Tiada Pengakhiran Kepada Keruntuhan Institusi Kekeluargaan Dan Pengabaian Kanak-kanak Tanpa Khilafah
Oleh: Dr Huda Anas
Pasca pandemik COVID-19, hampir saban hari rakyat Malaysia disajikan berita mengenai penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang terjadi di negara ini. Menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat, sepanjang bulan Januari sehingga bulan November 2022, sebanyak 5,572 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak telah direkodkan. Pada tahun 2020, sebanyak 5,836 kes dilaporkan manakala pada tahun 2021, angkanya meningkat kepada 6,144 kes. Inilah realiti pengabaian kanak-kanak yang berlaku. Statistik tahunan yang direkodkan saban tahun meningkat bahkan kemungkinan lebih tinggi jika dimbilkira kes-kes yang tidak dilaporkan ke pihak yang bertanggungjawab. Pengabaian kanak-kanak yang berlaku adalah disebabkan kegagalan penjaga dalam menyediakan keperluan dan hak asas bagi seseorang anak yang merupakan makanan, perlindungan, pelajaran, kesihatan dan keselamatan.
Lebih menyedihkan, peningkatan statistik pengabaian kanak-kanak adalah selari dengan angka keruntuhan institusi kekeluargaan yang terjadi dalam masyarakat. Keruntuhan institusi kekeluargaan seperti perceraian, mengakibatkan pengabaian tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak, penderaan emosi, keruntuhan akhlak dan seumpamanya. Laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2022 menunjukkan peningkatan kes perceraian sebanyak 12 peratus kepada 56,975 pada tahun 2021 berbanding 50,862 pada tahun 2020. Pelbagai faktor menjadi penyebab keruntuhan institusi kekeluargaan, antaranya ialah masalah kewangan, kurangnya penghayatan agama Islam, keganasan rumah tangga dan lain-lain lagi.
Walaupun pelbagai usaha dari hasil perahan akal manusia telah dilakukan bagi menyelesaikan masalah ini, namun ia seolah-olah menemui jalan buntu. Realiti saat ini ialah rakyat diatur dengan sistem yang bersumber dari Barat yang amat jelas bertentangan dengan Islam. Inilah punca paling besar yang menyumbang kepada masalah yang tiada kesudahan ini. Sistem sekular-kapitalis yang berasaskan kepentingan manfaat dan bersifat ribawi menjadi pengatur kepada kehidupan manusia. Hal ini menyebabkan masyarakat mengalami kegawatan ekonomi yang semakin parah.
Natijahnya, lahirlah masyarakat yang mengalami tekanan mental dan berlaku kekacauan dalam menguruskan hal rumahtangga yang akhirnya terjadilah keruntuhan institusi kekeluargaan. Negara kapitalis tidak akan pernah ikhlas untuk membantu rakyatnya apatah lagi ingin mengeluarkan rakyatnya dari kesempitan hidup dan kemiskinan. Jadi, tidak hairan, pengabaian kanak-kanak berlaku tatkala kanak-kanak tersebut kehilangan tempat bergantung kerana negara kapitalis akan berlepas tangan dan menyerahkan tanggungjawab ini kepada anggota masyarakat seperti bantuan dari badan-badan bukan kerajaan (NGO).
Realiti ini sebenarnya boleh dielakkan jika Islam Kaffah diterapkan dalam sistem pemerintahan iaitu melalui institusi negara yang disebut sebagai sistem Khilafah. Dalam hal ekonomi, Daulah Khilafah berperanan menerapkan sistem ekonomi Islam yang mengharamkan riba dan mengembalikan kewangan Islam yang stabil. Bahkan negara wajib mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan merancakkan aktiviti ekonomi agar tidak ada individu atau warganegara yang terabai kerana kelesuan ekonomi sehingga memberi implikasi buruk kepada mereka. Bukan itu sahaja, Khilafah wajib menguatkuasakan perundangan bagi memantau anggota keluarga yang culas dalam memberi nafkah kepada orang-orang di bawah tanggungan mereka. Institusi Baitul-Mal diperkasakan sesuai peruntukan syariat Islam. Selain itu, Daulah juga akan menguatkuasakan undang-undang supaya anggota masyarakat menjalankan tanggungjawab menyantuni kerabat-kerabat mereka. Penyelesaian ini mudah dilakukan apabila Al-Quran dan As-Sunnah dijadikan dasar perlembagaan dan pemerintahan negara dalam setiap aspek pengaturan dan pengurusan rakyat sama ada urusan dalam negara atau luar negara. Wallahu alam bisshawab.