Soal Jawab: Ungkapan صحة الأبدان مقدمة على صحة الأديان (“Kesihatan Badan Lebih Diutamakan Berbanding Keselamatan Agama”)
بسم الله الرحمن الرحيم
Soal Jawab: Ungkapan صحة الأبدان مقدمة على صحة الأديان (“Kesihatan Badan Lebih Diutamakan Berbanding Keselamatan Agama”)
(Terjemahan)
Kepada Ummu Ibrahim
Soalan:
Assalamu alaikum wa rahmatullah wa barakatuh. Amirunaa al-Jaliil…
Hari ini kita dihadapkan dengan ungkapan yang sering diulang-ulang dalam pelbagai lapisan masyarakat sekitar isu penjarakan dalam solat berjemaah, yang mana mereka berdalil dengan suatu yang menunjukkan seperti Qaedah Fiqhiyyah yang berbunyi صحة الأبدان مقدمة على صحة الأديان (“Kesihatan Badan Lebih Diutamakan Berbanding Keselamatan Agama”)! Sudikah kiranya anda memberikan penjelasan yang lebih lanjut sekiranya ia benar merupakan Qaedah Fiqhiyyah yang boleh dijadikan sandaran dalam perbuatan secara nyata? Dan apakah dasarnya (kaedah tersebut)?
Jawapan:
Sebelum menjawab pertanyaan anda, saya sebutkan perkara-perkara berikut:
1- Al-Qawa’id al-Kulliyat (Kaedah-kaedah menyeluruh) dalam fiqh merupakan hukum syarak yang diistinbath (digali) dari dalil-dalil syar’iyyah dengan istinbath secara syarie lagi sahih. Sesuatu hukum itu hendaklah disandarkan kepada salah satu lafaz daripada lafaz-lafaz kulliy dan bukan kepada lafaz umum. Di dalam al-Kurraasah dinyatakan:
[Adapun keberadaan Qaedah Kulliyah sebagai hukum syarak, maksudnya ialah Qaedah Kulliyah itu merupakan hukum kulliy yang berlaku (diterapkan) pada juzuk-juzuknya. Adapun dari segi keberadaannya sebagai hukum, hal itu kerana Qaedah Kulliyah itu diistinbath dari khithab asy-Syaari’ (seruan Allah), jadi itu merupakan madlul (pengertian daripada) seruan Allah. Adapun dari segi keberadaannya sebagai kulliy, hal itu kerana sandaran hukumnya bukan kepada lafaz umum untuk ia dikatakan sebagai hukum umum. Contoh (lafaz dan hukum umum) seperti firman Allah (swt):
﴿وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ﴾
“Dan Allah telah menghalalkan jual beli” [Al-Baqarah (2): 275].
Lafaz ini berlaku pada semua jenis jual beli, sehingga ia merupakan hukum umum.
Dan seperti firman-Nya:
﴿حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ﴾
“Telah diharamkan atas kalian bangkai” [Al-Ma’idah (5): 3].
Lafaz ini berlaku pada semua bangkai, jadi ia merupakan hukum umum.
Namun demikian, hukum kulliy yang menjadi Qaedah Kulliyah adalah sandaran hukum kepada lafaz kulliy. Oleh kerana itulah ia dikatakan kulliy, dan kerananya semua hukum yang termasuk di bawah madlul lafaz ini merupakan salah satu juzuk daripada hukum kulliy ini, bukan merupakan salah satu daripada individunya.
Contohnya kaedah:
الوسيلة إلى الحرام حرام
“Jalan yang membawa kepada yang haram adalah haram”
dan kaedah:
ما لا يتم الواجب إلاّ به فهو واجب
“Tidak sempurna suatu kewajipan kecuali dengan sesuatu, maka sesuatu itu menjadi wajib“
dan kaedah-kaedah lain yang seumpamanya…
Dalam kedua-dua kaedah ini, hukum syarak (yakni keharaman), tidak disandarkan kepada lafaz umum seperti البيع (jual beli), tetapi disandarkan kepada lafaz kulliy iaitu ما لا يتم الواجب إلاّ به فهو واجب dan kerana itulah ia bersifat kulliy…] Tamat.
2- Seterusnya, dalil-dalil yang darinya diistinbath Qaedah Kulliyah mestilah mengandungi ‘illat syar’iyyah (علة شرعية) atau suatu yang berkedudukan seperti ‘illat (بمثابة العلة). Contoh, dalil-dalil tersebut menunjukkan hukum dan ia juga menunjukkan kepada suatu yang lain yang menjadi akibatnya atau yang terhasil daripadanya, sehingga ketika itu tampak bahawa hal itu berkedudukan sebagai ‘illat. Dengan itu barulah boleh disusun redaksi kulliy untuk kaedah tersebut. Di dalam kitab asy-Syakhshiyyah al-Islamiyyah Jilid III, dalam bab “Al-Qawa’id al-Kulliyah” dinyatakan:
[…dan Qaedah Kulliyah itu diistinbath dari nas syarie, sama sebagaimana istinbath hukum syarak lainnya, sama ada ia diistinbath dari satu dalil atau dari sejumlah dalil. Cuma, dalil untuk Qaedah Kulliyah di sini adalah dalil yang mengandungi sesuatu yang berkedudukan seperti ‘illat (بمثابة العلة) atau dalil yang mengandungi ‘illat (الدليل علة). Inilah yang menjadikan Qaedah Kulliyah itu boleh diterapkan terhadap kesemua juzuk-juzuknya…
Misalnya, firman Allah (swt):
﴿وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْواً بِغَيْرِ عِلْمٍ﴾
“Dan janganlah kalian memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan” [Al-An’am (6): 108].
Huruf الفاء dalam فَيَسُبُّوا (“kerana mereka nanti akan memaki”) memberi faedah/kesan bahawa makian kalian kepada berhala-berhala mereka akan menyebabkan mereka memaki Allah, dan ini adalah haram. Maka, makian kalian terhadap berhala-berhala mereka dalam situasi ini adalah haram, hal ini seakan-akan merupakan ‘illat. Oleh itu, larangan memaki orang-orang kafir adalah dalil hukum, yang di samping penunjukannya terhadap hukum tersebut, ia juga menunjukkan kepada sesuatu yang lain yang merupakan terbitan dari hukum tersebut (iaitu) ketika Allah berfirman فَيَسُبُّوا اللَّهَ (“kerana mereka nanti akan memaki Allah”). Maka, dari ayat ini diistinbath kaedah الوسيلة إلى الحرام حرام (“Jalan yang membawa kepada yang haram adalah haram”)…].
Berdasarkan hal semacam itulah diistinbath kaedah ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب (“Tidak sempurna suatu kewajipan kecuali dengan sesuatu, maka sesuatu itu menjadi wajib“)…Ini mengenai keperluan dalil yang بمثابة العلة (berkedudukan seperti ‘illat).
Adapun mengenai keperluan الدليل علة (dalil yang mengandungi ‘illat), ia dinyatakan di dalam kitab asy-Syakhshiyyah al-Islamiyah Jilid III, setelah pembahasan tentang مثابة العلة seperti berikut:
[Dan misalnya Rasulullah (saw) bersabda:
الْمُسْلِمُونَ شُرَكَاءُ فِي ثلاَثٍ: فِي الْكَلإِ وَالْمَاءِ وَالنَّارِ» أخرجه أبو داود
“Kaum Muslimin bersyarikat dalam tiga hal: padang ragut, air dan api” [HR Abu Daud].
Telah terbukti bahawa Rasulullah (saw) menyetujui penduduk Thaif dan penduduk Madinah memiliki sumber air sebagai kepemilikan individu. Justeru dapat difahami dari hal ini bahawa sumber air yang diperbolehkan untuk dimiliki secara individu ialah sumber air yang tidak dihajati oleh jemaah (orang ramai). Maka, ‘illat yang menjadikan manusia bersyarikat dalam tiga perkara itu ialah keberadaannya (sifatnya) sebagai مرافق الجماعة (keperluan orang ramai). Jadi, dalil tersebut menunjukkan pada suatu hukum sekali gus menunjukkan pada ‘illat, yakni menunjukkan pada hukum tersebut di samping menunjukkan pada suatu hal yang lain yang merupakan sebab pensyariatan hukum. Sehingga darinya diistinbath kaedah كل ما كان من مرافق الجماعة كان ملكية عامة (“Apa sahaja yang menjadi keperluan orang ramai, maka ia menjadi kepemilikan umum”). Begitulah untuk semua Qaedah Kulliyah].
Kemudian kitab asy-Syakhshiyyah al-Islamiyah menutup topik tersebut seperti berikut:
[Dengan demikian menjadi jelas bahawa Qaedah Kulliyah itu menjadikan hukum seperti ‘illat (بمثابة علة) bagi hukum kulliy, kerana keberadaannya sebagai sebab bagi hukum tersebut, yakni kerana ia merupakan hasil atau terbitan dari hukum tersebut, atau ia menjadikannya sebagai ‘illat yang sebenar (علة حقيقية) bagi hukum kulliy. Jadi Qaedah Kulliyah itu merupakan hukum kulliy yang berlaku (diterapkan) pada juzuk-juzuk hukum tersebut. Oleh kerana itu, Qaedah Kulliyah itu berlaku terhadap semua hukum yang sesuai dengannya, sebagaimana dalil berlaku terhadap hukum yang dikandungnya. Tidak dilakukan qiyas padanya, kerana juzuk-juzuknya itu merupakan terbitan daripadanya, yakni termasuk di bawah mafhum atau manthuqnya, sama persis seperti apa yang termasuk dalam dalalah dari suatu dalil. Jadi beristidlal dengan Qaedah Kulliah itu samalah seperti beristidlal dengan dalil].
3- Atas dasar itu, Qaedah Syar’iyah Kulliyah yang muktabar adalah yang diistinbath dengan istinbath yang syarie sebagaimana yang dijelaskan di atas, yakni yang memenuhi perkara-perkara berikut:
(a) Kaedah itu diistinbath dengan istinbath yang syarie lagi sahih sesuai dengan usul fiqh…
(b) Hukum yang diistinbath itu memberi faedah (kesan) kulliy sehingga di bawahnya terbit juzuk-juzuknya…
(c) Dalil-dalil yang darinya diistinbath Qaedah Kulliyah itu hendaklah mengandungi ‘illat yang syarie (علة شرعية) atau perkara yang berkedudukan seperti ‘illat (بمثابة العلة), lalu kemudian disusun redaksi kulliy untuk Qaedah Syar’iyyah
Inilah kaedah muktabar yang diistinbath dari dalil-dalil dengan istinbath yang syarie. Adapun kaedah yang tidak diistinbath dari dalil-dalil syarie, atau diistinbath dengan istinbath yang tidak syarie, maka ia tidak dianggap sebagai Qaedah Syar’iyyah dan tidak ada nilainya.
Dengan menelaah ungkapan (صحة الأبدان مقدمة على صحة الأديان) sebagaimana pertanyaan, hal berikut adalah jelas:
1- Ungkapan ini tidak diistinbath dengan istinbath yang syarie, dari dalil-dalil yang di dalamnya ada ‘illat (الدليل علة) atau yang berkedudukan seperti ‘illat (بمثابة العلة) untuk membolehkannya menjadi Qaedah Kulliyah yang sahih, yang di bawahnya terbit juzuk-juzuknya…
2- Adapun mereka yang mengatakan bahawa ungkapan ini diistinbath dari dalil-dalil mengenai solat orang sakit yang tidak mampu berdiri sehingga dia dibenarkan solat duduk, maka ini bukannya istinbath yang syarie. Ini kerana, hal tersebut merupakan hukum khusus (ke atas orang yang sakit) yang tidak boleh melangkaui masalah orang yang sakit yang tidak mampu solat berdiri sehingga dia dibenarkan solat duduk. Dalam dalilnya, langsung tidak termasuk hukum orang yang solat berdiri tetapi dibenarkan berjauhan daripada orang sebelahnya dengan jarak satu atau dua meter!
3- Oleh yang demikian, ungkapan ini – صحة الابدان مقدمة على صحة الاديان – bukanlah Qaedah Fiqhiyyah dengan makna ini menurut para fuqaha’ sebagaimana yang saya ketahui, tetapi ia hanyalah seperti ungkapan umum, contohnya “مراعاةُ الأبدان خيرٌ من مراعاة الأديان” (“memperhatikan badan lebih baik daripada memperhatikan agama“) dan ungkapan “صلاحُ الأبدان أولى من صلاح الأديان” (“keselamatan badan lebih utama dari keselamatan agama“). Kesemua ini bukanlah Qaedah Fiqhiyyah.
Bahkan sebaliknya terdapat pendapat-pendapat fiqhiyyah yang bertentangan dengan ungkapan tersebut…Misalnya, sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu al-Amir al-Haj al-Hanafi:
وَيُقَدَّمُ حِفْظُ الدِّينِ مِنْ الضَّرُورِيَّاتِ عَلَى مَا عَدَاهُ عِنْدَ الْمُعَارَضَةِ، لِأَنَّهُ الْمَقْصُودُ الْأَعْظَمُ قَالَ تَعَالَى: {وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ} (“menjaga agama lebih didahulukan berbanding dharuriyat lainnya ketika terjadi pertembungan, kerana menjaga agama merupakan maksud yang paling agung sebagaimana firman Allah “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku”) [At-Taqriir wa at-Tahbiir karya Abu Abdillah Syamsuddin yang dikenal dengan Ibnu al-Amir Haj al-Hanafi (w. 879 H)].
4- Oleh kerana itu, ungkapan ini – صحة الابدان مقدمة على صحة الاديان – tidak dinilai sebagai hukum syarak. Maka, memasukkannya ke dalam topik penjarakan saf adalah tidak sah sama sekali. Adapun hukum syarak mengenai penjarakan saf, kami sebelum ini telah pun mengeluarkan sejumlah Soal Jawab sekitar topik ini, dan cukuplah bagi saya mengingatkan anda kepada dua Soal Jawab sahaja:
– Pertama: Soal Jawab pada 17 Syawal 1441 H / 8 Jun 2020 M dan saya petik daripadanya untuk anda:
[…Ketiga: Tidak boleh dikatakan bahawa penyakit yang menular adalah uzur yang membolehkan penjarakan dalam solat. Tidak boleh dikatakan demikian. Sebab penyakit yang menular adalah uzur untuk tidak pergi ke masjid dan bukannya uzur untuk pergi (ke masjid) tetapi saling solat berjauhan dengan orang di sisinya sejauh satu atau dua meter!! Penyakit menular (tha’un) terjadi pada masa Rasulullah (saw) dan tidak pernah diriwayatkan daripada Rasulullah (saw) bahawa orang yang terkena tha’un pergi solat (di masjid) dan menjarakkan diri daripada saudaranya sejauh satu atau dua meter. Tetapi (yang diriwayatkan ialah) dia diberi uzur untuk solat di rumahnya…Sehubungan itu, orang-orang yang sakit dengan penyakit menular tidak dicampur dengan orang-orang yang sihat, dan untuknya disediakan rawatan yang mencukupi dengan izin Allah (swt). Adapun orang yang sihat, maka mereka pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah seperti biasa tanpa adanya penjarakan…(17 Syawal 1441 H / 8 Jun 2020 M)] Tamat.
– Kedua: Soal Jawab pada 14 Oktober 2020 tentang Solat Jumaat, dan saya petik daripadanya:
[…Jelas dari apa yang disampaikan di atas bahawa solat Jumaat adalah fardhu ‘ain dan wajib ditunaikan dengan kaifiat (tatacara) yang telah dijelaskan oleh Rasulullah (saw) dengan rukun dan syarat sahnya, disertai merapatkan saf menurut syariah sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam jawapan kami sebelumnya…Larangan oleh pemerintah daripada melaksanakan solat Jumaat menurut kaifiat seperti itu merupakan dosa besar yang jatuh ke atas bahu pemerintah, tidak kira sama ada pemerintah menutup masjid-masjid atau melarang pelaksanaan solat Jumaat sesuai tatacara syarie tersebut…
Oleh kerana solat Jumaat adalah fardhu ‘ain, maka setiap Muslim yang mukallaf wajib berusaha untuk solat Jumaat dan menunaikannya dengan cara yang syarie menurut rukun dan syarat sahnya, serta wajib merapatkan saf…dan seterusnya. Jika ia tidak mampu melaksanakannya disebabkan oleh halangan fizikal, atau pemerintah yang zalim melarang (menghalangi) pelaksanaan solat Jumaat sesuai aturan syariah, sebaliknya ia (penguasa zalim) memaksa orang-orang melaksanakan solat secara bidaah dengan memaksa saf dijarakkan, sehingga orang yang solat itu tidak mampu menunaikannya menurut kemampuannya, maka penguasa zalim itu akan memikul dosa atas tindakannya itu…
Rasulullah (saw) bersabda dalam sebuah riwayat yang telah dikeluarkan oleh Imam Bukhari dan Muslim (rahimahumallah), dari Abu Hurairah (ra):
وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ» واللفظ للبخاري
“Dan jika aku memerintahkan kalian dengan satu perkara maka tunaikanlah semampu kalian” (lafaz menurut Bukhari).
Oleh itu, jika seseorang Muslim mampu melaksanakan solat Jumaat yang fardhu ‘ain itu dengan merapatkan saf, maka dia wajib menunaikan solat dengan merapatkan saf, kerana menjarakkan saf adalah bidaah selama dia mampu mengelak penjarakan saf itu. Adapun jika dia tidak mampu kerana tindakan pemerintah yang berdosa tadi, maka pada waktu itu dia hendaklah melaksanakan solat sesuai kemampuannya. Imam an-Nawawi (w. 676 H) mengatakan di dalam bukunya al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajaj ketika menjelaskan hadis dengan lafaz Muslim: Dari Abu Hurairah, Rasulullah (saw) bersabda:…
فإذا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
“Maka jika aku perintahkan kalian dengan sesuatu, maka tunaikanlah semampu kalian”.
An-Nawawi berkata dalam syarahnya, maksud “Maka jika aku perintahkan kalian dengan sesuatu, maka tunaikanlah semampu kalian” ini termasuk kaedah Islam yang penting dan merupakan جَوَامِعِ الْكَلِمِ (kalimah yang ringkas dan padat- pent.) oleh Rasulullah (saw). Termasuk di dalamnya hukum-hukum yang tak terhitung banyaknya seperti solat dengan semua bentuknya. Oleh yang demikian, jika seseorang itu tidak mampu menunaikan sebahagian rukun atau syaratnya, maka hendaklah dia tunaikan sisanya (yang mampu dia tunaikan)…Wallahu a’lam)] Tamat.
Saya berharap (jawapan) ini sudah mencukupi. Wallahu a’lam wa ahkam.
Saudaramu,
Atha’ bin Khalil Abu ar-Rashtah
16 Syawal 1442 H
28 Mei 2021 M
http://www.hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer-hizb/ameer-cmo-site/75750.html
https://www.facebook.com/HT.AtaabuAlrashtah/posts/2936394233273248