Muslim Uighur – Bangsa yang tertindas di bumi sendiri, wajarkah kita berdiam diri?

Baru-baru ini telah tersebar surat terbuka bertarikh 12 Februari 2018 yang mendesak agar kerajaan Malaysia tidak mengekstradisi kesemua sebelas orang Muslim Uighur yang telah ditahan pada Januari lalu [surat terbuka tersebut boleh dibaca melalui pautan berikut: http://www.hoylam.net/malaysiya_hokumitige_ochuq_xet/. Kesemua tahanan tersebut merupakan sebahagian daripada 20 orang Muslim Uighur yang melepaskan diri dari penjara Thailand pada November tahun lalu. Mereka merupakan antara ratusan pelarian yang menyelinap keluar dari selatan China bagi menuju ke Malaysia sebelum ditahan oleh pihak berkuasa Thailand. Terdahulu, kerajaan Thailand pernah bertindak menghantar pulang lebih daripada 100 orang Muslim Uighur ke China pada 2015. Sehingga ke hari ini, tidak diketahui akan nasib mereka setelah dikembalikan kepada pihak berkuasa China.

Dalam perkembangan terkini, kerajaan China telah membuat permohonan rasmi kepada kerajaan Malaysia bagi mengekstradisi kesemua sebelas orang Muslim Uighur yang kini berada dalam tahanan pihak berkuasa Malaysia. Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memberikan jaminan bahawa Polis Diraja Malaysia sedang melakukan siasatan terperinci dan akan mempertimbangkan untuk mengekstradisi mereka, sejajar dengan persetujuan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) yang dimeterai antara kedua-dua buah negara [Berita Harian bertarikh 10 Februari 2018, diakses pada 17 Februari 2018].


Komentar:

Selama berdekad-dekad lamanya, Muslim Uighur berhadapan dengan penindasan daripada negara komunis China. Semenjak 1949, pelbagai polisi telah dirangka ke atas wilayah Xinjiang yang didiami oleh Muslim Uighur, kerana wilayah tersebut kaya dengan sumber bumi. Dianggarkan kira-kira satu perempat daripada sumber minyak dan gas, serta hampir 40% daripada jumlah pengeluaran batu arang China diperoleh daripada wilayah tersebut. Penduduk berbangsa Han telah dibawa masuk ke wilayah Xinjiang bagi mengusahakan industri yang dibangunkan di Xinjiang, sekali gus mengubah demografi wilayah tersebut.

Pembangunan menjadi semakin pesat di wilayah tersebut, namun etnik Uighur dilaporkan telah dipinggirkan daripada perkembangan tersebut. Mereka juga dikenakan sekatan daripada bergerak bebas keluar dari wilayah Xinjiang. Hanya sebahagian kecil sahaja Muslim Uighur yang dibenarkan untuk berpindah ke bandar-bandar besar di China bagi mencari rezeki. Bahkan pekerja Uighur turut berdepan dengan diskriminasi oleh etnik majoriti Han. Pada Jun 2009, sekumpulan pekerja Uighur telah diserang oleh perusuh berbangsa Han di Guandong, ekoran khabar angin yang mengaitkan mereka dengan dakwaan merogol. Dua orang pekerja Uighur telah dilaporkan terbunuh akibat rusuhan tersebut. Ekoran daripada peristiwa tersebut, ribuan Muslim Uighur telah mengadakan demonstrasi aman bagi membantah rusuhan tersebut. Namun, pihak berkuasa China telah bertindak keras sehingga menyebabkan 156 orang terbunuh dan ribuan cedera.

Di samping itu, Muslim Uighur yang menetap di Xinjiang juga berhadapan dengan diskriminasi daripada kerajaan China serta dikenakan sekatan dalam mengamalkan ajaran Islam. Antara tekanan yang dikenakan ke atas mereka termasuklah larangan kepada penjawat awam, wanita, dan kanak-kanak berusia bawah 18 tahun daripada beribadah di masjid, larangan memakai purdah bagi wanita, larangan mengajar al-Quran melainkan di sekolah yang ditetapkan kerajaan, dan semenjak beberapa tahun lalu, pekerja kerajaan dan pelajar berbangsa Uighur juga dilarang daripada menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan.

Pihak berkuasa China dilaporkan bertindak sedemikian bagi membendung ekstremisme, keganasan, dan gerakan pemisah, namun hakikatnya bertujuan untuk menghukum dan menindas Muslim Uighur secara kolektif. Jurang ekonomi yang lebar antara Muslim Uighur dengan etnik Han, serta penindasan yang berlaku telah menyebabkan sebilangan mereka bertindak melarikan diri daripada Xinjiang bagi mencari kebebasan dalam mengamalkan ajaran Islam.

Dalam masa yang sama, terdapat segelintir Muslim Uighur yang bertindak menyertai kumpulan-kumpulan bersenjata akibat sekatan daripada mengamalkan ajaran Islam dan penindasan yang dikenakan oleh kerajaan China. Sebahagian daripada mereka didakwa telah menyertai kumpulan Gerakan Kemerdekaan Turkestan Timur, yang dilabel sebagai pengganas oleh AS, manakala terdapat juga yang dilaporkan menyertai Daesh (ISIS) dan kumpulan Mujahidin Indonesia Timur (MIT).

Meskipun kita tidak bersetuju dengan pendekatan bersenjata dan menolak fahaman yang dibawa oleh kumpulan-kumpulan bersenjata ini, namun tidak bermakna kita wajar menjadikannya sebagai alasan untuk tidak menyuarakan hak dan kebebasan Muslim Uighur. Apatah lagi hendak berdiam diri atas penindasan yang diperlakukan oleh kerajaan China ke atas mereka dengan beranggapan bahawa masalah tersebut merupakan isu domestik China. Sedangkan hakikatnya, penindasan inilah yang menjadi punca mengapa sebilangan Muslim Uighur mengambil langkah mengangkat senjata, di saat negara-negara kaum Muslimin (termasuk Malaysia) gagal membela nasib mereka yang telah sekian lama tertindas.

Inilah nasib yang menimpa umat Islam, termasuklah Muslim Uighur setelah mereka tidak lagi mempunyai institusi yang mampu membela mereka daripada penindasan dan membebaskan mereka daripada penjajahan. Institusi tersebut tidak lain adalah Daulah Khilafah yang berpandukan manhaj kenabian yang telah diruntuhkan semenjak 1924.

Lebih menyedihkan apabila kerajaan Malaysia bukan sahaja enggan menyuarakan hak serta kebebasan mengamalkan agama bagi Muslim Uighur, bahkan sedang mempertimbangkan tindakan mengekstradisi sebelas orang Muslim Uighur yang kini berada dalam tahanannya. Adakah manfaat yang ingin dikejar melalui hubungan dagang dengan China telah menyebabkan pentadbiran Najib menutup sebelah mata atas penindasan yang dilakukan oleh China?

Demikianlah nasib yang membela umat Islam Uighur, tertindas di bumi sendiri yang dikuasai oleh China semenjak 1949. Selaku umat Islam, tidak wajar bagi kita berdiam diri di saat saudara seakidah kita tertindas. Bahkan menjadi tanggungjawab kita semua untuk mendesak kerajaan Malaysia serta para penguasa Muslimin di seluruh dunia mengenakan tekanan ke atas China bagi menamatkan penindasan terhadap Muslim Uighur. Wallahua’lam.

Muhammad Fauzi

Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia