Inikah track record yang dikatakan cemerlang?
Barisan Nasional (BN) disifatkan gabungan parti terbaik masa kini kerana mempunyai pengalaman yang luas dan ‘track record’ cemerlang sejak 62 tahun lalu, kata Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dipetik portal Melaka Hari Ini pada 10 November lalu.
Apakah sebenarnya ukuran kecemerlangan yang digunakan oleh Tok Mat? Semenjak kejatuhan pada PRU-14 lalu, pelbagai krisis dan skandal daripada sekecil-kecil penyalahgunaan kuasa dalam kerajaan sehinggalah sebesar-besar skandal 1MDB telah didedahkan satu per satu.
Selain itu, selama lebih 60 tahun berkuasa, UMNO yang merupakan tunjang kepada BN juga mengalami krisis serta perpecahan dalam kalangan mereka. Pada tahun 1988 kita menyaksikan pengisytiharan UMNO Baru oleh Dr. Mahathir dan kemudiannya membawa kepada penubuhan Parti Semangat 46 oleh Tengku Razaleigh.
Setelah itu pada tahun 1999 Parti Keadilan Nasional (PKR) telah ditubuhkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Anwar Ibrahim setelah penyingkirannya. Kemudian pada 2016 kita telah melihat kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) yang ditubuhkan oleh Dr. Mahathir bersama Mahiaddin Yassin yang telah keluar UMNO pada ketika itu. Kesemua peristiwa ini menunjukan track rekod UMNO yang seringkali dirundung perpecahan dan pertelingkahan akibat skandal serta perebutan kuasa.
Jika ditinjau dari aspek ekonomi pula, tidak banyak yang dapat dibanggakan dari sudut pencapaiannya. Walaupun terdapat perkembangan ekonomi pada lewat tahun 80-an sehingga awal tahun 2000 tetapi tidaklah menjadikan negara ini sebagai kuasa ekonomi di Asia atau sekurang-kurangnya di Asia Tenggara.
Kemajuan yang dilaksanakan menatijahkan kesenjangan ekonomi yang semakin melebar akibat pelaksanaan polisi-polisi yang hanya menguntungkan elit-elit politik serta golongan pemodal yang melingkari mereka. Isu nepotisme, kronisme, korupsi, jurang sosial ekonomi yang semakin membesar, hutang negara yang semakin bertambah, kejatuhan mata wang Ringgit antara perkara yang mewarnai rekod BN sewaktu pemerintahan terdahulu.
Di samping itu, isu-isu sosio-ekonomi seperti pengangguran, pembangunan kemudahan awam yang tidak seimbang dengan pertumbuhan penduduk seperti pembinaan sekolah, universiti, hospital dan jaringan pengangkutan yang tidak setara dengan pembangunan, sentimen perkauman yang diapi-apikan oleh segelintir pihak, semua masalah tidak pernah berjaya diselesaikan oleh UMNO-BN. Apakah ini rekod ‘pencapaian’ kerajaan yang diterajui BN yang dimaksudkan oleh Tok Mat?.
Tiada Penerapan Islam
Jika ditelusuri tempoh selama 62 tahun track record yang dikatakan cemerlang ini, tiada satu pun yang menjurus kepada penerapan Islam secara kaffah dalam kenegaraan. Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan oleh Suruhanjaya Reid yang dibentuk 65 tahun dahulu masih dipegang dan “disucikan” lebih daripada Kitab suci Al-Quran yang menjadi sumber akidah umat Islam. Siapa sahaja melanggar Perlembagaan akan dianggap salah, tetapi melanggar Al-Quran tidak mengapa.
Terdapat banyak dalil yang bertebaran dalam Al-Quran dan As-Sunnah yang menyeru supaya memutuskan perkara dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan larangan mengikut hawa nafsu kaum kafir (lihat Al-Ma’idah (5): 48,49), kewajipan mentaati Allah dan Rasulnya dan mengembalikan semua perkara diperselisihkan kepada keduanya (lihat An-Nisa’ (4): 59), celaan terhadap orang yang berpegang kepada hukum thaghut (lihat An-Nisa’ (4): 60) dan banyak lagi ayat lainnya. Semua ayat ini “dilanggar” begitu sahaja oleh UMNO.
Kegagalan utama UMNO-BN ialah menerapkan hukum Allah secara kaffah walaupun telah berkuasa selama lebih 60 tahun. Namun, oleh kerana UMNO-BN memang tidak tahu malu, kegagalannya selama lebih 60 tahun itu dianggapnya sebagai kejayaan yang cemerlang!