod surat yang dikirimkan oleh Indravarman yang memerintah Srivijaya memohon untuk mengajarnya mengenai Islam, dan menjelaskan hukum-hukumnya.

Rujukan:

Amri Marzali, Peradaban Melayu Nusantara, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya / A Marzali – Jurnal Peradaban, 2017 – jice.um.edu.my/

Buku Sejarah Tamadun Alam Melayu, Asal Usul Induknya di Benua Sunda, Penerbit: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Raja Arif Danial, Asal Usul Kerajaan Champa, Dalam bab Kitab Tamadun Melayu, penerbit: Patriots Publication.

Moustapha Abbas, Srivijaya Empayar Maritim Kebangsaan Melayu, dalam bab Kitab Tamadun Melayu, Penerbit: Patriots Publications.