Halangan-halangan kembalinya Khilafah (Siri 1)

Khilafah Islamiyah merupakan sebuah negara yang mana sistem pemerintahannya diwarisi daripada Rasulullah (saw), yang kemudiannya diteruskan oleh setiap Khalifah sehinggalah ke pemerintahannya yang terakhir di Istanbul, Turki. Selama lebih 13 abad umat Islam bersatu di bawah naungannya dan ia telah melindungi umat Islam daripada musuh dan menyelamatkan mereka daripada penjajahan tentera Salib dan Mongol. Karateristik Khalifah sebagai penyelamat dan pelindung umat Islam pernah disabdakan oleh baginda (saw) dalam sebuah hadis:

إِنَّمَا الْإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ

”Sesungguhnya Imam (Khalifah) itu laksana perisai, orang-orang berperang dan berlindung di belakangnya” (Muttafaq ‘alaih)

Sejak keruntuhan Khilafah 100 tahun yang lepas, tepatnya pada 28 Rajab 1342 H (3 Mac 1924 M), sistem pemerintahan Islam secara automatik turut terhapus. Sejak itu, umat Islam telah kehilangan pelindung dan perisai mereka sehingga keadaan umat Islam umpama ‘anak ayam kehilangan ibunya’. Namun, tidak semua umat Islam yang berdiam diri atas keruntuhan tersebut, di mana usaha-usaha untuk mengembalikan semula Khilafah telah pun bermula sejurus selepas keruntuhan Khilafah walaupun amat lemah, dan usaha tersebut dengan izin Allah telah semakin membesar sehingga ke hari ini.

Ketakutan Penjajah Terhadap Khilafah

Kuasa-kuasa Penjajah baik di Timur dan Barat sangat memahami kekuatan umat Islam yang mampu dicapai sekiranya institusi politik Islam, Khilafah Islamiyyah, berjaya didirikan semula oleh umat ini. Seperti mana Presiden George W. Bush pernah berucap kepada pegawai-pegawai tenteranya mengenai dasar luar AS dalam usaha menentang keganasan pada 2006:

“Mereka berharap untuk mendirikan sebuah kuasa politik utopia yang ganas di seluruh Timur Tengah, yang mana mereka gelar sebuah Khilafah, di mana ia diperintah dengan ideologi kebencian…sebuah langkah ke arah penyatuan kaum Muslimin dan mendirikan Khilafah Rasyidah. Khilafah ini akan menjadi sebuah empayar Islam totalitarian yang merangkumi seluruh negeri-negeri umat Islam dulu dan kini, merentang dari Eropah ke Afrika Utara, Timur Tengah dan Asia Tenggara.” https://www.c-span.org/video/?194132-1/us-foreign-policy-terrorist-threats

Manakala kuasa penjajah Timur, seperti Rusia juga sedar akan ancaman berdirinya Khilafah di Asia Tengah yang mampu menggugat kedudukan mereka. Presiden Putin pernah menyuarakan kebimbangan ini dalam sebuah siri dokumentari ‘The Putin Inverview’ pada 2017. Dalam dokumentari tersebut, dia telah ditanya tentang sebab-sebab Rusia terlibat dalam operasi ketenteraan di Syria. Putin menjawab, “Mereka mahu menubuhkan Khilafah dari Selatan Eropah sehingga ke Asia Tengah. Ini adalah sangat bahaya” [http://www.khilafah.com/putin-is-frightened-of-khilafah/].

Sesungguhnya kembalinya Khilafah merupakan janji Allah dan Rasul-Nya. Namun demikian, ia tidak akan tertegak dengan sendirinya, kecuali melalui sebuah gerakan politik Islam yang berjuang persis perjuangan yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw). Gerakan politik seperti inilah yang sangat ditakuti oleh musuh-musuh Allah, kerana mereka tahu bahawa melalui gerakan politiklah, umat Islam akan bangkit dan bakal mencapai apa yang diingini, yakni tegaknya Islam. Lihat sahaja kenyataan Presiden Macron pada Februari 2020 yang telah bersumpah untuk menghapuskan Islam Politik. Kata beliau, “Kita tidak akan sekali-kali terima di mana hukum Islam (laws of religion) lebih tinggi daripada undang-undang republik.” Sejak itu, Presiden Macron telah melancarkan strategi Perancis menentang politik Islam [https://foreignpolicy.com/2020/02/24/emmanuel-macrons-war-on-islamism-is-europes-future/]

Pada bulan Oktober 2020, beliau menekankan lagi agendanya terhadap Islam, “Islamis separatisme adalah bahaya ke atas Perancis kerana ia berpegang kepada hukum-hukum syariah yang lebih tinggi daripada yang lain dan sering kali mengakibatkan penentangan masyarakat (counter-society). Islam adalah agama yang sedang mengalami krisis di seluruh dunia hari ini, kita tidak hanya mahu melihatnya di negara kita” [https://www.bbc.com/news/world-europe-54383173].

Semua kenyataan di atas merupakan kenyataan daripada kuasa-kuasa penjajah yang sedar akan kekuatan umat Islam yang sebenar dan bahayanya terhadap kekuasaan dan kepentingan-kepentingan mereka, apabila Khilafah berjaya ditegakkan dan hukum Islam diterapkan. Ketakutan mereka tidak dapat lagi disembunyikan sehingga mereka terpaksa menyatakan secara terang-terang. Atas dasar itu, kita melihat musuh-musuh Allah ini tidak pernah berdiam diri daripada usaha mereka menghalang kembalinya Khilafah dan Islam ke muka bumi ini.

Usaha Menghalangi Kemunculan Semula Khilafah

Pelbagai rencana dan konspirasi jahat mereka telah dan sedang dilakukan ke atas umat Islam, khususnya terhadap mereka yang berusaha untuk mendirikan Khilafah. Sebahagian besar daripada konspirasi tersebut tidak dilaksanakan oleh mereka sendiri, tetapi melalui tangan ejen-ejen mereka yang terdiri daripada para penguasa umat Islam yang mereka lantik. Betapa hinanya para penguasa ini, yang langsung tidak ada maruah diri dan yang akan “dihapuskan” oleh Barat pada bila-bila masa jika Barat mahu. Presiden Trump pernah mengatakan pada 2018, “Saudi king wouldnt last two weeks without US support (Raja Saudi tidak akan mampu bertahan dua minggu pun tanpa dukungan Amerika)” [http://www.khilafah.com/trump-saudi-king-wouldnt-last-two-weeks-without-us-support/].

Melalui para penguasa khianat inilah, para aktivis dan pendakwah Muslim yang berusaha untuk mendirikan Khilafah dan menerapkan Islam secara kaffah, telah dihalang, dizalimi, dipenjarakan malah sehingga ada yang dibunuh. Kezaliman ini berlaku di mana-mana negara pun di dunia Islam pada hari ini, apatah lagi di Asia Barat dan Asia Tengah.

Antara perkara yang dilakukan penguasa khianat ini dalam menghalangi usaha penegakan Khilafah ialah melontarkan tuduhan radikal, ekstremis, teroris, sesat, menyeleweng daripada ajaran Islam, mencetuskan huru-hara dan lain-lain lagi ke atas para aktivis dan gerakan yang ingin mengembalikan Khilafah. Halangan ke atas setiap program atau aktiviti merupakan hal yang sering mereka lakukan, termasuklah mengharamkan gerakan Islam tersebut serta menakut-nakutkan masyarakat dengannya.

Sebahagian besar pemimpin pengkhianat ini menonjolkan diri mereka kononnya sebagai  penyelamat umat, khasnya apabila melibatkan isu Palestin. Retorik mereka dalam mengkritik tindakan Yahudi ke atas Palestin dan dasar kuasa-kuasa penjajah yang  menyebelahi Yahudi sudah diketahui umum. Mereka akan beretorik setiap kali Palestin diserang, namun dalam masa yang sama mereka sentiasa menjaga hubungan baik mereka dengan Yahudi. Terbaru, beberapa negara Arab sudah tidak lagi segan silu mengumumkan normalisasi hubungan mereka dengan entiti Yahudi. Inilah fakta nyata, sesungguhnya penguasa-penguasa khianat inilah yang merupakan penghalang utama kepada tegaknya Islam.

bersambung…