Sejarah kemasukan Islam ke Nusantara (Siri 2)

Terdapat juga pandangan yang menyatakan Islam telah datang di rantau ini semasa zaman pemerintahan Khilafah Umayyah lagi. Berdasarkan sejarah Aceh pula, disebut bahawa Islam telah datang ke Sumatera  sejak tahun 506 H (1112 M) dibawa oleh pendakwah Arab yang dikenali sebagai Syeikh Abdullah Arif. Terdapat banyak lagi bukti tentang sejarah kedatangan Islam ke Nusantara yang merupakan antara kawasan yang terawal menerima Islam melalui dakwah yang dibawa oleh para ulama dan para pedagang.

Abad ke 13 hingga 17 dilihat sebagai era perkembangan dan pengembangan agama Islam secara lebih meluas di Nusantara. Ia dapat dilihat melalui pengaruh beberapa kerajaan di rantau ini yang menerima Islam sebagai anutan mereka dan menjadikan Islam sebagai agama rasmi kerajaan.

Antara kerajaan yang memainkan peranan penting pada masa tersebut ialah Kerajaan Samudera-Pasai. Kerajaan ini berada dalam pemerintahan Merah Silu (Sultan Malik as-Salih) yang telah memeluk Islam berserta rakyatnya setelah mendapat seruan dakwah daripada Syeikh Ismail dan rombongan dari Mekah sekitar abad ke 13 M.

Sultan Malik az-Zahir yang merupakan anak kepada Sultan Malik hasil perkahwinan dengan Puteri Perlak merupakan seorang sultan yang soleh, sering menjemput ulama yang pakar dalam bidang fekah, syair dan falsafah ke istananya. Beliau juga mengisytiharkan perang terhadap penyembah berhala dan memungut ufti daripada mereka yang enggan yang memeluk Islam. Baginda juga turut berperanan menghantar para ulama ke pelbagai wilayah Nusantara lainnya untuk berdakwah. Antaranya, baginda menghantar Maulana Malik Ibrahim dan Maulana Ishak untuk berdakwah di Pulau Jawa serta menghantar sekumpulan pendakwah ke Sulawesi di bawah pimpinan Raja Abdul Jalil  bin Sultan al-Qahhar dan seorang ulama Arab, Syeikh Ali al-Qaisar.

Menjelang abad ke 15, Melaka muncul sebagai pusat pelabuhan yang terkenal setelah kemerosotan kerajaan Samudera-Pasai. Penerimaan Islam sebagai agama rasmi negara meletakkan Melaka sebagai pusat penyebaran Islam di rantau ini. Dengan kebanjiran para pedagang dari pelbagai negara termasuk juga pedagang Islam, ia merancakkan lagi penyebaran Islam di Melaka dan sekitarnya.

Sultan Melaka turut membangunkan masjid dan surau sebagai tempat untuk mengajar dan mengembangkan Islam. Di bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Shah, syiar-syiar Islam telah berkembang dengan baik dengan penghantaran mubaligh-mubaligh ke wilayah yang dikuasainya untuk menyebarkan Islam. Golongan ulama juga turut diberikan penghormatan yang tinggi seperti yang diceritakan oleh dalam buku Sejarah Melayu mengenai kedatangan Maulana Abu Bakar dari Jeddah yang membawa kitab ad-Durr al-Manzum.

Sultan Melaka pada waktu itu iaitu Sultan Mansur Shah bersungguh melakukan usaha menterjemah kitab tersebut yang dihantar ke Pasai bagi memudahkan baginda untuk belajar bersama seorang maulana. Antara ulama lain yang berperanan besar di Melaka pada masa tersebut ialah Maulana Asmoro yang mengIslamkan Parameswara.

Manakala Raja Kecil Besar diislamkan oleh pedagang Arab iaitu Sayid Abdul Aziz yang juga bertanggungjawab memberi nama baru baginda iaitu Sultan Muhammad Shah yang mendidik baginda selama 8 tahun. Dalam masa yang sama, Sayyid Abdul Aziz juga membina pondok pertama di Melaka yang terletak di Upih.

Jawatan penting juga turut diberikan kepada golongan ulama ini seperti Sayid Yusof dan cucunya Sayid Menawar pernah dilantik sebagai kadi besar Melaka  yang berkhidmat di bawah empat orang sultan iaitu Sultan Muzaffar Shah, Sultan Mansur Shah, Sultan Alauddin dan Sultan Mahmud Shah. Selain mereka, Maulana Sadar Jahan, Maulana Abu bakar, Maulana Jalaludin, Sultanul Ariffin juga antara ulama yang membimbing sultan, pembesar dan umat Islam di Melaka. Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada Ogos 1511 menyebabkan peranannya sebagai pusat penyebaran Islam telah terjejas.

Walaubagaimanapun, sebuah kuasa baru Islam di rantau ini menggantikan peranan Melaka muncul iaitu Kerajaan Aceh. Walaupun Aceh gagal mengalahkan Portugis di Melaka, namun kerajaan ini berjaya menyekat penyebaran agama Kristian daripada tersebar dengan meluas.

Aceh juga turut mengadakan hubungan negara kaum Muslimin lainnya seperti India, Turki, Arab dan Mesir. Hubungan yang dijalinkan ini memberi manfaat kepada Aceh dari segi politik dan ketenteraan selain para ulama beramai-ramai mengunjungi negeri ini dalam usaha untuk membantu gerakan dakwah dan memperkukuhkan lagi tahap penguasaan ilmu agama dalam kalangan masyarakat. Antaranya ialah Syeikh Abdul Qodir Ibn Hajar dan Syeikh Muhammad Al-Yamani  dari Mekah serta Syeikh Muhammad Jailani al-Raniri dari Gujerat serta beberapa ulama tempatan seperti Hamzah al-Fansuri, Syamsudin Pasai, Abdul Rauf al Fansuri dan ramai lagi yang menjadikan kerajaan Aceh sebuah pusat intelektual Islam serantau yang juga dikenali sebagai serambi Mekah.

Hal ini membuktikan bahawa Islam telah berkembang dengan pesat di Nusantara sejak abad ke-7 M, bahkan lebih awal lagi melalui peranan ulama dan juga pengaruh beberapa kerajaan Islam yang muncul yang mempercepatkan lagi penyebaran Islam ke seluruh Nusantara.

Bagi kepulauan Jawa, Wali Songo merupakan ulama yang terlibat dalam menyebarkan Islam di sana. Wali Songo dikatakan merupakan utusan Khilafah untuk mendakwahkan Islam di kepulauan Jawa. Maklumat ini terdapat dalam Kanzul Hum yang dikatakan ditulis oleh Ibnu Batutta.

Khilafah dikatakan menghantar enam kumpulan dakwah yang terdapat 9 orang utusan di dalamnya. Kumpulan yang pertama diketuai oleh Syeikh Maulana Malik Ibrahim yang berasal dari Turki juga merupakan seorang ahli politik dan peletak Kesultanan di Jawa. Dalam kumpulan tersebut juga mempunyai pendakwah yang berketurunan Palestin iaitu Syeikh Hasanuddin dan Sultan Aliudin yang menjalankan dakwah di Banten.

Selain itu, terdapat juga syeikh Jaafar Shadiq dan Sheikh Hidatullah yang juga berasal dari Palestin yang dikenali sebagai Sunan Kudus dan Sunan Gunung Jati oleh masyarakat Jawa. Peranan dakwah yang dijalankan oleh para ulama yang dihantar oleh Khilafah ini dan ulama tempatan yang lahir selepas mereka seperti Raden Paku yang dikenali sebagai Sunan Giri, Raden Said yang dikenali sebagai Sunan Kalijaga, Raden Makdum Ibrahim yang dikenali sebagai Sunan Bonang dan Raden Kasim Dua  atau Sunan Drajad – semua ini mempercepatkan lagi proses penyebaran Islam ke seluruh Tanah Jawa.

Walaubagaimanapun, pendapat ini masih disangkal oleh beberapa sejarawan berkenaan penghantaran pendakwah oleh Sultan Muhammad I kerana pada masa tersebut Turki belum lagi menjadi sebuah Khilafah yang menaungi umat Islam. Pada waktu itu masih Khilafah Abbasiyyah masih berkuasa. Di samping itu, terdapat percanggahan tahun berkenaan catatan Ibnu Batutta dengan waktu pemerintahan Sultan Muhammad I yang memerintah sekitar tahun 1413 M.

Wallahu a’lam.

 

Sumber :

Dr. Arbaiyyah Mohd Nor, Perkembangan Pensejarahan Islam di Alam Melayu. Universiti Malaya.

Dr. Muhammad Mustaqim Mohd Zarif, Satu Millenium Islam di Nusantara : Tinjauan Sosio Sejarah, Kertas Pembentangan Konvensyen, Universiti Sains Islam Malaysia.

https://www.academia.edu/21479849/SEJARAH_WALISONGO

Moustapa Abbas, Kitab Tamadun Melayu dalam buku Melaka : Permata Nusantara abad ke –  15, penerbit : Patriots Publication.

http://merahsilu.blogspot.com/2015/06/betul-ke-wali-songo-dihantar-oleh.html.