Anak muda adalah nakhoda gelora kebangkitan Islam – Siri Pasca PRU15
Perlantikan Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 pada petang tadi telah menamatkan tempoh 5 hari kekosongan jawatan tersebut selepas PRU15. Penangan para pengundi yang rata-rata merupakan golongan muda pada PRU kali ini telah membawa politik negara ke satu episod baru iaitu ketiadaan satu parti mahupun gabungan parti yang mampu membentuk majoriti di dalam parlimen. PRU15 kali ini telah meluluskan pendaftaran undi secara automatik kepada mana-mana rakyat Malaysia yang telah mencapai umur 18 tahun tanpa perlu berdaftar seperti pilihanraya sebelum ini. Peristiwa ini pasti menarik perhatian masyarakat Malaysia disebabkan perbezaan umur yang ketara antara pengundi lama dan baru. 75% pengundi PRU15 adalah pengundi kali pertama. Hal ini pastinya mengubah landskap politik negara dari segi pendekatan parti yang bertanding, isu yang dimainkan, dan juga keterlibatan pengundi dalam PRU15. Sebanyak 10.6 juta pengundi muda direkodkan dari umur 18-40 tahun, iaitu 58.5% dari 21.1 juta jumlah keseluruhan pengundi. Banyak kawasan parlimen dan adun dihuni lebih separuh pengundi muda yang pasti sangat mempengaruhi kemenangan sesebuah parti. Oleh yang demikian, kita dapat lihat pendekatan parti yang bertanding mengetengahkan calon-calon muda dan menyingkirkan calon-calon veteran walaupun pengaruh mereka masih dapat dilihat. Bukan itu sahaja, isu yang dimainkan juga berkisar di sekitar kehidupan anak-anak muda seperti kenaikan kos sara hidup, pengangguran dan pekerjaan, pendidikan, kestabilan politik negara, rasuah, ekonomi dan penyelewengan kuasa. Orang muda adalah king maker dalam PRU kali ini dalam menentukan kemenangan.
Golongan muda juga merupakan nakhoda gelora kebangkitan Islam. Realiti ini dapat dilihat pada potensi yang ada pada orang muda yang mampu mengubah keseluruhan kehidupan masyarakat. Tenaga yang dimiliki golongan ini mampu menggerakkan sebarang bentuk perubahan dengan lebih agresif berbanding golongan yang sudah berumur. Ini bukan hanya melibatkan kelebihan tenaga fizikal yang ada pada anak muda malah dari segi semangat dan kecerdasan berfikir juga, golongan ini mampu mempengaruhi banyak pihak dan mengubah situasi semasa sesebuah masyarakat dengan lebih efektif berbanding golongan berumur. Zaman muda merupakan waktu di mana seseorang manusia itu mula menjalani proses berfikir secara serius dan mencari jati diri. Jika zaman muda tidak dimanfaatkan sepenuhnya, seseorang insan itu akan tidak berupaya menangani masalah dalam hidupnya secara benar dan berkesan di masa tuanya kelak. Adalah merupakan satu kerugian bagi sesebuah masyarakat jika golongan mudanya disibukkan dengan aktiviti yang tidak berfaedah. Masyarakat akan mundur dan malap akibat potensi golongan muda yang dibazirkan begitu sahaja. Oleh itu, untuk membangkitkan umat Islam, hal ehwal anak muda harus diberi penekanan yang sangat serius. Ini merupakan titik tolak yang sangat kritikal untuk diperhalusi agar dapat potensi golongan muda ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Jika kita ingin melahirkan anak muda yang mampu mengemudi gelora kebangkitan Islam, kita perlu melihat bagaimana Rasullah SAW berinteraksi dengan golongan ini sewaktu permulaan dakwah baginda. Apa yang ditunjukkan oleh Rasullah secara tidak langsung adalah wahyu untuk kita ikuti dan lihatlah sahaja hasil perubahan para pemuda yang didakwahi baginda. Lihat sahaja sahabat karib baginda, Saidina Abu Bakar yang memeluk Islam pada usia 37 tahun. Begitu pula Saidina Umar (26 tahun), Talhah Ubaidillah (11 tahun), Mus’ab Umair (24 tahun) dan Al-Arqam Abi Arqam (12 tahun), masing-masing merupakan tiang kukuh dakwah Islam sehingga ke akhir hayat mereka. Begitu juga ketika baginda berada di Madinah, golongan mudalah yang banyak membela Rasulullah ketika berdakwah. Ketika Perang Uhud, terdapat seorang anak muda yang bernama Anas Ibnu Nadhar RA sanggup menjadikan dirinya perisai untuk menyelamatkan Rasulullah dan menerima 80 tikaman demi melindungi baginda. Golongan muda seperti inilah yang menjadi sosok-sosok penting dalam penyebaran dakwah Islam dan membangkitan masyarakat Arab dari zaman kegelapan mereka. Oleh itu, santunilah golongan muda ini dengan kefahaman Islam yang menyeluruh (kaffah) agar kebangkitan Islam yang sebenar dapat kita kecapi.