PRU musim tengkujuh: Ayuh kita jadikan musim tolak demokrasi
Hasrat pimpinan tertinggi UMNO yang berkobar-kobar untuk mengadakan PRU-15 pada musim tengkujuh membuktikan apa lagi jika bukan ketamakan kuasa? Dengan keputusan tersebut juga, bukti apa lagi yang rakyat perlukan bahawa UMNO bukanlah mementingkan rakyat tetapi hanya mementingkan diri sendiri?
Justeru, memang ada benarnya bila rakyat bercakap-cakap bahawa PRU musim tengkujuh hanyalah untuk menyelamatkan kluster mahkamah. Pendek kata, rakyat sudah boleh membaca mainan politik UMNO yang semakin hari semakin memualkan.
Semasa negara sedang tenat dilanda pandemik Covid-19 dahulu, para politikus demokrasi juga melakukan hal yang sama di mana mereka sibuk bercakaran sesama sendiri dalam rangka berebut kekuasaan. Akhirnya tumbanglah sebuah kerajaan dan diganti dengan kerajaan yang lain. Tidak berhenti di situ, perebutan kuasa terus berlaku hingga tumbanglah sebuah lagi kerajaan dan diganti dengan kerajaan yang lain lagi walaupun kali ini dengan muka yang hampir seratus peratus sama.
Pendek kata, tanpa mengira musim Covid ke, atau musim tengkujuh ke, apa yang tetap menjadi kejaran parti-parti politik dan juga ahli-ahli politik demokrasi ialah kuasa. Kuasa ialah segala-galanya bagi mereka, kerana dengan kuasa, mereka bukan sahaja dapat melakukan apa sahaja, sama ada untuk mengaut hasil kekayaan negara, mengawal segala jentera kerajaan untuk kepentingan mereka, malah badan kehakiman pun dapat “dikawal” dengan mudah oleh mereka.
Justeru, kuasa sangatlah penting bagi mereka, dan mereka sanggup berkorban dan mengorbankan apa sahaja dan siapa sahaja demi kuasa. Jika mereka sanggup “mengorbankan” rakyat semasa mengadakan PRN Sabah, dan juga PRN Melaka di musim pandemik Covid-19, maka tidak hairanlah jika mereka sanggup mengorbankan rakyat kali ini di musim tengkujuh hanya gara-gara kuasa.
Demokrasi tidak pernah menghalang pilihan raya diadakan dalam apa jua musim, kecuali jika terdapat pengisytiharan darurat. Jadi, tidak ada salahnya dalam demokrasi jika pilihan raya di adakan di musim tengkujuh, sebagaimana tidak ada salahnya mengadakan pilihan raya di musim pandemik Covid-19. Satu-satunya yang menjadi pertimbangan parti pemerintah ialah musim di mana mereka boleh menang.
Di sinilah rakyat perlu sedar dan mengambil peluang ialah untuk menolak para pemimpin yang gilakan kuasa ini. Malah bukan setakat itu, rakyat perlu menolak sistem demokrasi itu sendiri, yang membolehkan manusia berkuasa dengan rakusnya, kerana segala peraturan dan perundangan ada di tangan mereka, begitu juga dengan segala penentuan baik dan buruk serta halal dan haram, semuanya berada di tangan mereka.
Jika para pemimpin yang gila kuasa ini mengadakan PRU di musim tengkujuh, maka tidak ada salahnya untuk kita menjadikan musim ini untuk menolak mereka dan menolak sistem demokrasi yang mereka jadikan alat untuk “mengorbankan” kita semua demi kepentingan mereka.
Wallahu a’lam.