[Nahdah Fikriyyah | Siri 106] Keluarga Perkasa Dengan Syariah

Oleh : Syafinaz Safar

 

Pengenalan

Keluarga merupakan institusi terkecil dalam masyarakat. Dari keluargalah lahirnya sebuah generasi yang membentuk sebuah masyarakat. Oleh sebab itulah, sebuah keluarga perlu kuat dan utuh supaya dapat membina sebuah generasi masyarakat yang teguh. Keteguhan sesebuah keluarga ini ditentukan oleh landasan pembangunan keluarga itu sendiri iaitu akidah yang dianuti. Dasar atau asas pemikiran yang berlandaskan akidah Islam akan menguatkan ketahanan keluarga tersebut apabila seluruh anggota keluarga mempunyai akidah yang sama.

Oleh itu, bagi membolehkan sesebuah keluarga itu mempunyai akidah yang sama, maka menjadi tanggungjawab kepada ketua keluarga bagi mendidik, mengajar dan memupuk nilai-nilai Islam dalam diri setiap anggota keluarganya, seperti dalam potongan ayat surah At-Tahrim (6) yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu…”. Menurut Tafsir Ibnu Katsir, terdapat tiga pendapat yang terkait dengan potongan ayat ini, iaitu; (1) Mujahid mengatakan “Bertakwalah kepada Allah dan berpesanlah kepada keluarga kalian untuk bertakwa kepada Allah. (2) Qatadah mengemukakan, “Yakni, hendaklah engkau menyuruh mereka taat kepada Allah dan mencegah mereka derhaka kepada-Nya. Dan hendaklah engkau menjalankan perintah Allah kepada mereka dan perintahkan mereka untuk menjalankannya, serta membantu mereka dalam menjalankannya. Jika engkau melihat mereka melakukan maksiat kepada Allah, peringatkan dan cegahlah mereka.”. (3) Adh-Dhahhak dan Muqatil bin Hayyan mengatakan: “Setiap Muslim berkewajipan mengajari keluarganya, termasuk kerabat dan budaknya, pelbagai hal berkenaan dengan hal-hal yang diwajibkan Allah Ta’ala kepada mereka dan apa yang dilarang-Nya.”

Intipati daripada tafsiran potongan ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa, ketua keluarga perlulah seorang yang bertakwa supaya boleh mengajak anggota keluarga kepada amar makruf dan nahi munkar, meminta dan membantu ahli keluarga untuk menunaikan kewajipan kepada Allah dan wajib baginya untuk mengajar kepada keluarganya mengenai perintah dan larangan Allah SWT.

Ketua keluarga di sini merujuk kepada lelaki yang menjadi suami atau bapa, merangkap pemimpin dalam sesebuah keluarga yang terdiri daripada para isteri, anak-anak dan semua individu yang berada di bawahnya. Tanggungjawab yang diberi ini bukanlah mudah tetapi tidak mustahil dapat dilakukan jika mereka mempunyai ketakwaan yang tinggi kepada Allah dan mematuhi ajaran Islam. Selain itu, dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh suri tauladan juga mampu membantu dalam menambahkan ketakwaan kepada Allah sebagaimana sabda baginda dalam potongan hadis, “Ingatlah setiap kalian adalah pemimpin yang akan diminta pertanggungjawaban atas kepimpinannya…seorang lelaki adalah pemimpin dalam rumah tangga yang akan diminta pertangungjawabannya atas kepimpinannya, seorang wanita adalah pemimpin atas rumah tangga suaminya dan anak-anaknya yang akan diminta pertanggungjawab atas kepimpinannya.” (HR Bukhari dan Muslim)

 

Peranan Keluarga

Bagi merealisasikan cita-cita terbinanya sebuah generasi masyarakat yang teguh asas akidah Islamnya, maka di sinilah peranan sebuah keluarga perlu dilihat dan dianalisis. Terdapat lapan peranan keluarga dalam membentuk masyarakat Islam yang teguh. Pertama adalah peranan reproduktif. Menjadi tujuan utama kepada seorang lelaki dan wanita yang mahu bernikah bagi melestarikan gharizah an-nau’ atau naluri berkasih sayang. Melalui jalan pernikahan yang sah dan sempurna, maka naluri ini dapat disalurkan pada jalan yang halal dan mengikut syariat Islam. Anak-anak yang dilahirkan kelak merupakan generasi yang diyakini nasab dan keturunannya. Peranan kedua adalah fungsi ekonomi. Faktor ekonomi dan kewangan sangat melengkapi dalam hidup berkeluarga. Sebagai seorang suami, bapa dan ketua keluarga, menjadi kewajipan utama mereka untuk mencari nafkah dengan jalan yang halal untuk menanggung perbelanjaan keperluan asas seluruh ahli keluarga sehingga mewujudkan kesejahteraan dalam hidup mereka. Perlu diingatkan bahawa tiada kewajipan bagi si isteri atau ibu untuk menafkahi hidup suami dan anak-anak kerana fungsi utama ibu ialah sebagai ummu wa rabbatul bayt iaitu sebagai ibu dan pengatur rumah tangga. Selain itu, ibu juga berperanan (peranan ketiga) dalam pendidikan anak-anak. Ini kerana ibu merupakan madrasatul ‘ula iaitu sekolah pertama dalam mendidik dan mengasuh anak-anak sehingga menjadi cerdas dan bertakwa.

Peranan keempat pula adalah kawalan sosial. Keadaan sesebuah keluarga memberi cerminan kepada mata masyarakat. Menjadi tanggungjawab ketua keluarga untuk mendidik setiap ahli keluarganya dengan didikan Islam yang sempurna supaya menjadi potret yang baik dalam kalangan masyarakat. Selain itu, peranan kelima keluarga adalah sebagai perlindungan dimana ibu bapa berperanan melindungi keluarga daripada ancaman fizikal, ekonomi dan psikologi. Jika dibiarkan ahli keluarga terdedah dengan semua ancaman ini, tidak mustahil ia mampu merosakkan diri dan pemikiran ahli keluarga. Peranan keenam adalah mewujudkan suasana aman di rumah. Penting bagi sebuah keluarga untuk merasakan rumah sebagai tempat berlindung yang aman dan tenteram serta gembira apabila berada di dalamnya. Rumah yang selesa menjadi sumber kebahagiaan apabila ahli keluarganya juga bersifat riang, terbuka dan menceriakan suasana ibarat baiti jannati atau rumahku syurgaku.

Peranan ketujuh keluarga adalah menyemai nilai berkasih sayang. Sebuah keluarga sepatutnya dibangunkan atas dasar kasih sayang bagi menyemai rasa cinta, kasih, empati dan kepedulian antara ahlinya. Suasana yang penuh cinta dan kasih sayang ini memberi rasa aman dan selamat kepada anak-anak, maka wujudlah rumah tangga yang sakinah, mawaddah wa rahmah. Ini kerana, anak-anak adalah amanah dan aset dunia akhirat kepada ibu bapanya. Mereka berhak mendapat perhatian dan kasih sayang dari ahli keluarganya agar emosi dan perasaannya dipenuhi dengan perkara positif. Peranan terakhir adalah memberikan pendidikan agama. Ibu bapa hendaklah memberikan didikan agama kepada ahli keluarganya. Jika ketua keluarga tidak mampu mendidik kerana kekurangan ilmu, maka wajib baginya menyediakan guru untuk mengajar isteri dan anak-anaknya pendidikan agama. Ini kerana, dengan didikan agama sahajalah dapat menjadi benteng kepada ahli keluarga daripada dipengaruhi oleh anasir luar yang melalaikan.

 

Sirah Rasulullah SAW Uswah Hasanah

Bagaimana ingin membina keluarga perkasa dengan syariah? Kita boleh mengambil contoh dari junjungan besar nabi kita, Nabi Muhammad SAW sebagai contoh ketua keluarga, suami dan bapa yang terbaik untuk keluarganya. Seperti yang kita sedia maklum, baginda ialah seorang bapa yang penyayang dan lemah lembut. Baginda melayan Saidatina Fatimah dengan sangat lembut dan berhemah. Baginda juga terkenal sebagai seorang suami yang penyayang dan sering membantu isteri-isteri baginda melakukan kerja-kerja rumah, seorang yang romantik, lemah lembut walaupun ketika sedang marah, sering berbincang bersama isteri dan keluarga serta sentiasa berbangga dengan isteri-isterinya dengan memperkenalkan mereka kepada sahabat-sahabat baginda.

Selain baginda SAW sebagai uswah hasanah, kita boleh mengambil beberapa kisah dari sirah terdahulu sebagai teladan keluarga perkasa syariah. Semasa era awal Islam di Kota Mekah, Saidatina Khadijah yang merupakan isteri baginda SAW menjadi seorang isteri yang amat memahami keadaan suaminya. Di kala baginda baru menyebarkan agama Islam di sana, Saidatina Khadijah menjadi orang pertama yang beriman dengan ajaran baginda. Beliau menyokong aktiviti dakwah baginda dengan menginfakkan hartanya untuk jalan dakwah. Walaupun beliau merupakan seorang pedagang yang kaya raya namun sebagai isteri, beliau sentiasa merendah diri, berakhlak mulia dan pandai menjaga kesucian diri. Beliau menjadi penenang ketika baginda mendapat wahyu pertama dari malaikat Jibril. Begitu juga dengan kisah keluarga Yasir yang diseksa dan dibunuh dengan kejam oleh Quraisy Mekah kerana mempertahankan agama syumul ini. Terdapat beberapa buah keluarga sahabat lain yang diuji Allah dengan ujian yang berat tetapi tetap yakin dengan hikmah di sebalik ujian ini seperti keluarga Abu Thalhah dan keluarga Abu Dujanah. Sebagai ketua keluarga, mereka sedaya upaya menjaga dan memelihara anggota keluarga dari membuat kemungkaran dan menggalakkan mereka membuat kebaikan.

Selain itu, terdapat juga beberapa orang Imam yang dibesarkan oleh ibu tunggal. Para ibu tunggal ini dibela kehidupannya kerana pemerintah menjalankan fungsinya sesuai dengan syariat Islam. Sistem pendidikan dan perubatan percuma serta suasana yang selamat semasa berada di bawah naungan Daulah Islam, menjadikan ibu-ibu ini mampu mendidik anak-anak mereka menjadi seorang yang hebat dan berpendidikan tinggi. Sebagai contoh adalah ibu kepada Imam Malik, ibu Muhammad al-Fateh, ibu Imam as-Syafie, ibu Imam Ahmad bin Hanbal dan ibu Imam Bukhari. Kesemua ibu ini sendirian menjaga dan mendidik anak-anak mereka sehingga menjadi insan yang mulia dan hebat serta dihormati kerana ilmunya.

 

Realiti Keluarga Masa Kini

Realiti keluarga masa kini sebenarnya amat membimbangkan. Ini kerana terdapat tiga cabaran bagi mewujudkan sebuah keluarga bahagia. Cabaran pertama adalah cabaran yang mengancam institusi perkahwinan seperti penceraian akibat berlakunya kecurangan, pertelingkahan atau pengabaian hak dan tanggungjawab dari pihak suami atau isteri. Kedua adalah cabaran bagi membesarkan dan memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik dalam sistem yang serba materialistik dan sekular ini. Cabaran ketiga pula adalah berkaitan sikap masyarakat yang individualistik dan tiada lagi budaya tegur menegur dan amar makruf nahi mungkar. Kesemua cabaran ini sukar untuk ditangani secara tuntas selagi Islam tidak diterapkan secara menyeluruh sebagai sistem kehidupan yang mengatur hidup semua.

Berdasarkan statistik terkini di Malaysia, kes penceraian berjumlah 66,440 telah dilaporkan sepanjang Mac 2020 hingga Ogos 2021, manakala sebanyak 9,015 kes keganasan rumah tangga dilaporkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa Mac 2020 hingga Ogos 2021. Kes-kes seperti ini sememangnya akan mempengaruhi ketenteraman sebuah keluarga dengan memberi kesan kepada emosi dan perasaan anak-anak dan pasangan. Walaupun pelbagai usaha dijalankan oleh pihak kerajaan dan NGO, kes-kes ini tetap berlaku malahan semakin bertambah.

Terdapat dua faktor yang mempengaruhi kegagalan sesebuah institusi kekeluargaan iaitu faktor dalaman dan faktor luaran yang saling berhubungan antara satu sama lain. Faktor dalaman merujuk kepada kegagalan idividu dalam memahami fungsi dan peranan masing-masing. Keadaan ini berlaku kerana pelbagai faktor seperti kurangnya ilmu dalam melayari rumah tangga, komunikasi yang tidak harmoni, sikap panas baran serta faktor ekonomi boleh menjadi punca gagalnya sesebuah institusi perkahwinan. Faktor luaran pula melibatkan masyarakat dan negara. Masyarakat yang individualistik serta terpengaruh dengan pelbagai fahaman asing tentunya tidak peduli dan empati dengan perkara yang terjadi kepada pihak lain. Manakala negara tidak menerapkan sistem Islam sepenuhnya malah mengubahnya kepada sistem sekular dan memisahkan aspek agama dalam segenap sistem kehidupan. Tanpa penerapan sistem Islam sepenuhnya, sebuah masyarakat yang sejahtera dan institusi keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah juga mustahil dapat direalisasikan. Ini kerana jika berlakunya masalah atau konflik dalam sesebuah keluarga, ianya sekadar dirujuk ke pengadilan mahkamah syariah sedangkan sistem kehidupan yang diterapkan masih lagi sekular serta sukar membentuk individu-individu yang bertakwa dan bersahsiah Islam.

Pembinaan ke arah keluarga Islam memerlukan dua aspek penting iaitu dasar ketaatan kepada Allah dan dilandasi dengan motivasi awal yang benar. Berasaskan kedua-dua aspek ini, sesebuah keluarga dapat dibina dengan jalan yang dikehendaki oleh syarak kerana pernikahan adalah tempat ketenangan bagi pasangan suami isteri seperti firman-Nya dalam surah Ar-Rum ayat 2 yang bermaksud, ”Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu. Maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka; dan jika kamu memaafkan dan kamu santuni serta ampuni mereka, maka sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” Oleh itu, bagi membentuk keluarga yang perkasa syariah dan berideologi Islam perlulah:

  • Mempunyai akidah Islam sebagai asas pernikahannya. Ini kerana hanya dengan asas akidah Islam sahaja sesebuah keluarga mampu melahirkan nasab keturunan yang diredhai Allah.
  • Memiliki visi dan misi yang sama antara suami isteri tentang hakikat dan tujuan hidup berkeluarga dalam Islam. Jika visi dan misi ini tidak selari, maka anak-anak dan rumahtangga menjadi taruhan dan akan mengalami kehancuran jika tidak dibaiki.
  • Memahami dengan benar akan fungsi, peranan dan kedudukan setiap individu dalam keluarga supaya semua ahli keluarga sedar akan tanggungjawab masing-masing dan mencuba sedaya upaya untuk menunaikannya dengan mengharapkan redha Allah.
  • Menjadikan Islam sebagai penyelesaian dalam setiap masalah yang dihadapi dan sentiasa mengharapkan pertolongan dan bantuan Allah dalam setiap ujian yang diberi.
  • Sentiasa mengamalkan amar makruf nahi mungkar supaya kita dapat memberi impak positif apabila berdakwah kepada masyarakat.
  • Sentiasa menghidupkan amalan-amalan sunnah di rumah bersama ahli keluarga.
  • Sentiasa berdoa tentang kesejahteraan hidup dan bersabar menghadapi ujian dalam hidup berkeluarga. Bisikan syaitan akan selalu kedengaran di telinga tetapi rahmat Allah itu seluas alam, maka berdoalah kepada-Nya semoga terlindung daripada syaitan yang direjam.

 

Khatimah

Syariat Islam bukan sahaja perlu diperkasakan dalam institusi kekeluargaan, namun lebih penting lagi dalam aspek kehidupan yang memayunginya, iaitu dalam aspek masyarakat dan negara. Ini penting kerana bagi melahirkan generasi bersahsiah Islam, lingkungan yang baik bukan sahaja diperlukan di peringkat keluarga, namun juga disokong oleh masyarakat dan dijayakan di peringkat negara dengan penerapan Islam kaffah. Semua usaha ini perlu dijayakan bersama demi mengharapkan keredhaan Allah SWT kerana hanya patuh dan taat sepenuhnya pada seluruh perintah-Nya, generasi bersahsiah Islam bakal menjadi khaira ummah yang terus menjaga kedaulatan Islam dan berjuang merealisasikan Islam sebagai rahmatan lil alamiin.

Allahu’ Taala a’lam.

 

Sumber rujukan;

  1. BH 15/9/2021- 66,440 pasangan Islam daftar cerai sejak Mac 2020
  2. SH 23/9/2021- 9,015 kes keganasan rumah tangga sejak PKP