Kerajaan Melayu-Islam, tetapi gagal terap Islam
Isu kerajaan gagal telah agak lama “trending” dan kepanasannya masih kekal sampai sekarang. Isu ini timbul ekoran kemarahan rakyat kerana kegagalan kerajaan membendung pandemik, dan lebih teruk dari itu apabila langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan memburukkan lagi pandemik, sehingga rakyat hidup dalam keadaan tertekan. Itu belum masuk lagi isu double-standard yang diamalkan oleh kerajaan semasa pandemik ini.
Dalam keadaan rakyat meneriakkan kerajaan gagal di sana-sini, anehnya Presiden UMNO membuat pengumuman yang tidak mengejutkan untuk keluar dari Perikatan Nasional. Alasan utama yang diberi ialah kerana kerajaan telah gagal. Sungguh aneh kerana UMNO seolah-olah tidak sedar bahawa mereka adalah sebahagian daripada kerajaan. Mereka tidak sedar bahawa mereka meludah ke langit. Mungkin kerana usia UMNO yang sudah lanjut menyebabkan ia “nyanyuk” sedemikian rupa.
Walaupun kerajaan tidak mahu mengaku yang mereka telah gagal, hakikat ini tidak merubah persepsi rakyat sedikit pun, kerana rakyat adalah pihak yang bukan sahaja menilai, malah rakyatlah yang terpaksa “menanggung” segala kegagalan kerajaan.
Rakyat tidak pernah lupa bahawa kerajaan yang memerintah pada hari ini bukanlah kerajaan yang dipilih oleh rakyat, tetapi yang telah masuk ke Putrajaya melalui proses tebuk atap. Jika 60 tahun pemerintahan BN sebelum ini yang dikatakan menang melalui undi rakyat, pun tidak pernah mempedulikan rakyat, apatah lagi parti-parti yang naik ke pemerintahan tanpa melalui undi rakyat. Apa lagi yang mereka pentingkan jika bukan kuasa, pangkat dan harta? Hal ini dapat disaksikan di depan mata.
Walau apa pun realitinya, kerajaan ini sememangnya gagal menerapkan Islam. Inilah kegagalan yang paling utama. Di sebalik mereka mendabik dada sebagai sebuah kerajaan Melayu-Islam, dan terdapat parti Islam dalam pemerintahan, hakikatnya mereka gagal menerapkan Islam! Kegagalan ini bukan sahaja kerana mereka tidak tahu menerapkan Islam, tetapi mereka tidak mahu menerapkan Islam. Pelbagai alasan diberikan untuk menjustifikasi tindakan mereka dalam mengekalkan Perlembagaan dan undang-undang kufur buatan penjajah, walhal kuasa sudah ada di tangan, jika mereka benar-benar mahu menerapkan Islam.
Hasil daripada kegagalan mereka dalam menerapkan Islam-lah, yang menjadikan mereka gagal dalam segala aspek lainnya. Ini kerana Islam merupakan agama yang diturunkan oleh Allah (swt) sebagai mu’alajah li masyakil insan (penyelesaian kepada masalah manusia). Apabila Islam tidak diterapkan, maka sudah pasti masalah manusia tidak dapat diselesaikan. Malah lebih buruk daripada itu, betapa besar dosa yang ditanggung oleh pemerintah yang tidak menerapkan hukum Allah (swt), di mana Allah (swt) menyatakan bahawa mereka adalah golongan yang zalim dan fasiq.
Pengajaran penting daripada semua ini yang perlu diambil oleh rakyat ialah, sudah tidak ada satu parti pun dalam sistem demokrasi pada hari ini, hatta parti Islam sekali pun, yang boleh diharap untuk menerapkan Islam. Maka rakyat perlu berfikir dan bertindak di luar kotak demokrasi jika mahu melihat dan mahu hidup di bawah naungan Islam. Ingatlah pesan Rasulullah (saw) bahawa seorang Mukmin itu tidak sepatutnya dipatuk dari lubang yang sama dua kali. Kini, umat Islam sudah dipatuk dari lubang yang sama sebanyak 14 kali. Jadi, jangan biarkan diri terus dipatuk untuk kali yang ke-15. Insya Allah kita mampu berubah, dengan syarat kita meninggalkan sistem demokrasi yang diwariskan oleh penjajah ini.
Wallahu a’lam.