[Nahdhah Fikriyyah | Edisi 109] Islam Mencegah Penderaan Seksual Terhadap Kanak-kanak

Muat turun PDF

Oleh: Hidayah Muhammad

Mukadimah

Bagi sebuah keluarga, anak-anak adalah amanah sekaligus anugerah terindah yang tidak ternilai. Mereka dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan dijaga kesihatannya serta dilindungi keselamatannya. Bagi sebuah negara pula, kanak-kanak adalah modal insan negara pada masa hadapan. Mereka merupakan aset penting selaras dengan Pelan Dasar Perlindungan Kanak-kanak. Dalam Akta Kanak-Kanak 2001 dimana kanak-kanak diiktiraf sebagai kunci kehidupan, pembangunan dan kemakmuran negara yang dilindungi daripada pengabaian, keganasan dan eksploitasi.

Namun, sejak kebelakangan ini isu penderaan seksual terhadap kanak-kanak yang dilaporkan oleh media massa sangat membimbangkan. Tentunya kita sebagai ibu bapa sangat takut dan risau berkaitan isu ini kerana 60 peratus mangsa jenayah seksual melibatkan kanak-kanak dan sebanyak  1,055 kes penderaan kanak-kanak direkodkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara bermula Januari sehingga Jun 2022. Mantan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata sebanyak 578 kes membabitkan penderaan fizikal, 417 kes penderaan seksual dan 60 kes adalah penderaan emosi.

Menurut beliau, statistik pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), bermula Januari hingga Jun pada tahun ini sebanyak 1,348 kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak direkodkan dalam tempoh yang sama,  rogol (641 kes), rogol berkumpulan (47kes), sumbang mahram (127 kes), seks luar tabii (95 kes) dan cabul (438 kes).

Penderaan Seksual Terhadap Kanak-Kanak

Dalam Pelan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara, penderaan kanak-kanak adalah satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping  ia boleh menyebabkan keberlangsungan hidup mereka terganggu. Penderaan boleh dikatagorikan kepada penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian.

Penderaan seksual menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak teraniaya dari segi seksual jika dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam apa-apa aktiviti yang berunsur seksual bagi apa-apa maksud atau eksploitasi seksual oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seksual orang itu atau orang lain.

Kanak-kanak yang menjadi mangsa akan mengalami kesan bukan hanya dari segi fizikal malah mental. Dalam satu wawancara bersama Puan Norhaida Asma Mohd Hashim yang merupakan seorang Pegawai Psikologi Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), beliau berkata,

“Seorang kanak-kanak yang mengalami penderaan seksual mungkin mempunyai harga diri yang rendah, berasa dirinya tidak berharga dan mempunyai pandangan tidak normal atau terpesong mengenai seks. Kanak-kanak itu mungkin menyepikan diri dan tidak mempercayai orang dewasa, serta mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri.”

Dalam menangani masalah ini, telah banyak usaha yang dilakukan di pelbagai peringkat dan kelompok sasaran. Antaranya, pendedahan mengenai pendidikan seksual dan langkah keselamatan kepada kanak-kanak dan ibu bapa. Pendekatan digital untuk menangani penderaan seksual  kanak-kanak juga dilakukan melalui video tentang sentuhan selamat dan sentuhan jahat (safe touch and bad touch), kempen hentikan jenayah seksual kanak-kanak dan bermacam-macam lagi usaha yang dilakukan untuk membendung masalah ini. Namun, persoalannya adakah masalah ini dapat diatasi? Selamatkah anak-anak kita bila mereka berada di luar jagaan dan pengawasan kita seperti di sekolah, pusat asuhan malah di rumah sendiri?

Faktor Berlakunya Penderaan Seksual

Penyelesaian bagi sesuatu masalah haruslah bermula dengan mengenalpasti punca bagi permasalahan tersebut supaya masalah itu dapat diselesai secara benar dan berkesan. Bagi masalah penderaan seksual dalam kalangan kanak-kanak ada beberapa faktor yang menjadi punca.

Pertama adalah faktor individu. Individu yang menjadi pemangsa dalam kes penderaan seksual ini selalunya dipengaruhi oleh gambar-gambar dan aksi-aksi pornografi yang sangat mudah diakses di internet malah sering menjadi tontonan di televisyen. Mereka gagal mengawal hawa nafsu yang kemudian menjadi terdesak untuk memuaskannya tanpa mengira halal dan haram. Maka tidak hairanlah perbuatan jijik ini juga turut berlaku terhadap mangsa dalam kalangan ahli keluarga sendiri.

Faktor kedua adalah negara yang memberi ruang dan kebebasan kepada tersebarnya kandungan pornografi dalam media massa samada dari dalam atau luar negara. Tidak cukup dengan itu, terlalu banyak acara dan hiburan melampau yang membuka ruang kepada segala bentuk kemaksiatan dan kemungkaran untuk terjadi di mana-mana.

Kedua-dua faktor tersebut merupakan kesan daripada penerapan hukum demokrasi sekular yang memisahkan peranan agama dalam mengatur kehidupan manusia. Manusia pula dibiarkan menentukan sendiri cara hidupnya yang cenderung membawa manusia kepada kerosakan dan kejahatan kerana secara fitrahnya akal manusia bersifat terbatas. Lebih parah lagi apabila umat Islam memilih untuk berkiblatkan hukum daripada pihak kufar Barat yang tentunya bertentangan dengan aqidah dan hukum syarak serta mengundang kemurkaan Allah.

Bagaimana Islam Menyelesaikan Masalah?

Dalam Islam, setiap masalah pasti ada penyelesaiannya kerana Islam yang diturunkan oleh Allah telah sempurna dan lengkap aturannya. Firman Allah SWT,

اَلْيَوْمَ اَكْمَلْتُ لَكُمْ دِيْنَكُمْ وَاَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِيْ وَرَضِيْتُ لَكُمُ الْاِسْلَامَ دِيْنًاۗ…

“…Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu untukmu, dan telah Aku sempurnakan nikmatKu bagimu, dan telah Aku redai Islam sebagai agama kamu..” [TMQ: Al-Maidah (5):3].

Islam juga diturunkan kepada manusia sebagai mu’alajah lil masakil insan (penyelesaian bagi masalah manusia). Ini bermaksud Islam mampu menyelesaikan setiap pemasalahan yang dihadapi oleh manusia.

Secara fitrahnya, setiap manusia mempunyai potensi kehidupan yang Allah SWT telah berikan iaitu pertama hajatul udhuwiyyah (keperluan jasmani) yang berupa keperluan makan, minum, rehat dan lain-lain. Kedua, manusia memiliki  gharizah (naluri) iaitu gharizah at- tadayun (naluri untuk menyembah), gharizah al- baqa (naluri mempertahan diri) dan gharizah an-nau’ (naluri untuk menyayangi/seksual). Ketiga, manusia juga memiliki akal.

Dalam menangani masalah penderaan seksual, aspek penjagaan dan kawalan naluri wajib diambil berat. Naluri seksual contohnya boleh muncul atau bangkit dalam dua keadaan iaitu realiti/fakta yang boleh diindera atau muncul daripada pemikiran yang membayangkan sehingga mengundang berahi terhadap seks. Kerana itulah Islam telah menetapkan hukum-hukum seperti kewajipan menutup aurat, kewajipan menjaga pandangan mata, kewajipan menjaga kemuliaan dan kesucian diri dan lain lain. Islam juga menetapkan hukum tentang keharaman berkhalwat, keharaman pergaulan bebas, keharaman menonton pornografi dan lain-lain.

Semuanya untuk membentuk individu menjaga ketakwaan diri sehingga tidak menimbulkan kekeliruan, kekacauan dalam menyalurkan dan memenuhi naluri. Keimanan dan ketakwaan individulah yang menjadi benteng agar setiap perbuatannya sentiasa terikat dengan syariat Islam. Begitu juga institusi keluarga yang menguatkan benteng ketakwaan tadi. Ibu bapalah yang berkewajipan untuk mendidik dan memberikan ilmu agama kepada anak-anak.

Masyarakat juga wajib memainkan peranannya dalam melakukan amar makruf nahi mungkar sehingga terwujud masyarakat yang prihatin yang sentiasa menjadi mata dan telinga bila terjadinya masalah ditengah-tengah kehidupan. Firman Allah SWT,

وَلْتَكُنْ مِّنْكُمْ اُمَّةٌ يَّدْعُوْنَ اِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ

“Dan hendaklah ada sekelompok umat yang menyeru kepada kebajikan (Islam) dan menyerukan kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung.” [TMQ Ali-Imran (3): 104]

Tidak cukup dengan itu, negara mempunyai kewajipan untuk mengawal dan menutup pintu-pintu yang mengarah kepada kemaksiatan. Segala akses kepada bahan-bahan pornografi wajib ditutup dan pihak yang mencipta atau menyebarkannya wajib dihukum. Apa-apa acara atau aktiviti hiburan melampau patut diharamkan supaya setiap individu tidak bebas menyalurkan nalurinya sehingga melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Islam.

Negara memainkan peranan yang amat penting dalam menjaga benteng ketakwaan individu. Sebelum berlakunya masalah, negara (Khilafah) akan mencegah terlebih dahulu perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan atau membawa kerosakan kerana negara Khilafah wajib menerapkan syariat Islam secara menyeluruh. Firman Allah SWT,

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا ادْخُلُوْا فِى السِّلْمِ كَاۤفَّةً ۖوَّلَا تَتَّبِعُوْا خُطُوٰتِ الشَّيْطٰنِۗ اِنَّهٗ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِيْنٌ

“Dan masuklah kamu ke dalam Islam secara kaafah (menyeluruh), dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Sesungguh syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.” [TMQ Al-Baqarah (2): 208]

Setelah semua usaha pencegahan dilaksanakan oleh individu, masyarakat dan negara, masih terdapat kemungkinan kecil berlaku juga penderaan akibat bisikan syaitan dan hawa nafsu. Untuk itu, Islam memperuntukkan hukuman tegas dan keras kepada penjenayah mahupun pelaku penderaan seksual terhadap kanak-kanak sebagai zawajir (pencegahan) dan jawabir (penebus dosa). Pemerkosa akan menerima 100 kali sebatan (jika belum menikah) dan hukuman rejam (jika sudah menikah). Penjenayah liwat akan dibunuh. Jika melukai kemaluan kanak-kanak dengan persetubuhan, akan dikenakan denda 1/3 daripada 100 ekor unta atau hampir RM150,000 (jika seekor unta berharga RM 4,375) , selain daripada hukuman terhadap zina. (Abdurrahman al-Maliki. 1990. hlm. 214—238).

Khatimah

Sesungguhnya hari ini kita hidup dalam sistem yang rosak dan sistem itulah yang menjadi punca bagi segala permasalahan manusia. Kita wajib berusaha agar sistem yang rosak ini diganti dengan sistem Islam yang sempurna yang bakal melindungi kita dan anak-anak kita. Kita mungkin boleh menjaga anak-anak kita dalam rumah atau ketika mereka keluar bersama kita. Namun, kita tidak dapat pastikan ketika anak-anak kita selamat ketika mereka bergaul dan bersosial dengan kawan-kawan mereka  di tengah-tengah kehidupan bermasyarakat. Maka kerana itulah kita perlukan sebuah negara yang menerapkan sistem Islam supaya kehidupan kita sentiasa berada dalam nuansa ketaataan kepada hukum Allah dan RasulNya yang menjadi perisai dalam menjaga dan melindungi anak-anak kita.

Ya Allah ya Tuhan kami, berilah perlindungan kepada anak-anak dan jagalah anak-anak kami daripada segala bentuk kejahatan. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik penjaga dan sebaik-baik penolong.

 

 

Rujukan

Akta Kanak-Kanak 2001

https://bernama.com/bm/infografik/index.php?v=10122

https://selangorkini.my/2022/09/ribuan-kes-dera-fizikal-seksual-kanak-kanak-dalam-tempoh-enam-bulan/

https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2022/09/997082/1055-kes-penderaan-kanak-kanak-dalam-enam-bulan

https://www.jkm.gov.my/jkm/index.php?r=portal/left&id=TlFwUVczNORLQ3VIRDFqRTFmVENuZz09

https://m.facebook.com/pdrmsiaofficial/photos/a.71090042264639/4588516691158602/?type=3

https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/amp/rencana/minda-pembaca/2022/04/948720/langkah-progresif-efektif-tangani-gangguan-seksual-kanak-kanak

https://www.sinarharian.com.my/article/220049/berita/nasional/akses-pornografi-antara-punca-jenayah-seksual-kanak-kanak