Nak bahas pun takut, apa lagi nak bantu Muslim Uighur
Malaysia dilaporkan mengambil pendirian berkecuali daripada membahaskan usul dakwaan pencabulan hak asasi manusia oleh China terhadap Muslim Uighur di Xinjiang.
Dalam pengundian yang melibatkan 47 negara anggota, Malaysia bersama 11 negara lain mengambil pendirian berkecuali, manakala 19 negara menolak dan 17 negara menyokong.
Somalia adalah satu-satunya negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dilaporkan menyokong usul itu.
Akhirnya Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) menolak usul tersebut daripada dibahaskan.
Selain sangat memalukan, terbukti bahawa Malaysia tidak boleh diharap untuk membantu sesama Muslim, walaupun telah banyak laporan berita termasuk daripada Malaysia sendiri mengenai pelanggaran hak asasi manusia oleh rejim China ke atas Muslim Uighur.
Atas faktor apa lagi Malaysia tidak berani bersuara terhadap kekejaman China ke atas Muslim Uighur jika bukan faktor ketakutan terhadap negara komunis itu? Tidak kiralah sama ada ketakutan dari segi ekonomi, perdagangan, politik mahupun ketenteraan. Pokoknya pendirian berkecuali Malaysia menunjukkan betapa lemahnya negara ini di persada dunia, dan yang jauh lebih penting daripada itu menunjukkan betapa lemah dan khianatnya para pemimpin yang tidak sanggup pun untuk membuka mulut bagi membela nasib saudara sesama Muslim.
Kita bukannya berharap pada PBB pun untuk membela nasib kaum Muslimin kerana terbukti selama ini PBB bukannya badan penyelamat, sebaliknya badan perosak umat Islam, namun setidaknya platform tersebut dimanfaatkan oleh Malaysia untuk menyatakan kekejaman China yang selama ini disembunyikan oleh negara itu daripada dunia.
Sesungguhnya pendirian Malaysia ini tidaklah pelik atau mengejutkan kerana selama ini pun Malaysia tidak pernah bersuara dalam isu ini, demi menjaga hubungan baik dengan China.
Apa yang penting bagi umat Islam sedari di sini ialah, apakah ini kerajaan Melayu-Islam yang mereka harapkan dalam membela nasib kaum Muslimin? Jika membuka mulut pun tidak berani, apa lagi mahu membuka langkah!