Meneladani Rasul sebagai negarawan ulung
BANGI 19 Oktober – Umat Islam tidak akan bangkit dan kembali mulia selagi tidak menjadikan Rasulullah (saw) sebagai teladan dan ikutan dalam semua aspek kehidupan merangkumi politik, ekonomi, pergaulan, uqubat, jihad dan lain-lain, kata Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman dalam FB Live HTM yang bertajuk “Meneladani Rasul Menjadi Negarawan” semalam.
Menurut Abdul Hakim, generasi terdahulu telah menjadikan Rasulullah (saw) sebagai teladan dalam segenap aspek dan umat Islam hidup dalam kesejahteraan dan kegemilangan sejak berdirinya Daulah Islam di Madinah sehingga era kemorosotan dan jatuhnya Khilafah pada 3 Mac 1924.
Menjawab persoalan kenapa umat Islam sekarang ini lemah, beliau berkata, “Sebenarnya dunia umat Islam mempunyai kekuatan sumber manusia dan sumber alam yang melimpah ruah, tetapi penguasalah yang menjadikan umat Islam kelihatan lemah kerana kezaliman dan pengkhianatan mereka tidak menggerakkan tentera untuk menyelamatkan umat Islam yang tertindas dan membebaskan negeri-negeri umat Islam yang terjajah.
Rata-rata penguasa ini merupakan ejen Barat, selain terdapat kesilapan juga pada sebahagian umat Islam yang berpegang kepada assabiyyah dan wathaniyyah, yang menyebabkan negara umat Islam terpecah belah kepada lebih 50 buah negara sejak runtuhnya Khilafah, tegas beliau.
Ustaz Umar Hussein sebagai salah seorang panel menghuraikan bagaimana umat Islam dahulu di sepanjang sejarahnya tidak pernah ketandusan negarawan ulung selain Rasulullah (saw) sendiri, seperti Abu Bakar, Umar bin Abdul Aziz, Sultan Muhammad al-Fateh, Sultan Abdul Hamid II dan ramai lagi.
Ditanya apakah sunah Rasulullah (saw) yang utama, beliau berpendapat bahawa menegakkan pemerintahan adalah sunah yang utama kerana dengan tegaknya pemerintahan, keseluruhan hukum Allah (swt) dapat ditegakkan.
Terdahulu beliau menjelaskan bagaimana Malaysia sedang bergolak dengan ketidakstabilan politik kerana politik yang diamalkan sekarang tidak berlandaskan kepada Islam. “Akibat politik kotor, kita telah bertukar tiga perdana menteri dalam tempoh tiga tahun, termasuklah krisis politik yang berlaku di Sabah dan terkini di Melaka” jelas beliau.
Sedangkan kita melihat bagaimana formula politik Rasulullah (saw) yang mempersatukan kaum Aus dan Khazraj dan seterusnya mempersaudarakan mereka (Ansar) dengan Muhajirin atas asas akidah Islam, ujar beliau.
Sementara seorang lagi ahli panel, Mua’dz Abu Thalhah menerangkan yang tidak ada seorang pun penguasa umat Islam sekarang ini yang layak bergelar negarawan kerana tidak memenuhi ciri-cirinya, dengan memetik kitab Afkaru Siyasiyyah karangan Syeikh Abdul Qadim Zallum sebagai rujukan.
FB Live yang berlangsung selama dua jam tersebut boleh ditonton rakamannya di Youtube.