Wakil Rakyat atau Wakil Parti?
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan mana-mana Ahli Parlimen UMNO yang melanggar akujanji untuk memberi mandat kepadanya dalam menentukan apa-apa gabungan politik, akan menerima akibat ‘hilang kerusi Parlimen’ yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15. Persoalan yang timbul ialah adakah ahli parlimen ini sepatutnya akur dengan arahan Zahid atau memikirkan nasib rakyat yang sepatutnya dibela? Adakah wakil rakyat ini mewakili rakyat atau mewakili parti? Astro AWANI (23 Oktober 2022) telah melakukan kaji selidik dan mendapati 67% rakyat tidak berpuas hati dengan perkhidmatan wakil rakyat baik di DUN mahupun di Parlimen. Wakil rakyat lebih sibuk dengan percaturan politik dan bukannya berkhidmat untuk rakyat. Rakyat bersusah payah mengundi mereka dengan lebih RM1 bilion dibelanjakan untuk mengadakan pilihanraya namun kesudahannya para wakil rakyat ini menggunakan kedudukan mereka untuk mengaut manfaat untuk diri sendiri.
Demi kepentingan diri sendiri, ‘wakil-wakil rakyat’ ini sanggup menebalkan muka bagi meraih kekuasaan dan mengetepikan prinsip yang kononnya mereka perjuangkan. Pelbagai pihak yang suatu ketika dahulu dianggap mustahil untuk duduk semeja, kini sama-sama bersemuka membincangkan pembentukan kerajaan. Apakah jaminan kerajaan yang bakal dibentuk ini akan membela rakyat? Mereka nampaknya mengejar manfaat dan membelakangkan rakyat yang telah memilih mereka. Andainya telah hilang manfaat daripada ikatan yang terjalin, pastinya ikatan tersebut akan terlerai. Sampai bila rakyat harus terus ditipu dan dipermainkan seperti bidak-bidak catur dalam perebutan kuasa antara golongan elit politik ini? Jelas sekali wakil-wakil rakyat ini mengamalkan prinsip ‘Matlamat menghalalkan cara’ yang dicanangkan oleh Machiavelli (1469-1527), seorang ahli falsafah berbangsa Itali. Segala cara digunakan untuk mencapai matlamat walaupun membohongi rakyat yang telah meletakkan kepercayaan terhadap mereka.