Adakah Hizbut Tahrir termasuk Asy’ariyyah?

(Terjemahan)

 

Kepada: Riyadh Abu Malik

 

Soalan:

 

Semoga Allah memberkati anda wahai Syeikh, dan semoga Allah memberikan kemenangan melalui tangan anda. Saya ada soalan sekiranya anda sudi menjawabnya: Adakah Hizbut Tahrir termasuk Asy’ariyyah dalam masalah akidah atau apakah Hizbut Tahrir mempunyai fahaman yang khusus dalam masalah akidah? Terima kasih.

Jawapan:

Assalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wa barakatuhu

Sebelum terus menjawab pertanyaan anda, sukalah saya menegaskan hal-hal berikut:

Pertama: Realiti Hizbut Tahrir

1- Hizbut Tahrir telah mentakrifkan dirinya sebagai berikut: [Hizbut Tahrir adalah parti politik yang mabda’ (ideologi)nya ialah Islam. Politik adalah kegiatannya, dan Islam adalah mabda’nya. Hizbut Tahrir melakukan aktiviti di tengah-tengah umat dan bersama dengan umat, agar umat menjadikan Islam sebagai agendanya dan untuk memimpin umat bagi mengembalikan Daulah Khilafah dan berhukum dengan apa yang telah Allah turunkan. Hizbut Tahrir merupakan kutlah siyasi (kelompok politik), bukan kelompok spiritual, atau kelompok akademik, atau kelompok pendidikan, atau kelompok kebajikan. Fikrah Islam adalah roh bagi tubuh Hizbut Tahrir dan ia merupakan inti serta rahsia kehidupannya]. Jadi, berdasarkan takrifan ini, Hizbut Tahrir bukanlah madrasah fikriyyah (aliran pemikiran), bukan juga firqah kalaamiyah (kelompok teologi) dan bukan pula mazhab fiqhiyyah (aliran fiqh), tetapi Hizbut Tahrir adalah parti politik yang mentabanni isu-isu umat Islam dan mempertahankannya serta berjuang untuk menegakkan Islam dalam realiti kehidupan dan menjaganya setelah berdiri…Hizbut Tahrir mengimani akidah Islamiyyah dan menilai setiap orang yang mengimani akidah Islamiyyah sebagai saudaranya:

﴿ إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ ﴾

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara” [Al-Hujurat (49): 10].

Oleh itu, Hizbut Tahrir berdiskusi dengan saudara-saudaranya dalam isu-isu khilafiah dengan cara yang baik…

2- Hizbut Tahrir mentabanni pemikiran, hukum-hukum dan pandangan-pandangan yang diperlukannya dalam rangka melakukan kegiatannya, yang terhimpun di dalam buku-buku dan penerbitan-penerbitannya…Tetapi, Hizbut Tahrir tidak membahas semua masalah dan semua idea, dan Hizbut Tahrir tidak melakukan tabanni dalam semua perkara, khususnya dalam perkara-perkara i’tiqad dan ibadah. Ini kerana, hal ini bukanlah suatu keperluan bagi Hizbut Tahrir dalam melakukan kegiatannya dalam sifatnya sebagai sebuah parti politik yang berjuang untuk membangkitkan umat dan menegakkan Daulah Khilafah, yang tegak di atas pemikiran dan perasaan umat…Sebagai contoh, Hizbut Tahrir telah mentabanni isu kemaksuman para Nabi dan Rasul, dan mentabanni isu ijtihad Nabi (saw), kerana hal ini memiliki pengaruh terhadap pemahaman tasyri’iy…tetapi Hizbut Tahrir tidak mentabanni dalam banyak masalah-masalah lainnya sebagaimana yang diharungi oleh para ulama Kalaam…

3- Hizbut Tahrir berpegang kepada kekuatan dalil, dan bukti kepada hal ini sangat ketara dalam perhatiannya yang terus menerus terhadap muraja’ah (pengulangkajian) tsaqafah-tsaqafah-nya dan apa-apa yang ditabanni-nya, dan semuanya bersandar kepada kekuatan dalil…Hizbut Tahrir melakukan pembetulan dan pengubahsuaian terhadap buku-bukunya (apabila terdapat kesilapan atau ketidaktepatan – pent.) dengan sewajarnya secara progresif. Hizbut Tahrir tidak berpegang kepada pandangan mana pun yang dalilnya terbukti lemah dan Hizbut Tahrir akan melemahkannya berbanding pandangan lainnya (yang dalilnya terbukti kuat). Malah, Hizbut Tahrir akan meninggalkan pandangan yang terbukti bagi Hizbut Tahrir akan kelemahan dalilnya dan akan mengambil pandangan yang terbukti baginya kuat (dalilnya). Hal ini amat jelas dengan melihat kepada sejumlah pembetulan dan pindaan terhadap kitab-kitabnya. Demikian juga dalam muraja’ah penuh kitab-kitabnya yang dilakukan dari semasa ke semasa…

Kedua: Sebahagian daripada kaum Muslimin menyebut aliran dan mazhab fikriyyah yang berbeza pendapat dalam pembahasan-pembahasan yang berkaitan dengan cabang akidah dan masalah-masalah kalaamiyah (teologis) dengan nama-nama tertentu seperti al-Asy’ariyyah yang dinisbahkan kepada Imam al-Asy’ariy (rahimahullah), al-Maturidiyyah yang dinisbahkan kepada Imam al-Maturidi (rahimahullah), as-Salafiyyah dan lain-lainnya…Mereka menyebut pandangan-pandangan Imam ini dengan lafaz “akidah” di mana mereka menyebutnya sebagai: al-Aqidah al-Asy’ariyyah, al-Aqidah al-Maturidiyyah, al-Aqidah as-Salafiyyah dan seumpamanya. Bahkan mereka menyebut perkataan-perkataan ulama tertentu dan kitab-kitab mereka sebagai akidah. Mereka menyebut: al-Aqidah ath-Thahawiyah apabila mengaitkannya dengan Imam ath-Thahawi (rahimahullah); mereka menyebut al-Aqidah al-Wasithiyyah apabila merujuk kepada surat yang ditulis oleh Imam Ibnu Taimiyah (rahimahullah) kepada penduduk Wasith…dsb.

Apa yang benar ialah, penyebutan lafaz “akidah” terhadap semua itu sesungguhnya laisa daqiiian (tidak tepat) dan tidak kena pada tempatnya, serta menimbulkan kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Ini kerana, kedudukan mazhab-mazhab terhadap masalah-masalah yang berkaitan dengan pembahasan-pembahasan bersifat akidah atau keyakinan (aqadiyyah), itu bukan-lah akidah. Tetapi (yang dikatakan) akidah itu hanyalah al-Aqidah al-Islamiyah yang ditetapkan di dalam syarak dengan dalil-dalil qath’iy, dan tidak boleh ada perbezaan pendapat (ikhtilaf) di dalamnya…Atas dasar itu, tidak ada yang dinamakan sebagai al-Aqidah al-Asy’ariyyah atau al-Aqidah as-Salafiyyah atau al-Aqidah ath-Thahawiyah. Apa yang ada hanyalah al-Aqidah al-Islamiyah, sebuah akidah yang mempersatukan seluruh kaum Muslimin di mana sahaja, dengan perbezaan mazhab dan pandangan mereka. Terdapat perbezaan pandangan antara mazhab dan aliran-aliran pemikiran seperti al-Asy’ariyah, al-Maturidiyah, as-Salafiyah dan lain-lainnya dalam pembahasan berkaitan perkara-perkara cabang, tetapi bukannya pada al-Aqidah al-Islamiyah. Setiap kelompok memiliki pandangannya sendiri yang tidak mengeluarkan mereka daripada akidah Islam.

Ketiga: Manhaj yang ditempuh oleh Hizbut Tahrir dalam mentabanni fikrah, hukum-hukum dan pandangan-pandangan, adalah mengambil pandangan berdasarkan kepada quwwatu ad-daliil (kekuatan dalil) sama ada berupa dalil aqliy atau dalil naqliy, tanpa menoleh lagi kepada siapa yang mengatakannya. Oleh kerana itu, Hizbut Tahrir telah mentabanni dalam sebahagian masalah cabang akidah, beberapa perkara yang dikatakan oleh al-Asy’ariyah, dan mentabanni perkara-perkara lainnya yang dikatakan oleh selain al-Asy’ariyah…Dan dalam masalah-masalah syariat, Hizbut Tahrir mengambil pandangan daripada mazhab-mazhab fiqhiyah yang masyhur dan daripada yang lainnya tanpa terikat dengan mazhab tertentu…Atas dasar itu, tidak boleh dikatakan tentang Hizbut Tahrir bahawa ia adalah Syafi’iy atau Hanafi misalnya; dan juga tidak boleh dikatakan tentang Hizbut Tahrir bahawa ia adalah Asy’ariy atau Salafiy; tetapi Hizbut Tahrir adalah parti politik yang mabda’nya ialah Islam, dan Hizb mengambil pandangan-pandangan berdasarkan kekuatan dalil sesuai manhaj yang ditabanninya di dalam buku-bukunya tanpa memperhatikan lagi siapakah yang mengatakannya. Oleh itu, dalam pendapat-pendapat Hizb, terdapat sebahagian perkara yang dikatakan oleh al-Asy’ariyah, sebahagian yang dikatakan oleh as-Salafiyah, dan sebahagian yang dikatakan oleh aliran lainnya. Semua itu berdasarkan kekuatan dalil, bukan sebagai keterikatan dengan pandangan-pandangan salah satu aliran dan mengikutinya dalam manhaj, idea atau pandangannya. Hizb tidak mengiktiraf perbezaan yang terjadi (dalam masalah akidah – pent) di antara kaum Muslimin di masa lalu. Ini kerana Hizb menilai kaum Muslimin sebagai umat yang satu di sebalik perbezaan mazhab dan aliran mereka, dan Hizb menyeru mereka untuk memenuhi seruan Hizb dan berjuang bersama Hizb untuk tegaknya Islam, mengembang dakwah dan penyatuan umat Islam di bawah panji al-Khilafah al-Islamiyyah.

 

Saya berharap jawapan ini mencukupi.

 

Wallahu a’lam wa ahkam.

 

Saudaramu,

Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah

17 Zulhijjah 1442 H

27 Julai 2021 M

 

http://www.hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer-hizb/ameer-cmo-site/76834.html

https://web.facebook.com/HT.AtaabuAlrashtah/posts/2980373385541999