SN626 – Jalan Semakin Besar, Hidup Semakin Sempit
Bil: SN626 (PDF) – 19 Sya’ban 1444 / 11 Mac 2023
Buat julung kali, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Belanjawan tahunan negara pada 24 Februari 2023 yang lalu. Di kala iklim ekonomi kapitalis dunia yang semakin tenat, ramai pemerhati ekonomi menantikan apakah ada perubahan yang luar biasa pada pembentangan Belanjawan kali ini. Bertemakan “Belanjawan 2023: Membangun Malaysia Madani”, bajet kali ini memberi keutamaan kerajaan untuk membantu golongan B40 di dalam pelbagai aspek kerana merekalah golongan yang sangat terkesan akibat pandemik.
Pada kertas pembentangan belanjawan itu dapat dilihat usaha bersungguh-sungguh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghapuskan amalan rasuah, penyelewengan dana awam dan seterusnya mengagihkan kekayaan yang diperolehi dari cukai yang telah dikenakan ke atas golongan kaya kepada golongan miskin. Hasil yang diperolehi dari golongan T20 melalui cukai pendapatan dan pembelian barangan mewah mereka akan diagihkan kepada golongan terbanyak (B40/M40). Di samping berbilion lagi akan diagihkan sekiranya kerajaan berjaya menarik balik subsidi minyak dari golongan atasan tersebut. Hal ini dijangka akan mengurangkan jurang perbezaan kekayaan antara golongan kaya dan yang miskin bak kata pepatah “berat sama dijunjung, ringan sama dijinjing”.
Fokus paling utama Bajet 2023 kali ini adalah untuk membina semula kesejahteraan rakyat yang terkesan akibat pandemik. Selain daripada inisiatif yang diberikan kepada rakyat seperti mengecualikan bayaran Ujian Lesen Memandu untuk motosikal, teksi, bas dan e-hailing, Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Kredit e-Tunai Belia Rahmah dan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT), kerajaan juga telah memperkenalkan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang memfokuskan strategi serampang dua mata untuk menambah pendapatan keluarga miskin tegar dan golongan B40 di dalam usaha untuk menyelesaikan masalah ekonomi harian rakyat bawahan menerusi inisiatif-inisiatif IPR. Ianya bertepatan dengan pepatah pujangga yang mengatakan: “Bila anda beri ikan kepada nelayan, maka anda memberinya makan untuk satu hari tetapi apabila anda memberinya kail, maka ia akan makan seumur hidup”.
Sebagai permulaan, sistem mesin layan diri (vending machine) yang menjual makanan mampu beli akan diperkenalkan kepada orang ramai. Para peserta IPR hanya menyediakan modal kos bahan makanan manakala urusan selenggaraan lain ditanggung oleh pihak kerajaan selama 2 tahun. Usaha seumpama ini dijangka akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi bagi golongan tersebut melalui konsep permintaan dan penawaran. Sehingga ia akan dapat meningkatkan penawaran dan mengurangkan harga makanan di samping meningkatkan pendapatan golongan bawahan dan seterusnya akan menjana lebih banyak peluang pekerjaan di dalam jangka masa panjang. Adakah strategi ini mampu untuk memperbaiki sosioekonomi rakyat khususnya golongan bawahan?
Di sebalik semua usaha-usaha kerajaan yang suci dan murni itu, statistik terkini menunjukkan bahawa golongan atasan terus meraih lebih banyak kekayaan sehingga usaha dan harapan untuk memperbaiki sosioekonomi rakyat terlihat jauh dari pandangan. Terkini, media melaporkan bahawa bank-bank terus mencatatkan keuntungan pada akhir tahun 2022. Antaranya:
- CIMB Group Holdings Bhd: RM6.21 bilion, meningkat 33.5%
(https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2023/02/1070424/cimb-catat-keuntungan-bersih-luar-biasa-rm621-bilion)
- Malayan Banking Bhd: RM8.23 bilion, meningkat 1.7%
(https://www.astroawani.com/berita-bisnes/untung-bersih-maybank-bagi-tahun kewangan-2022-naik-kepada-rm823-bilion-408411)
- Kumpulan Public Bank: RM8.83, meningkat 19.9%
(https://www.bharian.com.my/bisnes korporat/2023/02/ 1069853/ public-bank-catat-untung-rm8-bilion-buat-kali-pertama)
Ini sudah tentu akan memberikan manfaat yang besar kepada tokoh-tokoh korporat dan para kapitalis yang berada disebalik operasi bank-bank ini. Dengan hasil yang luar biasa ini, mereka seterusnya dapat menggunakannya untuk menguasai lebih banyak peluang-peluang lain dan terus menjana kekayaan yang berlipat kali ganda sehingga kekayaan di dalam negara akan terus mengalir kepada mereka.
Di sisi yang lain, tokoh terkaya di Malaysia yang dilaporkan terus mengukuhkan kedudukan mereka di dalam carta senarai lelaki terkaya. 50 orang bilionair lelaki terkaya di Malaysia dalam senarai Forbes (https://www.forbes.com/malaysia-billionaires/list/) pada 2020 telah mencatatkan peningkatan jumlah kekayaan mereka sebanyak 14% berbanding 2021, walaupun ekonomi Malaysia telah mengecut sebanyak 5.6% (https://www.forbes.com/sites/naazneenkarmali/2021/06/02/malaysias-50-richest-2021-collective-wealth-of-the-nations-richest-rebounds).
Jumlah kekayaan 50 orang bilionair yang terkaya di Malaysia pada masa ini telah mencecah sebanyak USD90 bilion, atau bersamaan dengan lebih RM370 bilion yang setara dengan nilai Bajet 2023 Malaysia Madani.
Graf menunjukkan pecahan kekayaan negara yang dimiliki oleh rakyat mengikut jumlah populasi di Malaysia.
Petunjuk graf:
Pada tahun 2020;
- A: 10% dari populasi memiliki 60.8% kekayaan negara.
- B: 50% dari populasi memiliki 4.5% kekayaan negara.
Graf tersebut membuktikan bahawa golongan yang maha kaya akan terus kaya ketika dunia dalam krisis dan ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan di bawah sistem ekonomi kapitalis global hari ini. Fakta ini disokong oleh sumber lain yang melaporkan 0.2% atau 43,646 orang rakyat Malaysia yang memiliki kekayaan melebihi RM4 juta manakala 96.1% atau 20.97 juta orang rakyat Malaysia memiliki kekayaan di bawah RM400,000. (https://themalaysianreserve.com/2019/10/22/less-than-1-of-msians-in-us1m-wealth-bracket/).
Bagaimana semua ini boleh berlaku? Di dalam Sistem Kapitalis, golongan atasan diberikan kebebasan untuk terus mengekalkan kekayaan dengan apa cara sekalipun selagimana tidak melanggar undang-undang. Ini dapat dilihat pada ketika ekonomi sedang membangun pesat, golongan pekerja telah diperah tenaga kerja mereka dan dibayar gaji yang tidak setimpal dengan jumlah tenaga yang telah mereka curahkan.
Manakala ketika ekonomi sedang mengalami kemerosotan, ramai pekerja dikorbankan samada dengan dikurangkan gaji atau diberhentikan kerja semata-mata untuk memastikan syarikat korporat terus mengaut keuntungan dan golongan atasan ini terus menikmati kekayaan yang luarbiasa sehingga sebahagian besarnya telah mengalir keluar negara manakala rakyat biasa terus berada di dalam kepayahan dan keperitan untuk meneruskan kehidupan sambil berharap kepada Belanjawan 2023 untuk mendapatkan sisa kekayaan yang tinggal sehingga peribahasa “memberikan kail kepada nelayan” itu tiada maknanya apabila ikan-ikan telah habis diratah oleh kapal-kapal besar.
Penyelesaian Dalam Islam
Isu jurang kekayaan di dalam masyarakat adalah sesuatu yang pasti akan wujud di dalam mana-mana sistem peradaban manusia. Ini adalah kerana, manusia itu dilahirkan dengan keupayaan yang berbeza. Ada yang dilahirkan dengan kepintaran dan kemahuan yang luar biasa manakala ada yang dilahirkan dengan serba kekurangan dan kemahuan yang biasa. Di sinilah perlunya suatu sistem ekonomi yang benar-benar dapat memastikan kekayaan yang terdapat di mukabumi ini diagihkan dengan adil. Tetapi apa yang berlaku di dalam sistem kapitalis pada hari ini adalah konsep keadilan pengagihan yang berdasarkan kepada akal manusia telah menyebabkan kesengsaraan dan kesempitan hidup kepada ramai manusia yang lain.
Sistem ekonomi kapitalis yang sedang diamalkan pada hari ini adalah berasaskan kepada idea demokrasi merujuk kepada salah satu prinsipnya iaitu kebebasan kepemilikan (freedom of ownership). Adakah ia prinsip yang adil?. Selama puluhan tahun ia dilaksanakan, prinsip ini telah memberikan kebebasan individu memiliki apa sahaja aset dan kekayaan selagimana seseorang itu mempunyai pengaruh, kemampuan dan kekuatan. Bagi mereka yang lemah dan tiada kekuatan mahupun pengaruh, mereka akan terus ketinggalan.
Di dalam Sistem Ekonomi Islam, kepemilikan sesuatu kekayaan itu ditentukan oleh syarak, bukan akal manusia. Islam tidak menyekat seseorang individu itu untuk mendapatkan kekayaan, namun ia haruslah mengikut aturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Pengagihan kekayaan yang terhasil atau dijana daripada bahan mentah yang bersumber dari mukabumi atau kurniaan dari Allah SWT harus diurus dengan wajar dan untung bersih mestilah diagihkan mengikut hukum syarak. Firman Allah SWT:
“Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu” (TMQ al-Hasyr: 7)
Ayat ini menunjukkan bahawa Islam telah pun menetapkan asas utama di dalam pengagihan sesuatu kekayaan yang diperolehi/dikurniakan oleh Allah SWT iaitu ia tidak seharusnya hanya dimiliki oleh orang-orang kaya sahaja sehingga harta tersebut hanya beredar dan dinikmati kalangan mereka. Hal ini pernah dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W semasa di Madinah dimana tatkala baginda melihat terdapat jurang kekayaan yang ketara di antara golongan Muhajirin dan Ansar, baginda telah memutuskan untuk mengagihkan harta fai’ yang dirampas daripada Yahudi Banu Nadhir hanya kepada kalangan golongan Muhajirin sahaja. Walaupun ekspedisi tersebut turut disertai oleh golongan Ansar, mereka tidak diberi sedikit pun kecuali 2 orang iaitu Abu Dujanah Samak Bin Khurasyah dan Sahal bin Hunaif yang fakir.
Ringkasnya, Islam telah pun menyediakan penyelesaian dan perincian di dalam tatacara pengagihan kekayaan untuk menjamin kestabilan sosioekonomi rakyat secara lestari sehinggalah dapat menghapuskan kemiskinan dan menghasilkan kehidupan yang sejahtera kepada semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit. Ianya telah pun dibuktikan di zaman pemerintahan Khalifah Umar Ibn Aziz, dimana beliau berjaya menghapuskan kemiskinan kalangan rakyat sehingga diriwayatkan tidak seorang pun yang layak menerima zakat pada ketika itu. Namun semuanya ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa Negara Islam yang melaksanakan Sistem Pemerintahan Islam, iaitu Sistem Khilafah.