Jika PM berundur atau tukar kerajaan, selesaikah masalah?
Walaupun Perdana Menteri telah didesak untuk meletak jawatan oleh Presiden UMNO baru-baru ini, namun hal itu tidak diendahkan sedikit pun oleh beliau. Presiden UMNO itu seolah-olah tidak sedar bahawa beliau sendiri telah didesak berkali-kali oleh ahli-ahli Parlimen UMNO dan juga ramai petinggi serta akar umbi UMNO agar meletak jawatan, namun beliau juga tidak pernah mengendahkan hal itu sedikit pun.
Begitulah politik demokrasi di Malaysia, tidak akan ada seorang Menteri pun yang akan mengendahkan hal seumpama itu, kerana mereka semua tahu “wayang” yang dimainkan oleh setiap watak dalam politik dan dalam pentadbiran negara. Namun, apa yang lebih penting daripada semua itu ialah habuan duniawi yang mereka dapat dengan memegang sesuatu jawatan, yang menyebabkan mustahil untuk mereka melepaskan jawatan tersebut. Jika boleh, mereka akan memegang jawatan itu sampai ke kubur. Inilah realiti politik demokrasi dan para politikus di Malaysia, dan juga di dunia Islam secara umumnya.
Isu desakan untuk meletak jawatan ini perlu difahami dengan cara yang sebaliknya iaitu ia bukanlah isu kegagalan seseorang Perdana Menteri atau mana-mana Menteri menjalankan tanggungjawab. Isunya ialah perebutan dan ketamakan kuasa orang yang mendesak dan orang yang didesak. Kegagalannya itu memang sudah jelas, namun perebutan dan ketamakan kuasa itulah yang cuba disembunyikan oleh mereka.
Kita semua tahu yang UMNO tidak berpuas hati dengan Bersatu kerana UMNO memiliki kerusi yang paling banyak di Parlimen tetapi malangnya yang menjadi Perdana Menteri ialah orang Bersatu. Di samping itu, yang tidak kurang pentingnya ialah berapa ramai daripada petinggi-petinggi UMNO yang sedang dibicarakan dengan kes rasuah dan penyelewengan yang luar biasa jumlahnya dan keseriusannya. Sifirnya cukup mudah, jika anda berkuasa, anda akan selamat, jika anda tidak berkuasa, anda akan kena.
Dalam masa yang sama, Bersatu dan PAS ingin terus mempertahankan kekuasaan dan kedudukan yang ada. Ini kerana, jika UMNO naik, sudah pasti kedudukan mereka akan terjejas. Perbalahan dan ketamakan kuasa antara Bersatu dan UMNO bukan lagi terselindung. Walaupun mereka bersatu di bawah Perikatan Nasional (dahulu), dan masih lagi berkongsi kuasa sekarang ini, namun masing-masing cuba menjatuhkan satu sama lain.
Kesemua parti pemerintah ini (Bersatu, UMNO dan PAS) adalah tidak sehaluan dan mereka hanya bekerjasama demi mengekalkan kekuasaan. Satu-satunya sebab mereka bergabung hanyalah kerana manfaat. Apabila manfaat ini sudah hilang, maka hilanglah gabungan mereka. Dengan kata lain, mereka bukannya bergabung demi kepentingan rakyat dan negara, apatah lagi demi Islam, tetapi mereka hanya bergabung demi perut dan poket masing-masing sahaja. Inilah realiti politik demokrasi, sama ada diakui atau tidak.
Di sinilah kita perlu memahami politik demokrasi yang penuh kekotoran ini. Semuanya adalah soal kekuasaan dan setiap daripada mereka sanggup melakukan apa sahaja demi kekuasaan. Apa yang kita perlu sedar ialah, siapa pun yang memerintah dalam sistem demokrasi ini, siapa pun yang menjadi Perdana Menteri dan menteri-menterinya, ia sama sahaja baik Bersatu, UMNO mahupun PAS. Keadaan tidak akan berubah, nasib rakyat tidak akan berubah dan Malaysia tidak akan berubah.
Semua orang tahu yang Bersatu lahir dari rahim UMNO, malah PAS pun dari segi sejarahnya lahir dari rahim UMNO. Kita telah melihat track record kesemua parti ini, sama sebagaimana kita melihat track record PKR, Amanah dan DAP. Walaupun tempoh pemerintahan mereka ada yang panjang dan ada yang pendek, tetapi tidak ada bezanya. Kenapa? Kerana mereka menjunjung Perlembagaan yang sama, undang-undang yang sama, dan sistem yang sama. Kesemuanya yang diwarisi daripada penjajah!
Malah dalam kebanyakan kes, terbukti pemerintah yang baru naik lebih buruk daripada pemerintah yang sebelumnya. Jadi, jika berlaku pertukaran Perdana Menteri, pertukaran menteri, atau pertukaran kerajaan sekali pun, keadaan sama sahaja, tidak akan berubah. Pemerintahannya sama-sama buruk, sama-sama menerapkan sistem sekular demokrasi, sama-sama tidak menerapkan Islam, sama-sama mementingkan diri sendiri, sama-sama tidak mempedulikan rakyat dan sama-sama mengundang azab Allah dalam pemerintahan mereka. Inilah hakikat politikus dan parti politik dalam demokrasi.
Satu-satunya jalan perubahan ialah dengan menukar sistem pemerintahan demokrasi ini dengan sistem pemerintahan Khilafah di bawah pimpinan seorang Khalifah yang beriman dan bertakwa. Inilah yang sedang diusahakan oleh Hizbut Tahrir, yang insya Allah akan dapat direalisasikan dengan lebih ringan dan cepat jika didukung oleh setiap Muslim.
Wallahu a’lam.