SN 572 – Meneladani Rasul Menjadi Negarawan

SN572

15 Oktober 2021 M / 8 Rabiul Awal 1443 H

 

Saban tahun umat Islam tidak pernah terlepas untuk memperingati dan meraikan maulid (tarikh kelahiran) Nabi Muhammad (saw) yang jatuh pada 12 Rabiul Awal. Selain tarikh keramat maulid Nabi (saw), 12 Rabiul Awal juga tercatat dalam sejarah sebagai tarikh tibanya Rasulullah (saw) di Madinah setelah melalui perjalanan Hijrah yang penuh berliku, yang sekali gus menandakan maulid-nya Daulah Islamiyyah (secara de facto) yang pertama di dunia. Pada tanggal yang sama, kekasih Allah (swt) ini telah kembali ke sisi-Nya, dan diganti oleh Abu Bakar as-Siddiq (ra) sebagai Khalifah, yang sekali gus bermaksud maulid-nya Daulah Khilafah sebagai kesinambungan daripada Daulah Islamiyyah yang didirikan oleh baginda. Inilah antara tiga peristiwa besar yang terjadi pada tanggal 12 Rabiul Awal di mana peristiwa kedua dan ketiga tidak seharusnya dilupakan oleh umat Islam kerana ia mengandungi tuntutan syarak untuk kita mengikuti jejak langkah Rasulullah (saw) dan para Sahabat (ra) dalam mendirikan semula Daulah Islamiyyah, setelah ia diruntuhkan oleh Mustafa Kamal secara rasminya pada 28 Rajab 1342 H (3 Mac 1924).

Umat Islam perlu sedar bahawa Rasulullah (saw) adalah suri teladan bagi kita dalam semua aspek, bukan hanya dalam aspek ibadah atau perkara-perkara sunat sahaja. Baginda merupakan suri teladan yang wajib kita ikuti dalam hal rumahtangga, kejiranan, kemasyarakatan dan juga kenegaraan. Baginda adalah suri teladan bagi kita dalam aspek politik, ekonomi, pergaulan, pendidikan, uqubat (hukuman), pemerintahan, hubungan luar negara, jihad dan sebagainya. Inilah satu-satunya sosok yang wajib diikuti, dan mengingkari atau membelakanginya adalah haram dan dosa, malah boleh membawa kepada kerosakan akidah. Sosok tubuh ini bukan sahaja seorang Nabi dan Rasul, malah merupakan seorang ketua negara sekali gus negarawan terulung dalam sejarah peradaban manusia. Peribadi baginda sebagai seorang negarawan seharusnya diikuti oleh setiap umatnya, apatah lagi bagi mereka yang berjuang untuk menegakkan Daulah Islam, kerana penegakan Daulah Islam memerlukan seseorang itu bukan sahaja menanam cita-cita dan berusaha untuk mendirikannya, tetapi memerlukan seseorang itu menjadikan diri mereka sebagai negarawan, baik sebelum mahupun sesudah berdirinya Daulah Islam.

Siapakah Negarawan?

Kebanyakan orang beranggapan bahawa negarawan adalah penguasa atau orang-orang yang memerintah sesebuah negara, sehingga mereka memberikan jolokan tersebut kepada ketua negara atau yang orang yang setanding dengannya. Mereka tidak memberikan jolokan tersebut kepada orang lain yang tidak berjawatan. Pemahaman mengenai negarawan seperti ini merupakan pemahaman yang tidak benar. Ketua negara atau penguasa boleh sahaja menjadi seorang negarawan dan boleh sahaja tidak. Sebaliknya orang biasa boleh sahaja menjadi seorang negarawan meskipun ia tidak menjawat apa-apa jawatan atau melaksanakan tugas-tugas pemerintahan. Boleh sahaja seorang petani, buruh, peniaga, mekanik, pekerja kilang, guru atau seorang pelajar menjadi seorang negarawan.

Negarawan merupakan seorang ahli siasah (politik) yang kreatif dan inovatif. Ia adalah seorang yang mempunyai mentaliti kepimpinan dan mampu mengatur urusan kenegaraan, mengendalikan permasalahan serta menyelesaikan urusan peribadi dan urusan-urusan lainnya melalui mentaliti berfikir kepimpinan. Inilah ciri-ciri seorang negarawan yang sejati. Ia boleh sahaja berada di tengah-tengah masyarakat tanpa memiliki apa-apa jawatan atau kedudukan dalam negara serta tidak melakukan apa-apa tugas-tugas pemerintahan.

Contoh yang jelas boleh dilihat ialah ketika berdirinya Daulah Islamiyyah pada tahun pertama Hijriyyah lagi, di mana di tengah-tengah kaum Muslimin terdapat ramai tokoh yang mempunyai mentaliti negarawan. Hal ini berlangsung sehingga lebih enam abad iaitu sampai penghujung Khilafah Abasiyyah. Keberadaan individu-individu yang bermentaliti negarawan ini terus berlangsung sampai pertengahan abad ke-18 walaupun jumlah mereka semakin berkurangan. Setelah jatuhnya Khilafah, jumlah mereka menjadi teramat sedikit, dan lebih malang apabila Daulah Khilafah sebagai tempat tumbuh dan berkembangnya para negarawan tersebut sudah tidak lagi ada. Dengan lenyapnya Khilafah, lenyaplah institusi yang melahirkan mereka yang bermentaliti negarawan sehingga tidak lagi mudah untuk menemui sosok negarawan di tengah-tengah umat.

Di dalam kitab Afkaru Siyasiyyah, Syeikh Abdul Qadim Zallum menggariskan syarat-syarat bagi tumbuh dan berkembangnya orang-orang yang bermentaliti negarawan yang dapat dikelompokkan kepada tiga hal iaitu:

  • Ia harus memiliki sudut pandang tertentu dalam kehidupannya (pandangan hidupnya) berupa fikrah kulliyyah (pemikiran yang menyeluruh);
  • Ia harus memiliki sudut pandang tertentu yang dapat tercapainya kebahagiaan hakiki dalam realiti kehidupan;
  • Ia harus menganut suatu hadharah (peradaban) tertentu yang mampu mengangkat manusia kepada keadaan yang luhur, kepada corak kehidupan yang tertinggi serta aspek pemikiran yang tertinggi, dipadukan dengan nilai-nilai yang luhur dan ketenteraman yang abadi.

Bagi kaum Muslimin, ketiga pensyaratan tersebut cukup banyak tersedia dalam kitab-kitab mahupun benak para ulama. Kaum Muslimin hanya perlu menterjemahkannya ke dalam seluruh aspek kehidupan secara praktis. Orang yang mampu memindahkan kitab-kitab dan pemikiran para ulama tersebut ke dalam realiti kehidupan, layak digelar sebagai negarawan. Hal ini sesuai dengan hakikat bahawa negarawan adalah ahli siasah yang kreatif dan inovatif. Terealisasinya pemikiran politik dalam kehidupan memerlukan sebuah kepimpinan politik. Banyak mana sekalipun pemikiran politik dalam kitab-kitab dan pemikiran para ulama, tidak akan bermakna tanpa adanya kepimpinan politik yang menerapkannya secara praktis dalam kehidupan. Justeru, agar suatu kepimpinan politik terwujud di tengah-tengah umat, diperlukan seseorang yang memahami secara kreatif pelbagai pemikiran politik tersebut dan melaksanakannya tanpa kemunafikan.

Sesungguhnya umat Islam mempunyai fikrah kulliyyah mengenai manusia, kehidupan serta alam semesta yang mana pemikiran inilah yang telah membentuk akidah yang kuat dan menjadikan umat Islam memiliki sudut pandang yang khas tentang kehidupan, yang berbeza dengan umat lainnya, yang dapat merealisasikan kebahagiaan umat Islam di dunia dan akhirat. Umat Islam juga mempunyai hadharah yang unik, yang dapat mengangkat mereka ke darjat kehidupan yang paling tinggi dan hidup dalam tingkat pemikiran yang paling luhur. Malangnya pada waktu ini, meskipun umat Islam memiliki semua potensi di atas, tetapi mereka tidak mengaplikasikannya dalam realiti kehidupan. Maka, semua potensi tadi menjadi sekadar pemikiran falsafah yang tersimpan dalam kitab-kitab dan benak pemikiran, hatta pada para ulama sekali pun.

Oleh kerana umat tidak lagi menerapkan pemikiran-pemikiran tersebut dalam kehidupan, maka tempat tumbuh dan berkembangnya para negarawan sudah tidak ada lagi, sehingga sangat wajar bila orang-orang dengan bermentaliti negarawan sangat sukar ditemui. Bagaimana mungkin kaum Muslimin boleh memiliki sikap atau ciri-ciri kepimpinan politik bila mereka tidak pernah diberi konsep-konsep kepimpinan dan pemikiran-pemikiran politik? Bagaimana mungkin kaum Muslimin boleh bersikap kreatif jika mereka hanya hidup dan berusaha mendapatkan manfaat untuk kepentingan dirinya sendiri dan tidak memikirkan kepentingan umat secara keseluruhannya? Bagaimana mungkin ia boleh memiliki mentaliti negarawan jika ia hanya menjadi pengekor dan tunduk kepada negara-negara Barat, dan tidak pernah berusaha untuk bersaing atau menentang pemikiran dan hegemoni Barat?

Mewujudkan Kembali Negarawan

Agar kaum Muslimin dapat kembali bangkit dan menguasai bangsa-bangsa serta negara-negara di dunia, mereka harus mencari jalan untuk menghasilkan semula para negarawan dan meningkatkan jumlah mereka dari semasa ke semasa. Hal ini tidak akan dapat dicapai tanpa membina mereka dengan tsaqafah politik yang berlandaskan akidah Islam, yang merupakan fikrah kulliyyah tentang manusia, kehidupan dan alam semesta. Bila tsaqafah ini tersebar luas dalam kalangan kaum Muslimin dan terwujud dalam kehidupan mereka, maka tempat tumbuh para negarawan itu akan kembali tercipta. Dari sini, akan muncul dan berkembangnya para negarawan baru, yang mampu membawa umat kepada kebangkitannya yang hakiki dan mampu menghasilkan perubahan kepada dunia, sebagaimana Islam telah merubah dunia buat kali pertamanya di zaman Rasulullah (saw) dan para Sahabat.

Fikrah kulliyyah yang dimiliki oleh umat Islam menjadikan umat Islam berbeza dengan bangsa lainnya, dan menjadikan umat Islam tahu tujuan hidupnya – untuk apakah ia dihidupkan, dari mana ia berasal dan ke manakah ia akan berakhir. Dengan memahami tujuan hidup sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam, akan pasti membangkitkan setiap orang kerana ia tahu apakah yang ia perlu lakukan di dunia ini, untuk ia seterusnya mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Atas dasar itu, siapa pun dalam kalangan umat Islam yang sedar tujuan penciptaannya, apa yang ada sebelum dan juga sesudah kehidupan, maka ia akan menjadi manusia yang hebat yang secara automatik akan menjadikannya seorang pemikir dan seorang yang mempunyai pemikiran (mentaliti) negarawan. Dalam menjalani kehidupan, ia akan bergerak dan menggerakkan umat ke arah yang dikehendaki oleh Allah (swt), walaupun ia tidak mempunyai sebarang kuasa atau jawatan atau harta. Malah ia tidak memerlukan semua itu untuk ia melaksanakan semua perintah dan meraih redha Tuhannya. Ia adalah seorang negarawan walaupun tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam negara, tidak pernah terlibat atau menang dalam pilihan raya dan tidak pernah memiliki kekayaan atau kemewahan.

Apa yang penting ialah, ia merupakan seorang yang sentiasa berfikir tentang permasalahan umat Islam di sekitarnya, di dalam dan luar negeri, dan ia berusaha menyelesaikannya dengan mentaliti kepimpinan sebagai seorang ahli siasah. Seseorang itu lebih layak lagi bergelar negarawan jika ia berusaha untuk sampai kepada kekuasaan (pemerintahan) dalam rangka menerapkan hukum Allah (swt) sepenuhnya. Kita dapat melihat sosok seumpama ini sekarang di beberapa negara, baik di negara kaum Muslimin mahupun di negara kuffar, yang mana mereka berusaha mengambil alih kepimpinan umat dan negara, dengan bergerak dalam sebuah kelompok yang berpengaruh sehingga mampu menggegarkan kerusi pemerintah dengan pemikiran dan aktiviti mereka. Dengan izin Allah (swt) mereka pasti berjaya meraih kendali pemerintahan, sebagaimana Rasulullah (saw) berjaya meraih pemerintahan, dan seterusnya menerapkan Islam dan menjadikan Islam sebagai super power dunia.

Ketika kaum Muslimin menerapkan Islam sepenuhnya dan membangun bersama Islam, mereka menghasilkan ribuan negarawan. Beberapa sosok di antara mereka memegang kendali pemerintahan seperti Umar al-Khattab, Ali bin Abi Talib, al-Mu’tasim, Sallahuddin al-Ayubi dan Muhammad al-Fatih, manakala ramai juga di antara mereka yang tetap seperti orang biasa tanpa memiliki jawatan pemerintahan seperti Ibnu Abbas, al-Ahnaf bin Qays, Ahmad bin Hanbal, Ibnu Taimiyah dan ramai lagi. Mereka semua merupakan hasil tempaan akidah Islamiyyah, merupakan ahli siasah, taat kepada Allah (swt) dalam segala peraturannya, serta tidak pernah lekang daripada memikirkan kepentingan umat Islam serta melaksanakan kewajipan mereka atas seluruh umat di samping menyampaikan seruan Islam kepada seluruh manusia.

Khatimah

Sesungguhnya umat ini memerlukan negarawan yang bukan sahaja akan memimpin mereka untuk memimpin negara dan dunia, malah yang akan sentiasa memandu mereka ke jalan yang benar, jalan yang diredhai oleh Allah (swt) khususnya dalam politik dan pemerintahan. Kita meyakini apabila tegaknya Daulah Khilafah sedikit masa lagi, ramai negarawan yang akan muncul dalam dunia Islam, yang akan mengembalikan kegemilangan Islam sebagaimana dahulunya. Namun demikian, kita juga tetap memerlukan negarawan dalam keadaan sekarang, yang akan memimpin umat ini ke arah penegakan kembali Khilafah untuk kali yang kedua. Dalam konteks ini, siapa lagi negarawan terulung yang wajib kita contohi dan ikuti jejak langkahnya jika bukan Rasulullah (saw)?

Wallahu a’lam.

 

Download PDF