SN579 – Kenaikan Harga: Masalah Dan Solusi
SN579
10 Disember 2021 M / 06 Jamadil Awal 1443 H
Belum pun reda masalah ekonomi yang menimpa rakyat akibat polisi-polisi kerajaan di kala pandemik, kini rakyat terpaksa berhadapan pula dengan masalah kenaikan harga barang makanan. Harga beberapa jenis sayur naik mendadak sehingga menimbulkan kegelisahan orang ramai apatah lagi yang berpendapatan rendah. Sebelum itu, harga ayam dan telur turut meningkat, dan sebelumnya lagi harga minyak masak naik dengan drastik. Bukan hanya pengguna, malah penjual juga turut merungut dengan kenaikan ini, kerana mereka juga turut terkesan dan terpaksa menaikkan harga bagi menampung kos. Terdapat beberapa sebab yang dikatakan menjadi punca kepada kenaikan mendadak ini, walaupun tidak dipersetujui atau dinafikan pula oleh pihak yang lain. Ada yang menyatakan ia disebabkan oleh kartel, ada yang menyalahkan orang tengah dan ada juga yang menyatakan kerana rantaian bekalan yang terlalu banyak. Seperti biasa, masalah penawaran dan permintaan (supply and demand) turut dikatakan menjadi punca utama.
Isu kartel memang hangat diperkatakan sehingga peranan kartel dikatakan jauh lebih besar berbanding orang tengah dalam mempengaruhi kenaikan harga barangan. Modus operandi kartel mudah sahaja iaitu mereka akan membawa masuk produk pertanian dan penternakan dari luar negara dengan harga biasa tetapi menjual semula kepada pemborong mahupun peniaga dengan harga berlipat kali ganda. Maka harga akan automatik melambung. Dalam pada itu, kita tidak menafikan bahawa penglibatan orang tengah memang boleh menaikkan harga, namun hal ini perlu dilihat dengan lebih mendalam. Ini kerana orang tengah memang telah lama wujud dalam rantaian bekalan di Malaysia, namun pada banyak masa harga tetap stabil. Suatu waktu dahulu kerajaan pernah mengisytiharkan “jihad” melawan orang tengah, namun ternyata ia hanyalah usaha yang hangat-hangat tahi ayam. Kerajaan juga telah memperkenalkan konsep e-dagang untuk mengatasi masalah ini yang mana realitinya masih jauh daripada kejayaan.
Menyelesaikan Masalah Daripada Punca
Ada pun mengenai kewujudan orang tengah atau kartel, jika ternyata mereka telah membentuk satu kesepakatan untuk membolehkan mereka mengendalikan harga, maka hal ini termasuk dalam keharaman. Ini berdasarkan sabda Rasulullah (saw):
“Siapa sahaja yang masuk campur atas harga-harga kaum Muslimin untuk menaikkan harga atas mereka, maka adalah hak Allah untuk mendudukkannya di tempat duduk dari api pada hari kiamat” [HR Ahmad, al-Baihaqi dan ath-Thabrani].
Justeru, apa jua bentuk kesepakatan, perkumpulan atau kartel tersebut mesti dihapuskan kerana ia telah menjadi wasilah (jalan) kepada keharaman. Negara wajib mencegah dan mengambil tindakan, termasuk mengenakan ta’zir ke atas siapa pun yang terlibat.
Ada pun mengenai kewujudan rantaian bekalan makanan yang agak banyak, bermula daripada pengeluar (petani, penternak, nelayan dan sebagainya), peraih atau orang tengah, pemborong, pembekal dan peruncit barulah sampai kepada pengguna, hal ini sebenarnya tidak menjadi masalah selagi akad-akad di antara mereka adalah syarie, dan tidak ada unsur eksploitasi, penimbunan, monopoli atau lain-lain keharaman sehingga boleh membawa kepada kenaikan harga. Rantaian ini telah pun lama wujud dalam sektor ekonomi dan tidak menjadi masalah selama mana ia berjalan secara alami dan tidak ada apa-apa unsur “sabotaj” di dalamnya.
Perlu difahami bahawa naik turun harga di pasaran adalah suatu yang normal dan tiada apa-apa masalah dengannya. Apa yang menjadi masalah ialah apabila harga naik melambung melebihi harga pasar, atau jatuh merudum daripada harga pasar. Maka di sinilah pemerintah perlu masuk campur agar harganya kembali stabil dan kebajikan semua pihak, baik pembeli mahupun penjual terjaga. Apabila harga pasar terganggu, maka pemerintah wajib mencari punca dan menyelesaikannya.
Dalam apa jua keadaan, pemerintah sama sekali tidak boleh menetapkan harga, baik harga siling atau harga lantai. Penetapan harga (tas’ir) merupakan suatu keharaman dalam Islam. Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadis dari Anas,
“Harga (suatu masa) pada zaman Rasulullah telah naik. Lalu mereka melaporkan, ‘Wahai Rasulullah, andainya harga ini engkau tetapkan (supaya tidak naik). Baginda menjawab, ‘Sesungguhnya Allah Maha Mencipta, Maha Menggenggam, Maha Melapangkan, Maha Memberi Rezeki lagi Maha menentukan harga. Aku ingin menghadap ke hadirat Allah, dengan tidak ada seorang pun yang menuntutku kerana kezaliman yang aku lakukan kepadanya dalam masalah harta dan darah.”
Terdapat beberapa lagi hadis lain yang senada dengannya di mana Rasulullah (saw) dengan tegas tidak mahu menetapkan harga walaupun diminta berbuat demikian, dan baginda menjelaskan bahawa hal itu (penetapan harga) merupakan sebuah kezaliman. Tanpa menetapkan harga, sebenarnya terdapat banyak langkah lain yang boleh diambil oleh kerajaan dalam rangka untuk mengembalikan kestabilan harga. Namun malangnya dalam sistem ekonomi kapitalis pada hari ini, kerajaan sering menetapkan harga atas alasan melindungi kepentingan pengguna, padahal kerajaan juga wajib menjaga kepentingan peruncit, penjual dan kesemua pihak.
Sekiranya kenaikan harga berlaku akibat masalah kekurangan penawaran, maka untuk jangka pendek, pemerintah mesti mendatangkan barangan dari luar sehingga penawaran kembali seperti biasa dan harga secara automatik akan turun. Hal seperti ini pernah dilakukan oleh Khalifah Umar bin al-Khattab ketika harga barangan tengah melambung di Hijaz dan terjadinya kebuluran. Umar lalu mendatangkan bahan makanan dan barangan lainnya dari Syam, Iraq dan Mesir sehingga masalah kenaikan harga berjaya diatasi, tanpa perlu menetapkannya.
Kebergantungan Kepada Import
Krisis kekurangan penawaran mahu pun kenaikan harga memang tidak dapat dipisahkan dengan persoalan import. Apabila barangan permintaan tidak ada atau tidak mencukupi dalam negara, maka berlakulah import. Hal ini merupakan suatu yang lumrah. Namun masalah akan wujud apabila negara terlalu banyak bergantung kepada barangan import, khususnya barangan makanan atau keperluan harian.
Pemberian AP kepada kroni dan ketidaksungguhan menghasilkan barangan keperluan domestik sendiri, boleh menjadi punca kepada melambungnya harga. Sudah menjadi rahsia umum bahawa pemberian AP tidak dapat dipisahkan daripada penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewengan. Wujudnya kartel atau “mafia ekonomi” yang mendapat untung atas angin, sudah mendarah daging dalam sistem kapitalis dari peringkat bawah sampailah ke peringkat paling atas. Selagi keadaan seumpama ini dibiarkan oleh kerajaan, maka siapa lagi yang perlu kita persalahkan jika bukan kerajaan itu sendiri?
Bayangkan nilai import makanan Malaysia untuk tahun 2020 adalah sebanyak RM55.4 bilion, meningkat sebanyak 22.3% berbanding 2015 yang berjumlah RM45.3 bilion, sedangkan nilai eksport untuk tahun 2020 ialah sebanyak RM33.7 bilion. Nilai ini bukannya kecil. Import tertinggi ialah daging lembu iaitu sebanyak RM2.2 bilion, diikuti daging kambing RM879.4 juta, kelapa RM266.1 juta dan mangga RM87.9 juta. Mengikut laporan, hampir 70 peratus daging kambing yang beredar di pasaran tempatan diimport dari Australia manakala daging lembu pula diimport dari India.
Tahap kebergantungan import untuk beberapa produk makanan di Malaysia melebihi 50 peratus dengan produk ruminan mencatat peratusan tertinggi melebihi 90 peratus. Selain itu, Malaysia turut mengimport 700,000 hingga 900,000 tan metrik beras setiap tahun atau sekitar 30 peratus daripada keperluan beras negara.
Walaupun tidak ada salahnya dengan import, tetapi apabila pengurusan negara berada di tangan orang yang khianat dan sistem yang rosak, maka ruang untuk terjadinya krisis sangatlah besar. Sekiranya kebergantungan kepada barangan import membawa kepada kebergantungan kita kepada orang kafir, atau dengan kata lain menyebabkan orang-orang kafir boleh menguasai orang-orang Islam, maka hal ini diharamkan oleh Islam. Negara wajib memerhatikan hal ini dengan serius.
Ada sesetengah pihak menyatakan bahawa kenaikan harga juga berlaku disebabkan oleh kekurangan penawaran yang berpunca daripada kekurangan tanah pertanian untuk dibangunkan, dan kurangnya penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian sehingga pengeluaran menjadi berkurangan. Ya hujah ini ada benarnya, dan pemerintah wajib bertanggungjawab sepenuhnya dalam hal ini.
Apa tidaknya? Malaysia memiliki tanah yang cukup luas dan sangat sesuai untuk pertanian, tetapi terbiar selama puluhan tahun, dan ini belum masuk tanah bertuan yang tidak diusahakan sejak sekian lama. Dengan pelbagai masalah serta undang-undang yang berkuatkuasa, hampir mustahil untuk para petani memiliki tanah pertanian yang luas di Malaysia.
Dalam Islam, setiap warganegara berhak memiliki tanah kosong, baik tanah itu tidak bertuan, atau tanah bertuan yang telah terbiar lebih daripada tiga tahun. Hal ini termasuk dalam hukum ihya’ al-mawat (menghidupkan tanah yang mati) yang sudah sangat dimaklumi dalam Islam. Siapa sahaja yang menghidupkan tanah yang mati, maka tanah tersebut menjadi miliknya. Tanah mati boleh dikenal pasti melalui tiadanya tanda-tanda yang ia dimiliki oleh sesiapa seperti tiadanya apa-apa tanaman, kolam buatan, perigi, bangunan, pagar, batu sempadan dan lain-lain tanda seumpamanya.
Ketetapan tiga tahun adalah berdasarkan pada keputusan Umar bin al-Khaththab (ra) yang kemudian disepakati (ijma’) oleh para sahabat. Umar menyatakan,
“Orang yang memagari tanah tidak berhak (atas tanah yang dipagarinya itu) setelah (membiarkannya) selama tiga tahun”. Rasulullah (saw) bersabda: “Siapa sahaja yang menghidupkan sebidang tanah mati, maka tanah itu menjadi miliknya” [HR Bukhari].
Dalam riwayat Bukhari yang lain,
“Siapa sahaja yang telah mengelola sebidang tanah, yang bukan milik orang lain, maka dialah yang paling berhak (atasnya).”
Abu Daud meriwayatkan,
“Siapa sahaja yang memagari sebidang tanah (kosong), maka tanah itu menjadi miliknya.”
Berdasarkan dalil ini, amat jelas bahawa hak pemilikan seseorang atas tanah kosong hanyalah sebatas tiga tahun jika tidak diusahakan. Islam membenarkan setiap warganegara untuk menghidupkan atau memiliki tanah mati (setelah terbiar lebih tiga tahun), tanpa perlu izin daripada negara. Jika hukum ini berjalan, maka setiap orang yang ingin mengusahakan tanah dapat berbuat demikian dengan mudah, tidak sebagaimana dalam sistem pada hari ini. Apabila tanah diusahakan, bidang pertanian sudah tentu akan berkembang dan masalah kekurangan penawaran dapat diatasi.
Tidak sekadar itu, negara wajib membantu mana-mana orang yang ingin mengusahakan tanah samada dengan memberikan modal, menyediakan kemahiran dan peralatan yang mencukupi, mengadakan pelbagai inisiatif, program atau segala bentuk bantuan yang diperlukan dari awal hinggalah produk dapat dipasarkan, yang semuanya boleh diberikan secara percuma. Bayangkan jika jumlah RM50 bilion setiap tahun yang dibelanjakan untuk mengimport makanan itu diberikan kepada para petani untuk mengusahakan tanah dengan pelbagai bentuk bantuan, berapa ramai petani yang boleh dibantu dan berapa banyak tanah yang boleh diproduktifkan, dan berapa banyak bahan mentah yang boleh dikeluarkan.
Khatimah
Masalah kenaikan harga tidak boleh dilihat sebagai terpisah daripada masalah ekonomi dan masalah lainnya, kerana realitinya ia memang terkait. Kita harus sedar bahawa masalah utamanya ialah pada sistem itu sendiri. Malaysia mengamalkan sistem ekonomi kapitalisme yang bercanggah dengan Islam, dan atas dasar itu masalah muncul dalam segenap sudut. Kapitalisme hanya memandang aspek keuntungan atau manfaat semata-mata, tanpa memandang kepada kesan berantai, kemanusiaan, kebajikan apatah lagi dosa dan pahala. Ditambah dengan pemimpin yang rosak yang mengendalikan sistem yang rosak ini, maka kerosakan yang berlaku tentunya multi-dimensional sebagaimana yang dapat kita saksikan. Justeru, perubahan hanya akan berlaku sekiranya pemimpin dan sistem yang rosak ini diganti dengan sistem Islam, dan sistem Islam itu tidak lain kecuali sistem Khilafah, yang menerapkan hukum berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah secara kaffah.
Wallahu a’lam.