SN622 – Gaji Minimum Yang Terus Meningkat: Sampai Bila?
Bil: SN622 – 18 Jamadilakhir 1444 / 11 Januari 2022
Isu gaji minimum muncul kembali. Terbaru, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebagai wakil pekerja terus menggesa kerajaan agar segera melaksanakan gaji minimum serta mengambil tindakan terhadap majikan yang gagal menjalankannya. Walau bagaimanapun, kerajaan baru ini melalui Menteri Sumber Manusia nya, V. Sivakumar, telah memberi penangguhan selama enam bulan kepada majikan yang mempunyai pekerja kurang dari lima orang. Inisiatif ini diharap dapat memberikan peluang untuk menyelaras dan mengimbangi keperluan kewangan yang sedikit sebanyak mampu memulihkan kedudukan ekonomi syarikat yang menggajikan kurang daripada lima pekerja.
Apapun, kadar gaji minimum telah mendapat tindak balas yang berbeza dari persatuan pekerja dan persatuan majikan. Persatuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Persatuan Majikan Malaysia (MEF) membantah perlaksanaannya dengan mendakwa ia akan merencatkan pemulihan ekonomi. Tambahan lagi mereka mengatakan persekitaran semasa adalah tidak kondusif untuk melaksanakan kenaikan 25 peratus gaji minimum di tengah-tengah pemulihan ekonomi akibat impak pandemik.
Penentuan gaji minimum ini telah disemak beberapa kali sejak 2016. Semakan pertama berkuatkuasa pada 1 Julai 2016 bertujuan untuk meningkatkan gaji minimum di Semenanjung Malaysia daripada RM900.00 kepada RM1,000.00. Manakala di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan gaji minimum ditingkatkan daripada RM800.00 kepada RM920.00. Semakan kedua pada tahun 2018 pula bertujuan untuk menyeragamkan gaji minimum di seluruh Malaysia kepada RM1,100.00 yang berkuat mulai 1 Januari 2019. Semakan ketiga bagi perintah gaji minimum ini dilaksanakan pada 1 Februari 2020 dan semakan ini telah meningkatkan gaji minimum kepada RM1,200.00. Kemudian, kerajaan sekali lagi menyemak dan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baru sebanyak RM1,500 sebulan mulai 1 Jan 2023 di seluruh negara.
Sampai bilakah kita akan menyaksikan titik noktah kepada isu ini? Setiap kali harga barang keperluan asas dan kos hidup meningkat, kita akan menyaksikan isu ini berulang. Apalah gunanya menaikkan gaji minimum jika harga barang keperluan dan kos sara hidup naik lebih mendadak? Hakikatnya, di dalam sistem demokrasi-kapitalis hari ini, jaminan pemenuhan keperluan asas bukanlah satu perkara asas yang ditekankan. Jika ada sekalipun, ia sekadar mengusahakan agar rakyat, secara pukul rata, boleh terus menjalankan kehidupan secara minimal. Dalam situasi ini, seseorang itu harus berusaha secara maksima demi meneruskan kehidupan diri dan keluarganya.
Namun apa yang kita perhatikan adalah suatu yang amat menyedihkan – setelah segala usaha dan keperitan dicurahkan untuk bekerja, akhirnya gaji yang diperolehi di akhir bulan masih tidak mencukupi untuk menyara keluarga. Jika makan berkira, pakai mana yang ada, ini bukanlah kehidupan yang sejahtera dan hanya mereka yang cekal dan tabah dapat melaluinya. Padahal, kehidupan yang sejahtera merupakan hak yang harus dipenuhi dan dinikmati oleh setiap individu rakyat tidak kira yang kuat mahupun yang lemah. Di sinilah individu yang tidak berkemampuan wajib dibela secara berterusan dan mutlak, bukan sekadar dibantu untuk hidup secara minimal.
Di dalam sistem demokrasi-kapitalis, walaupun gaji minimum dinaikkan secara berterusan, ia masih tidak akan dapat menjamin kesejahteraan rakyat. Ini adalah kerana di dalam sistem ini, harga merupakan aspek utama dalam menentukan pengagihan barangan dan perkhidmatan. Menurut Organisasi Buruh Antarabangsa, gaji minimum adalah upah minimum yang patut dibayar kepada pekerja untuk kerja atau perkhidmatan yang dilakukan dalam tempoh tertentu, sama ada dikira berdasarkan masa atau keluaran, yang tidak boleh dikurangkan oleh sesiapapun. Definisi kapitalis ini nampak benar secara luaran, namun dalam melaksanakannya, penentuan gaji minimum ini disandarkan kepada harga barangan di pasaran.
Akibatnya, ‘upah yang wajar diterima’ adalah sebatas keperluan kehidupan minima pekerja tersebut. Rundingan antara Majlis Perundingan Gaji Negara (NWCC) dengan semua pihak yang terlibat juga tidak akan memberikan penyelesaian yang tuntas kerana hala tuju rundingan tersebut hanya menekankan aspek kebajikan minima pekerja sedangkan isu utama yang harus dibincangkan adalah isu penilaian sebenar gaji pekerja dan kesejahteraan hidup mereka.
Inilah bukti kegagalan sistem demokrasi-kapitalis dalam menilai gaji pekerja. Selagimana gaji minima dikaitkan dengan kenaikan harga barangan, selagi itulah kita akan menyaksikan ketidakstabilan terus berlaku di dalam penentuannya. Usaha gigih pihak yang terlibat untuk menguatkuasakan gaji minima ini sebenarnya bukanlah bertujuan untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat tetapi sebenarnya rakyatlah yang harus berusaha untuk diri mereka sendiri bagi memperoleh gaji minima. Persoalannya, apakah yang akan berlaku kepada mereka-mereka yang kelainan upaya (OKU)? Sedangkan sebahagian mereka tidak boleh bekerja untuk menyara diri dan keluarga dan sudah tentu mereka tidak mampu menikmati walaupun kehidupan minimal.
Gaji Menurut Pandangan Islam
Gaji para pekerja sepatutnya ditentukan berdasarkan kadar pengeluaran dari sumbangan mereka dan manfaat yang diterima oleh majikan. Ini dikira berdasarkan usaha yang disumbangkan oleh pekerja. Kenyataannya, majikan memperolehi manfaat yang besar dari usaha pekerja sehingga para majikan berjaya mendapat kekayaan yang menggunung. Pekerja pula hidup sekadar cukup makan dengan kos sara hidup yang tinggi dan tidak akan pernah merasa kesejahteraan hakiki. Ini pastinya mewujudkan jurang kekayaan ekonomi yang besar yang akhirnya menjadikan masalah ekonomi semakin buruk.
Para pekerja memberikan “manfaat” yang berbeza-beza sesuai dengan pekerjaan mereka, pengalaman, kemahiran dan lain-lain, sehingga kuantiti gaji tidak boleh diseragamkan kepada semua pekerja. Islam menetapkan bahawa gaji hanya dipersetujui dan disepakati di antara majikan dan pekerja. Pihak ketiga yang tidak ada kena-mengena dengan akad pekerjaan tidak boleh masuk campur dan menentukan berapakah gaji yang sepatutnya dibayar. Oleh itu, pemerintah selaku pihak ketiga yang tidak bersangkut paut dengan akad pekerjaan, tidak boleh dan tiada hak untuk campur tangan dalam penentuan gaji antara majikan dan pekerja, atas alasan apa sekali pun. Namun, tugas pemerintah adalah memastikan keperluan asas bagi setiap individu rakyat dipenuhi dan sekiranya mampu, memastikan keperluan sekunder juga dipenuhi.
Asasnya, gaji minima tidak akan pernah stabil dan tidak akan dapat menyelesaikan masalah pemenuhan keperluan asas. Ini adalah kerana pambayaran gaji – bahkan seluruh aktiviti ekonomi kapitalis – didasarkan kepada wang fiat dan bukan emas dan perak. Matawang yang bersandarkan kepad emas dan perak adalah stabil kerana nilai instrisiknya yang tidak sensitif terhadap kadar tukaran asing dan inflasi. Ini berbeza dengan wang fiat. Gaji seseorang pekerja akan kerap jatuh di bawah paras gaji minima sekiranya inflasi, sebagai contoh, meningkat – dan hakikat ini berlaku secara berterusan dalam sistem ekonomi kapitalis yang diasaskan kepada riba dan matawang fiat.
Kesimpulan
Majikan dan pekerja wajib melihat masalah gaji minima dari sudut manfaat yang diterima majikan dan sumbangan perkhidmatan pekerjaaan yang dicurahkan oleh pekerja supaya keadilan dicapai bagi semua pihak yang terlibat. Gaji hendaklah dibayar menggunakan matawang yang disandarkan kepada nilai emas dan perak dan bukan menggunakan wang fiat yang sensitif kepada perubahan kadar tukaran dan inflasi. Pada masa yang sama pemenuhan keperluan asas wajib dipertanggungjawabkan kepada pemerintah. Semua ini hanya dapat dilaksanakan di bawah sistem ekonomi Islam. Dan ia akan hanya dapat direalisasikan dengan tuntas melalui sistem pemerintah Islam, Khilafah atas jalan kenabian.
Kolum Siyasah
Nasib Palestin Terus Dipermainkan
Di pentas dunia, penghujung tahun 2022 sekali lagi menyaksikan nasib Palestin menjadi alat retorik apabila Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai resolusi yang meminta Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberi khidmat nasihat dari segi undang-undang mengenai pencerobohan Israel ke atas wilayah Palestin. Undian PBB itu menyaksikan seramai 87 ahli mengundi menyokong permohonan itu manakala Israel, Amerika Syarikat (AS) dan 24 ahli lain menentang, dan 53 pula berkecuali. Sebelum itu, Perwakilan Khas PBB ke Asia Barat berkata, tahun 2022 juga mencatat lonjakan keganasan maut apabila lebih 200 orang rakyat Palestin termasuk kanak-kanak dibunuh oleh tentera rejim zionis Israel.
Lihatlah, betapa lemahnya keadaan umat Islam pada saat ini apabila terpaksa bergantung harap kepada PBB untuk menyelesaikan krisis dalam dunia Islam sendiri. Sudahlah tanah suci Umat Islam dirampas, sebahagian pemimpin Islam samada bersekongkol, bersetuju atau tertipu dengan tawaran Penyelesaian Dua Negara (Two-State Solution) sebagai satu-satunya jalan keluar terhadap konflik Palestin-Israel. Sebelum ini, terdapat juga usulan perdamaian seperti yang termaktub pada Konferens Madrid (1991) dan Perjanjian Oslo (1993). Namun semua itu tidak mendatangkan manfaat apapun bagi Palestin. Apa yang lebih melukakan hati apabila ramai pemimpin Arab dan dunia Islam lainnya tanpa segan silu terus mengkhianati Palestin dengan menjalinkan normalisasi hubungan dengan negara haram Israel atas alasan untuk tujuan ekonomi dan teknologi. Perpecahan yang berkiblatkan doktrin sekularisme dan liberalisme menjadi punca kelemahan dunia Islam sehingga mereka terus didominasi oleh kuasa besar Barat.
Renungkanlah antara petikan reaksi tegas Khalifah Abdul Hamid II kepada Theodore Hertzel, pemimpin Zionis Yahudi.
“Aku tidak akan melepaskan walaupun segenggam tanah ini (Palestin), kerana ia bukan milikku. Tanah ini adalah milik umat Islam. Umat ini telah berjihad demi kepentingan tanah ini dan mereka telah menyiraminya dengan darah-darah mereka.. Jika Khilafah telah dimusnahkan suatu hari nanti, maka mereka boleh mengambil Palestin tanpa membayar harganya. Akan tetapi, selagi aku masih hidup, aku lebih rela tertusuknya pisau ke tubuhku ini daripada melihat tanah Palestin dikhianati..”.
Isu berkaitan dengan kesengsaraan dan penindasan umat Islam hanya dapat diselesaikan dengan menyatukan umat Islam di bawah sistem pemerintahan Islam, iaitu Sistem Khilafah. Sekadar menemplak dan mengkritik dengan berani di sidang PBB tidak akan memberikan penyelesaian tuntas kepada permasalahan ini. Sebaliknya semua pemimpin umat Islam haruslah menyeru dan berusaha untuk menyatukan umat Ini di bawah Sistem Khilafah.