Kenapa bimbang anak muda nak jihad?

jamilJabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memperluaskan lagi penjelasan mengenai jihad. Langkah ini dikatakan untuk menjernihkan kekeliruan berhubung konsep itu terutama dalam kalangan golongan muda. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kekeliruan itu dikenal pasti antara punca segelintir golongan muda mula tertarik dan terpengaruh dengan ‘seruan jihad’.

Tidak dapat dinafikan bahawa kenyataan tersebut adalah rentetan dari beberapa orang rakyat Malaysia yang ditangkap kerana dipercayai menyokong dan menyertai ISIS.

Usaha untuk memperjelaskan konsep jihad adalah bagus, bukan hanya kepada anak-anak muda sahaja, malah kepada seluruh umat Islam. Apa yang tidak bagusnya adalah apabila kerajaan sendiri tidak menyahut ‘seruan jihad’ daripada Allah SWT dan menghalang rakyat daripada berbuat demikian.

Jihad adalah sebahagian daripada hukum Islam dan terlalu banyak kelebihannya, malah disifatkan sebagai amalan tertinggi seseorang Muslim. Jadi, kenapa kita perlu bimbang apabila anak muda tertarik dengan seruan kepada hukum Islam?

Apa yang sepatutnya menteri bimbangkan adalah anak muda yang terpengaruh dengan budaya hedonisme yang berasal dari Barat seperti menghadiri konsert, di samping bergaul bebas, mengambil arak dan dadah dan banyak lagi kerosakan lainnya. Baru-baru ini sahaja kecoh diperkatakan apabila remaja Muslimah bertudung berpelukan dengan artis K-Pop. Inilah yang sepatutnya dibimbangi dan dibanteras oleh kerajaan yakni budaya hedonisme.

Jihad adalah mengerahkan segala kekuatan untuk memerangi musuh (orang-orang kafir harbi) yang memerangi Islam, bermula dari persiapan, latihan, membina industri persenjataan dan sebagainya sehinggalah ke tahap memerangi musuh di medan. Semuanya termasuk dalam jihad fi sabilillah apabila dilakukan untuk memerangi kafir harbi yang memerangi Islam. Tidak dinamakan jihad jika berperang sesama Muslim. Jihad ofensif (memulakan serangan) adalah wajib ke atas pemerintah, manakala kalau kita diserang, maka kita wajib berjihad dalam rangka mempertahankan diri. Inilah makna jihad yang sebenar, sebagaimana yang dipraktiskan oleh Rasulullah dan para Khulafa’ Rasyidin.

Maka, jika golongan muda mahu melakukan jihad fi sabilillah yang sebenar, pemerintah tidak seharusnya bimbang, malah sepatutnya berbangga dan menyediakan segala kelengkapan dan kemahiran yang perlu. Kalaulah pemerintah dan pasukan tentera kaum Muslimin melakukan jihad seperti yang diperintahkan oleh Allah ke atas mereka, maka umat Islam sebenarnya lebih mudah untuk memahami makna jihad dan lebih jauh dari itu, umat Islam boleh ikut serta.

Masalah timbul bila negara telah meninggalkan kewajiban jihad, sehingga golongan muda yang mempunyai semangat jihad tidak mempunyai saluran untuk melakukan amalan yang mulia ini. Akhirnya mereka memilih jalan sendiri sehingga ada yang terkeliru. Pendidikan yang berkesan adalah melalui ilmu dan praktikal sekali gus. Inilah yang seharusnya dilakukan oleh pemerintah.