Dr. M, Abdullah, Keng Yaik negarawan

KUALA LUMPUR 29 Julai – Jasa dan sumbangan tiga negarawan iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Lim Keng Yaik kepada negara tidak ternilai harganya dan sukar dibalas.  Bakti Dr. Mahathir dan Abdullah yang merupakan bekas Perdana Menteri dan Keng Yaik sebagai bekas menteri Kabinet sememangnya sentiasa dikenang.  Untuk itu, Yayasan Patriotik Bangsa mengambil inisiatif untuk menghargai ketiga-tiga negarawan itu dengan menganugerahkan mereka Tokoh Patriotik Bangsa pada satu majlis yang diadakan malam ini.  Anugerah yang pertama kali diadakan itu menobatkan Dr. Mahathir sebagai penerima Anugerah Khas Patriotik Bangsa.  Abdullah akan menerima anugerah tersebut pada majlis khas lain.   Sementara itu, Keng Yaik yang merupakan Penasihat Parti Gerakan menerima Anugerah Tokoh Pembaharuan melalui wakilnya Bendahari Parti Gerakan, Datuk Ng Chiang Chin.  Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim ketika berucap pada majlis itu berkata, generasi hari ini kurang mengenali tokoh negara yang telah banyak memberi sumbangan kepada negara.  “Dengan adanya usaha seperti yang dilakukan yayasan ini, ia dapat memberi inspirasi kepada golongan muda hari ini mengenai apa yang telah dilakukan tokoh-tokoh negara sebelum ini,” katanya.   Pengerusi Yayasan Patriotik Bangsa, Datuk Che Yazid Othman dalam ucapannya pula berkata, anugerah tersebut kali pertama diadakan bagi mengiktiraf tokoh dan rakyat Malaysia yang banyak berjasa kepada negara.  “Mereka ini dipilih sebagai contoh kepada masyarakat. Jasa dan sumbangan mereka tiada tandingan dan ia tidak boleh dilupakan,” ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia 29/7/2009

Apakah Jasa Dr M Dan Pak Lah?

Ya Dr M, Abdullah, Keng Yeik adalah tiga tokoh negara yang banyak memberikan sumbangan mereka kepada negara. Daripada ketiga-tiga orang itu Dr M dan Pak Lah lah yang paling banyak menyumbangkan jasa mereka kepada negara. Apakah jasa-jasa besar mereka berdua itu? Yang paling pastinya adalah mereka berdua iaitu Dr M dan Pak Lah adalah merupakan tokoh besar negara yang melangsungkan dan yang menerapkan sistem sekular Kapitalisme dan mengenepikan sistem Islam. Selaku pemimpin Islam yang pernah memerintah Malaysia mereka tanpa rasa bersalah dan tanpa rasa takut kepada Allah SWT telah menerapkan sistem kufur yang ditinggalkan oleh penjajah. Ketika mereka berkuasa nampaknya kedua-duanya tidak merasa gentar dengan ancaman Allah SWT.

“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang  kafir.
[TMQ Al Maa-idah (5) : 44].

“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang zalim. [TMQ Al Maa-idah (5) : 45].

“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang fasik. [TMQ Al Maa-idah (5) : 47]. 

Mereka berdua telah menjadi sebahagian dari mata rantai penerus sistem sekular Kapitalisme yang ada pada hari ini. Wahai Dr M dan Pak Lah! Ketahuilah bahawa jawatan yang telah engkau berdua duduki selama ini akan pasti dipersoalkan oleh Allah SWT. Ingatlah sabda Rasulullah SAW

“ Sesungguhnya kamu akan bercita-cita untuk dapat memegang suatu jawatan. Padahal pada hari kiamat nanti jawatan itu akan menjadi suatu penyesalan”
[HR al-Bukhari, an-Nasa’i dan Ahmad].

Justeru itu masih ada peluang bagi kamu berdua untuk menebuskan segala kesilapan dan kesalahan kamu di masa lampau yang tidak menerapkan Islam ketika kamu berkuasa dengan kamu saat ini memilih perjuangan untuk bersama dengan Islam. Anwar Sadat telah pergi. Saddam telah pergi. Suharto sudah pergi. Assad sudah pergi. Ramai lagi yang seangkatan dan yang sefikrah dengan mereka telah pergi. Kamu berdua masih ada peluang. Renungilah firman Allah SWT “

Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dialah Yang Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
[TMQ Al Mulk (67) :2].